Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Jumaat, 25 Julai 2008

Selamatkah anak-anak kita? Pandangan akhbar kosmo

Tragedi ngeri yang menimpa Nurin dan Sharlinie membuka mata banyak pihak agar berwaspada daripada pelbagai aspek termasuk undang-undang.


SOAL keselamatan kanak-kanak tidak terletak di bahu sesetengah pihak sahaja.


SEDIKIT masa lalu, negara digemparkan oleh beberapa kejadian kehilangan kanak-kanak. Kes-kes yang melibatkan kanak-kanak seperti Nurin Jazlin, Sharlinie dan Asmawi telah mendapat liputan luas di dada-dada akhbar dan media elektronik. Bahkan ia turut disertai oleh pelbagai kempen dan tindakan masyarakat untuk mencari dan berusaha menyelamatkan mereka.

Meskipun isu tersebut lama-kelamaan semakin pudar daripada perhatian masyarakat, dan seolah-olah telah dilupakan. Namun beberapa persoalan asas terhadap hak perlindungan dan keselamatan diri kanak-kanak masih menunggu penjelasan dan tindakan semua pihak.

Sehubungan itu, usaha Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia (PPLI) dalam menganjurkan bengkel mengenai Hak Perlindungan dan Keselamatan Diri Kanak-Kanak baru-baru ini adalah sebahagian daripada usaha mendidik masyarakat berkaitan persoalan keselamatan kanak-kanak.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah Sejauh manakah kanak-kanak di negara ini dilindungi oleh undang-undang?

Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia telah digubal seawal tahun 1947 melalui Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991.

Bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa terdapat keperluan untuk mengubah hala tuju perlindungan terhadap kanak-kanak dan mengakui bahawa perlunya pembaharuan dalam undang-undang sejajar dengan perkembangan semasa, maka satu akta yang khusus dan menyeluruh mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan. Akta Kanak-Kanak 2001 (disebut Akta 611) dan telah berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2002.

Tujuan utama Akta 611 adalah untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya.

Antara perkara penting yang diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan mahkamah bagi kanak-kanak, cara perbicaraan dan hukuman.

Persoalan kedua yang sering dibangkitkan adalah, apakah Akta Kanak-Kanak 2001 ini akan berkesan, tanpa tindakan dan penguatkuasaan daripada pihak berwajib?

Apabila berlaku sesuatu kejadian yang melibatkan kanak-kanak, seringkali juga akan diikuti dengan adegan saling menuding jari di antara pelbagai pihak yang terlibat.

Ibu bapa akan menuding jari kepada pihak polis dan agensi kerajaan, lantaran kurangnya unsur pengawasan keselamatan di luar.

Pihak polis pula akan menyebut mengenai longgarnya ikatan kemasyarakatan yang membenarkan para penjenayah dan penjahat berleluasa mengancam kanak-kanak.

Begitu juga pelbagai pandangan daripada pihak PIBG, guru, NGO dan ibu bapa sendiri, yang kadangkala tidak menemui penyelesaian yang utuh kepada soal keselamatan kanak-kanak ini.

Soal keselamatan kanak-kanak di sekolah dan pusat jagaan juga tidak kurang menjadi persoalan dan dibahaskan. Terdapat kecenderungan sesetengah ibu bapa untuk meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah dan guru.

Oleh itu, jalan tengah untuk memahami isu keselamatan kanak-kanak di sekolah perlu diambil segera. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memainkan peranan sebagai jambatan yang menyediakan kesinambungan usaha menjaga keselamatan kanak-kanak, daripada rumah hinggalah ke sekolah dan sebaliknya.

Justeru, penglibatan ibu bapa dalam kegiatan PIBG dan acara-acara sekolah yang memungkinkan pergaulan lebih baik sesama anggota PIBG perlu diberi perhatian.

Soal keselamatan kanak-kanak tidak seharusnya hanya menjadi perhatian ibu bapa, guru dan pihak sekolah sahaja, kerana kehidupan kanak-kanak di luar rumah dan sekolah memerlukan tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat. - Bernama

Penulis ialah Fellow Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI) di Institut Kefahaman Islam Malaysia.