Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Selasa, 20 Julai 2010

Penantian 7 tahun berbaloi

JITRA: Penantian sepasang suami isteri dari Kampung Sungai Batu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, selama tujuh tahun untuk menimang cahaya mata menjadi kenyataan apabila dikurniakan bayi perempuan kembar empat di Hospital Pulau Pinang (HPP), Mei lalu.

BAHAGIA...Mohd Rizal dan Norhayu memangku (dari kanan) Putri Nur  Adlina, Putri Nur Adriana, Putri Nur Afina dan Putri Nur Aina.
BAHAGIA...Mohd Rizal dan Norhayu memangku (dari kanan) Putri Nur Adlina, Putri Nur Adriana, Putri Nur Afina dan Putri Nur Aina.
Bagi pasangan Mohd Rizal Shaari, 33, dan Norhayu Mat Hanafi, 29, kelahiran bayi kembar empat itu memang tidak dijangka dan bersyukur kerana dikurniakan empat cahaya mata sekali gus.

Mereka terharu dengan anugerah tidak ternilai itu kerana sudah lama berusaha mendapat zuriat sendiri.

Mohd Rizal yang ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Baru Asun, dekat sini, berkata, mereka terkejut apabila doktor yang melakukan pemeriksaan ketika permulaan isterinya hamil memberitahu bakal mendapat kembar tiga.

“Kami sudah membuat persiapan menyambut ketiga-tiga cahaya mata termasuk membeli pakaian dan peralatan mereka.

“Bagaimanapun, kami terkejut apabila isteri bersalin pada 4 Mei lalu anak kembar empat, namun amat bersyukur dengan anugerah itu.

Mohd Rizal, juruteknik di sebuah kilang plastik di Pulau Pinang berkata, keempat-empat anak kembar seiras itu diberi nama Putri Nur Adlina seberat 1.2 kilogram (kg), Putri Nur Adriana (900 gram), Putri Nur Afina (1kg) dan Putri Nur Aina (1.1kg).

Sementara itu, Norhayu, suri rumah sepenuh masa berkata, suaminya terpaksa membeli barangan dan keperluan untuk seorang lagi kerana sebelum ini hanya membuat persiapan untuk tiga bayi.

Katanya, mereka berdua puas berusaha mendapatkan zuriat sebelum ini termasuk menggunakan kaedah rawatan moden dan tradisional selain berdoa.

“Pada peringkat awal kehamilan, saya amat risau kerana mengalami alahan serius termasuk kerap muntah dan tiada selera makan.

“Namun, saya bersyukur keempat-empat bayi kami selamat dilahirkan dan sihat.

“Penantian kami selama tujuh tahun untuk mendapat zuriat berbaloi apabila dikurniakan empat anak kembar perempuan yang comel,” katanya yang mahu menambah lagi zuriat pada masa depan.

Ahad, 18 Julai 2010

Penyebab utama sirosis/ Kanser Hati


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

2010/07/11
E-mel  Artikel Cetak  Artikel Tanda  Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen  Artikel

KANSER hati kurang popular berbanding kanser jenis lain walaupun tersenarai dalam 10 kanser utama di negara kita. Memang jumlah pesakit kanser hati tidak terlalu ramai iaitu sekitar 1,000 orang, tetapi ia antara kanser yang sukar dirawat kerana kebanyakan kes lewat dikesan akibat ketiadaan gejala penyakit.

Virus Hepatitis B
Virus Hepatitis B


Meskipun kanser hati berlaku di seluruh dunia, yang membimbangkan ialah lebih 50 peratus kes membabitkan penduduk Asia dan lebih 70 peratus kes baru dilaporkan setiap tahun datangnya daripada negara Asia, termasuk negara kita.

Hati adalah organ penting dalam sistem hepatobiliari yang merangkumi pundi hempedu dan duktus hempedu. Ia organ kedua terbesar dalam badan yang kaya dengan darah, berbentuk baji, terletak betul-betul di bawah tulang rusuk kanan, di bawah paru-paru. Hati kita berbentuk seperti baji atau piramid dan terbahagi kepada dua bahagian — kiri dan kanan.


Tidak seperti organ lain, hati menerima bekalan darah daripada dua sumber iaitu arteri hepatik (membekalkan darah beroksigen) dan portal vena yang membawa darah mengandungi nutrien daripada usus kecil ke hati.

Fungsi utama hati ialah menapis dan memproses darah daripada bahan toksik, menghasilkan cecair hempedu (bagi membantu pencernaan lemak); membantu sintesis protein darah, glukos dan kolesterol; membantu proses metabolisme (ubat, vitamin, alkohol, hemoglobin); sebagai stor penyimpan (untuk vitamin larut lemak, zat besi dan glikogen); ejen penyingkiran (menyingkirkan sel darah merah yang mati dan bahan sisa metabolisme) dan meningkatkan daya ketahanan badan.

Kajian dijalankan Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (Globocan) pada 2002 menganggarkan 626,000 kes kanser hati di seluruh dunia setiap tahun dan dijangka terus meningkat.

Oleh kerana kebanyakan kes dikesan lewat, tidak hairan jika kes kematian akibat kanser hati sangat tinggi, terutama di Asia seperti China (anggaran 322,000 kematian daripada 346,000 kes) Jepun (36,000 kes), Taiwan (7,000 kes) dan Korea Selatan (5,000) kes berbanding Eropah (50,000 kes) dan Amerika Syarikat (13,000 kes). (Rujuk Jadual 1)

Kanser hati lebih kerap berlaku pada lelaki (tiga kali ganda berbanding wanita). Berdasarkan kajian Globocan 2008, seramai 416,658 lelaki Asia menghidap kanser hati yang menyebabkan 376,000 kematian.

Di Malaysia, kanser hati adalah kanser kelima utama yang berlaku pada lelaki dengan catatan tertinggi di kalangan orang Cina, diikuti Melayu dan India.

Mengapa banyak kes kanser hati dilaporkan di negara Asia? Ia ada kaitan rapat dengan jangkitan Hepatitis B yang secara perlahan-lahan boleh menyebabkan sirosis hati (kematian sel hati yang akhirnya membentuk parut) dan bertukar menjadi kanser jika tidak mendapat rawatan.

Jangkitan Hepatitis B paling banyak dilaporkan di Asia dan ia dianggap sebagai wabak, terutama di negara Asia Tenggara, Hong Kong dan China.

Menurut Penasihat Perubatan Onkologi, Bayer Schering Pharma, Dr Senthil Sockalingam, jangkitan virus Hepatis B ini menyebabkan jumlah kematian tinggi di kalangan penduduk Asia Pasifik. Sehingga kini dianggarkan 275 juta penduduk di rantau ini menghidap jangkitan hepatitis B kronik.

Kira-kira 90 peratus pesakit dewasa yang dirawat menghidap kanser hati HCC dan kebanyakannya mempunyai masalah sirosis hati iaitu kerosakan sel hati dan kehadiran parut akibat jangkitan virus hepatitis B.

Namun keberkesanan rawatan masih rendah kerana kebanyakan pesakit hanya datang ke hospital apabila penyakit mereka sudah teruk.

Faktor risiko dan gejala
Kanser hati terbahagi kepada dua jenis iaitu primer dan sekunder. Kanser hati primer bermakna kanser bermula di hati. Kanser hati sekunder bermakna sel kanser berasal daripada organ lain dan merebak ke hati.

Bagaimana kanser hati boleh terjadi? Menurut Dr Senthil, banyak faktor boleh menyumbang kepada penyakit ini tetapi penyebab utama ialah jangkitan virus hepatitis B yang kronik sehingga menyebabkan sirosis.

Kebanyakan pesakit berusia 30 tahun ke atas kerana virus hepatitis B mengambil masa lama untuk merosakkan hati dan biasanya kerosakan ini berlaku dengan cepat. Lebih membimbangkan ialah peningkatan jumlah kes yang baru dikesan.

Dalam kebanyakan kes barah hati peringkat awal tidak mempunyai tanda atau gejala. Apabila ada gejala, itu menandakan barah hati sampai ke peringkat serius. Ini sebabnya individu berisiko tinggi disaran menjalani pemeriksaan.

Banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:

  • Jangkitan hepatitis B kronik (virus hepatitis B sangat mudah berjangkit melalui hubungan seks, pemindahan darah dan kelahiran; 100 kali lebih mudah daripada virus HIV)
  • Jangkitan hepatitis C dengan kehadiran masalah sirosis hati
  • Sirosis yang merebak hingga jejaskan fungsi hati
  • Pengambilan alkohol berlebihan (boleh merangsang kerosakan hati yang sedia ada)
  • Obesiti
  • Diabetes
  • Merokok
  • Penggunaan steroid dalam tempoh lama
  • Jangkitan fungus (pendedahan jangka panjang pada aflatoksin iaitu toksin yang dihasilkan fungus)
  • Minum air mengandungi arsenik (di sesetengah negara)

    Pada peringkat awal, kanser hati tidak menunjukkan gejala. Gejala penyakit hanya timbul apabila penyakit sudah teruk (peringkat ketiga dan keempat) iaitu ketika fungsi hati terjejas teruk. Antara gejala dialami pesakit kanser hati ialah:
  • Penurunan berat badan tanpa sebab
  • Tiada selera makan berpanjangan
  • Terasa sangat kenyang walaupun makan sedikit
  • Ada benjolan keras pada bahagian kanan di bawah tulang rusuk
  • Sakit sekitar bahu kanan
  • Kulit menjadi kekuningan, termasuk mata
  • Abdomen atas (kanan) terasa tidak selesa
  • Sentiasa berasa lesu dan tidak bermaya
  • Mual
    Semua gejala di atas hanya muncul apabila kanser sampai ke peringkat serius yang menyebabkan kebanyakan pesakit lewat datang ke hospital bagi mendapat rawatan. Sedihnya, pada peringkat ini penyakit sukar dirawat dan dalam kebanyakan kes peluang hidup adalah kurang daripada satu tahun.

    Pengesanan dan rawatan
    Beberapa kaedah boleh digunakan untuk mengesan barah hati, antaranya ujian darah AFP iaitu untuk menguji kehadiran protein alfa-feto. Pesakit kanser hati akan mempunyai tahap AFP tinggi.

    Kaedah kedua ialah ujian pengimejan hati untuk melihat fungsi hati. Biasanya pesakit kanser hati menunjukkan fungsi hati tidak normal (disebabkan kerosakan sel hati dan parut pada hati).

    “Rawatan kanser hati bergantung kepada peringkat barah ketika penyakit dikesan, fungsi hati dan keadaan kesihatan pesakit secara keseluruhan. Biasanya bagi kes kanser hati, peringkat awal pembedahan membabitkan pembuangan sebahagian hati yang diserang barah adalah kaedah terbaik. Malah peluang sembuh juga tinggi.

    “Bagaimanapun, secara purata hanya 15 peratus pesakit boleh dibedah kerana kebanyakannya datang apabila penyakit sudah teruk.

    “Secara umum rawatan barah mempunyai enam kaedah iaitu untuk peringkat awal membabitkan pembedahan (tanpa penggantian hati), pembedahan membuang seluruh hati diikuti penggantian hati (transplan) atau ablasi radiofrekuensi (pembakaran sel barah menggunakan gelombang radiofrekuensi).

    “Bagi peringkat pertengahan; kanser hati dirawat dengan kaedah suntikan ubat kemoterapi pada salur darah yang membawa darah (kemoembolisasi transarteri, TACE). Malangnya, rawatan standard sedia ada tidak berkesan untuk merawat pesakit barah peringkat akhir.

    “Sebelum ini pesakit barah hati peringkat akhir tidak mempunyai pilihan rawatan yang berkesan dan ramai mati dalam masa setahun selepas disahkan menghidap penyakit ini dan untuk peringkat lanjutan pula biasanya doktor menyarankan pesakit mencuba ubat makan seperti sorafenib,” katanya.

    Ada yang bertanya, mengapa pesakit kanser hati tidak diberi rawatan kemoterapi seperti pesakit kanser lain? Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hepar Kebangsaan, Datuk Dr Nor Shahidah Khairullah berkata, penggunaan kemoterapi akan menambah ketoksikan ubat anti kanser dalam badan. Hati yang sepatutnya bertugas menyingkir bahan toksik daripada badan tidak mampu menjalankan tugas berkenaan dan kemoterapi akan memberi lebih beban kepada hati.

    Ini menyebabkan rawatan untuk kes kanser hati, terutama yang teruk, lebih mencabar dan 70 hingga 80 peratus pesakit menunjukkan penerimaan badan yang lemah terhadap rawatan. Faktor lain yang menyebabkan kanser sukar dirawat ialah kerana ia mempunyai beberapa ciri yang sangat unik iaitu:
  • Boleh memasuki aliran darah yang memudahkannya merebak dan menyebabkan kerosakan pada organ lain
  • Boleh hidup lama
  • Mempunyai keupayaan untuk merebak pada sel organ lain (metastasis)
  • Mempunyai kebolehan untuk menggandakan sel dan terus hidup
  • Boleh membentuk salur darah baru (tidak normal) untuk mendapat oksigen dan nutrien bagi terus hidup (angiogenesis)

    Kadar kejayaan kelangsungan hidup pesakit kanser hati yang rendah berlaku di seluruh dunia. Kajian menunjukkan di kalangan pesakit di Eropah kejayaan kelangsungan hidup selama lima tahun hanya 8.6 peratus, Amerika Syarikat (kurang tujuh peratus) dan kurang 10 peratus bagi pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan di Asia.

    Justeru, pesakit perlu peka dengan perubahan pada diri sendiri dan segera mendapat rawatan sebaik disahkan menghidap kanser hati. Memang rawatan untuk kanser sangat mahal, justeru pesakit perlu bersungguh-sungguh dan berdisiplin ketika mendapatkan rawatan.

    Antara ubat yang disaran untuk pesakit kanser hati peringkat teruk ialah sorafenib (ubat makan) yang didapati mampu meningkatkan kelangsungan hidup pesakit sebanyak 44 peratus iaitu daripada enam bulan kepada 10.7 bulan. Ia menghalang penggandaan sel barah dan menghentikan pembentukan salur darah tidak normal. Melalui kaedah ini sel barah akan mati kerana ketiadaan oksigen dan nutrien.

    Peningkatan ini mungkin dianggap sangat kecil bagi sesetengah orang tetapi besar maknanya kepada pesakit kanser kerana ia membolehkan mereka menghabiskan lebih banyak masa berkualiti dengan keluarga. Malah dengan rawatan yang semakin baik dan kepatuhan kepada pengambilan ubat, kualiti hidup pesakit juga meningkat.

    “Sebelum ini pesakit tiada pilihan rawatan yang berkesan dan ramai meninggal dunia dalam masa setahun selepas penyakit dikesan. Memang rawatan untuk kanser hati sangat mahal dan ini sebabnya kita mengadakan Program Bantuan Pesakit (NexPAP) untuk meringankan beban pesakit. Program ini memberi bantuan ubat selama setahun dengan syarat pesakit mesti mencuba dulu ubat ini (biaya sendiri) untuk dua bulan.

    “Syarat berkenaan untuk memastikan pesakit bersungguh-sungguh menjalani rawatan dan mampu menghadapi kesan sampingan ubat yang bersifat sementara dan biasanya hilang dalam tempoh 12 minggu. Antara kesan sampingan yang mungkin dialami ialah masalah kulit (ruam, gatal dan sakit), cirit-birit, letih lesu dan keguguran rambut,” katanya.

    Program ini adalah kerjasama Bayer Schering Pharma dan Yayasan Hepar Malaysia. Pesakit yang ingin menyertai program ini boleh menghubungi talian 03-7842 6101.

    Penjagaan kesihatan hati
  • Amalkan pemakanan seimbang dan sihat
  • Kerap bersenam
  • Kurangkan pengambilan minuman beralkohol
  • Kurangkan makan apabila umur meningkat (kerana hati juga mengalami penuaan, mengehadkan makan boleh mengurangkan beban hati)
  • Minum banyak air (satu hingga satu liter setengah setiap hari)
  • Jalani ujian kesihatan secara berkala (untuk jangkitan Hepatitis B dan C). Individu yang dijangkiti virus ini mempunyai risiko 300 kali lebih tinggi mendapat kanser hati
  • Dapatkan rawatan segera jika anda dijangkiti virus Hepatitis C
  • Bagi anda yang lahir sebelum 1989, dapatkan suntikan vaksin Hepatitis B (pelalian Hepatitis B dimasukkan dalam Program Vaksin Kebangsaan sejak 1989. Ini bermakna individu yang lahir pada dan selepas 1989 sudah mendapat perlindungan ini
  • Tangani tekanan dengan baik
  • Boleh ambil makanan tambahan seperti milk thistle dan dukung anak untuk meningkatkan fungsi hati
  • Isnin, 5 Julai 2010

    Awas ancaman serius talasemia



    Kanak-kanak talasemia terpaksa melalui rawatan konvensional yang menyakitkan.


    APA sebenarnya talasemia? Sering kali kita mendengar perkataan itu disebut, namun adakah kita faham apa sebenarnya penyakit itu?

    Perunding Hematologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Goh Kim Yen berkata, talasemia adalah penyakit keturunan yang berlaku pada sel darah merah.

    “Ia merupakan keadaan yang diwariskan oleh ibu bapa kepada anak. Ini berlaku akibat kecacatan gen yang menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal,” katanya.

    Menurutnya, mereka yang mempunyai penyakit talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah.

    Hemoglobin katanya, adalah bahagian sel darah merah yang mengangkut oksigen daripada paru-paru ke seluruh tubuh.

    Akibat kekurangan sel darah merah yang normal, pesakit akan kelihatan pucat kerana paras hemoglobin (Hb) yang rendah dan menyebabkan berlaku anemia.

    “Kekurangan sel darah merah yang membekalkan oksigen akan mengakibatkan pesakit talasemia berasa lesu, tidak bermaya dan mungkin sesak nafas sekiranya paras hemoglobin semakin menurun,” katanya.

    Penghidap talasemia tidak mampu membekalkan seluruh sel tubuh mereka dengan bekalan oksigen yang mencukupi akibat kekurangan hemoglobin dalam sel darah merah. Tisu yang tiada oksigen gagal berfungsi dengan baik lalu tubuh menjadi lemah, gagal berkembang dan mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, sakit jantung dan sebagainya.

    Jelas beliau lagi, pesakit talasemia biasanya mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada sekitar 4 atau 5g/dl.

    Jenis talasemia

    Talasemia terbahagi kepada minor dan major. Talasemia minor merujuk kepada mereka yang mempunyai kecacatan gen talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda-

    tanda talasemia atau dipanggil pembawa.

    Manakala talasemia major pula merujuk kepada mereka yang mempunyai baka talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda talasemia (pesakit).

    Terdapat dua kategori talasemia berdasarkan molekul globin pada sel darah merah iaitu alpha dan beta (mengikut rantaian).

  • Talasemia alpha berlaku apabila satu atau lebih daripada empat gen yang diperlukan untuk membentuk rantaian globin alpha hemoglobin tidak bersesuaian atau tidak wujud. Jika hanya dua gen terlibat, individu tersebut hanya pembawa. Anemia peringkat sederhana dan teruk terjadi apabila lebih daripada dua gen terjejas. Paling membimbangkan apabila empat gen terjejas menyebabkan ibu hamil yang mengidap talasemia menghadapi risiko keguguran atau jika bayi lahir menyebabkan kematian.
  • Talasemia beta berlaku apabila salah satu atau kedua-dua gen yang diperlukan untuk membentuk rantaian globin beta hemoglobin tidak serasi.

    Jika kedua-dua gen terjejas, anemia boleh terjadi secara sederhana hinggalah ke peringkat teruk. Talasemia peringkat teruk ini juga dikenali sebagai anemia Cooley.

    Tanda dan gejala talasemia

    Menurut Dr Goh, biasanya anak-anak pembawa talasemia kelihatan normal sewaktu dilahirkan dan status pembawa cuma dikesan apabila pemeriksaan darah dijalankan. Untuk mereka yang mengidapi talasemia major, penyakit itu biasa dikesan apabila seseorang bayi mencapai lingkungan usia enam bulan sehingga setahun. Simptom yang biasa menarik perhatian ibu bapa untuk membawa anak mereka berjumpa dengan doktor adalah masalah pucat atau lambat dari segi tumbesaran.

    Bagaimanapun, mereka mulai mengalami masalah anemia yang serius apabila mencapai usia di antara 13 hingga 18 bulan. Tubuh mereka akan pucat, lemah dan mudah menghidap sebarang penyakit.

    Anemia yang serius boleh menyebabkan masalah jantung dan sukar bernafas.

    Perut mereka juga akan membuncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa. Pembentukan tulang muka, pipi dan rahang juga tidak normal.

    Selain itu, pertumbuhan mereka juga terbantut termasuk organ seks tidak akan berkembang. Bagi pesakit talasemia perempuan, payu dara mereka tidak membesar, pertumbuhan bulu badan terjejas dan mereka juga tidak mengalami haid.

    Lazimnya pesakit talasemia meninggal dunia pada usia yang muda iaitu sekitar belasan tahun dan ada yang mencapai hingga usia 30 tahun.

    Rawatan penyakit talasemia

    “Pesakit perlu menjalani transfusi darah berterusan setiap bulan,” kata Dr. Goh.

    Bagaimanapun transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting seperti hati, jantung dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut.

    Jika ia berlaku di bahagian pituitari (otak), pesakit akan mengalami masalah tumbesaran termasuk organ seks yang tidak berkembang.

    “Jika zat besi berkumpul di bahagian jantung, pesakit mengalami sesak nafas dan lemah jantung, manakala jika ia berkumpul di bahagian pankreas pesakit akan mendapat diabetes,” katanya.

    Selain itu kata beliau, zat besi yang terkumpul di bahagian kulit pula akan menyebabkan ia berubah warna gelap.

    Jelas Dr. Goh lagi, rawatan penyingkiran zat besi berlebihan perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine menggunakan alat khas. Bagaimanapun proses itu menyakitkan kerana ia mengambil masa yang lama sekitar lapan jam.

    “Bayangkan jika kanak-kanak terpaksa melalui proses ini, alat tersebut akan dipasang kepada mereka setiap malam selama beberapa hari,” katanya.

    Selain itu terdapat rawatan pengkelatan besi (nyah besi) terkini iaitu melalui tablet yang dipanggil Exjade.

    Rawatan tersebut lebih mudah digunakan kerana ia berbentuk tablet dan hanya perlu direndam dalam air sebelum diminum. Bagaimanapun, harganya agak mahal dan sehingga kini belum digunakan sepenuhnya di kebanyakan hospital.

    Talasemia juga boleh dipulihkan melalui pemindahan sum-sum tulang sekiranya ada penderma yang sesuai di kalangan ahli keluarga.

    Paling berkesan kata beliau, pemindahan stem sel yang terdapat pada tali pusat melalui teknologi terkini. Ia juga boleh dilakukan di kalangan ahli keluarga. Proses pemindahan stem sel itu perlu dilakukan kepada pesakit talasemia ketika masih bayi atau berumur lima tahun ke bawah sebelum sebarang masalah kesihatan terganggu.