Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Jumaat, 22 November 2013

SOKONGAN SUSU IBU SEPENUHNYA DIPERLUKAN!


BAYI yang diberikan susu ibu biasanya mempunyai antibodi yang kuat dan membesar secara sihat.



SEJAK melahirkan cahaya mata sulung pada 26 Ogos lalu, Mastura Abu Samah mengakui seronok melalui fasa baharu kehidupan bergelar ibu.

Sebagai wanita, Mastura, 29, berkata, hidupnya kini terasa lengkap dengan kehadiran permata hati yang diberi nama Putra Aidiltullah itu.

Apatah lagi sewaktu kali pertama berpeluang menyusukan bayinya, hati Mastura terasa damai melihat keasyikan si anak melakukan ‘kerjanya’.

“Alhamdulillah, sukar untuk saya mengungkap perasaan yang terbit dalam diri ketika menyusukan Putra. Rasa seperti ingin menangis pun ada.

“Walaupun pada mulanya, saya sedikit gementar dan takut kerana pengalaman membaca kisah-kisah kelahiran pertama termasuk kesakitan sewaktu menyusukan bayi bermain di fikiran. Tetapi, berkat sokongan suami dan para jururawat di hospital ini, saya berjaya melakukannya dengan baik,” ujar Mastura yang memilih untuk melahirkan bayi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehingga kini, Mastura masih lagi menyusukan bayinya secara eksklusif dan berharap dapat melakukan rutin tersebut sehingga dua tahun.

Dalam pada itu, Muhammad Rohaimi Mohd, Tasrif, 27, sebagai suami sudah tentu bersyukur kerana dikurniakan zuriat sebagai pengikat kasih sayang bersama isterinya.

TUNJUK ajar daripada jururawat di hospital membantu para ibu muda mengetahui teknik penyusuan bayi yang betul.


Sokongan

Justeru, sebolehnya dia mahu anaknya mendapat zat terbaik daripada pemberian susu ibu yang diketahui besar manfaatnya.

“Sebelum ini, saya ada mengikuti kelas antenatal yang menekankan tentang kepentingan susu ibu terhadap bayi yang baru lahir. Jadi, saya perlu menyokong penuh perkara ini, terutamanya dalam memberi semangat kepada isteri untuk berbuat demikian.

“Sokongan ini penting bagi menunjukkan keprihatinan saya terhadap isteri yang telah bersusah-payah mengandung dan melahirkan anak kami ke dunia,” ungkap Muhammad Rohaimi ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Berdasarkan panduan yang digariskan Perikatan Antarabangsa Untuk Tindakan Penyusuan (WABA), terdapat lima cabang yang membentuk kumpulan sokongan susu ibu.

Ia terdiri daripada keluarga dan rangkaian sosial, sistem penjagaan kesihatan, suasana kerja dan persekitaran, kerajaan dan penggubalan undang-undang serta respons terhadap krisis atau kecemasan.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) HKL, Dr. Noor Haliza Yussoff, 52, berkata, menyentuh soal sokongan, setiap ibu yang melahirkan bayi perlu diberi pendedahan dan didikan mengenai kepentingan susu ibu dari peringkat antenatal lagi.

Ujarnya, mereka biasanya akan diberikan maklumat untuk melakukannya dan dibantu jika ada sebarang masalah oleh jururawat terlatih.

“Namun, apabila pulang ke rumah, ketika itulah masalah akan berlaku yang melibatkan campur tangan keluarga seperti ibu atau ibu mertua, terutamanya dalam aspek membabitkan penyusuan bayi.
“Bila anak menangis kerana lapar, biasanya mereka akan menyuruh si ibu memberi susu botol kepada bayi,” ujar beliau sambil memaklumkan antara kebaikan terbesar susu ibu ialah melindungi bayi daripada jangkitan bakteria dan virus.

PEMILIHAN baju yang mesra bayi juga membolehkan penyusuan susu ibu dilakukan pada bila-bila masa tanpa sebarang rasa malu.


Dari segi zat, susu yang diberi secara terus atau diperah masih sama. Cuma bezanya, ikatan kasih sayang antara ibu dan anak sewaktu menyusu membuatkan mereka menjadi lebih rapat.
Terang Noor Haliza, susu ibu menyediakan khasiat yang diperlukan oleh bayi.

“ Susu ibu hidup dan tidak mati. Ia akan menyesuaikan diri dengan kandungan yang diperlukan bayi dari hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun.

“Berbanding susu formula, zatnya statik. Apa yang diletak itulah kandungan yang ada di dalamnya sampai bila-bila,” katanya.

Noor Haliza berkata, golongan ibu muda pada hari ini semakin menyedari keperluan menyusukan anak secara eksklusif.

Bagaimanapun, beliau mahu menyampaikan mesej bukan sahaja kepada si ibu dan suami malah kaum keluarga serta rakan-rakan supaya apabila kembali ke pangkuan masyarakat, mereka memperoleh sokongan penuh bagi penyusuan susu ibu.

Menurutnya, trend ibu-ibu mengandung sekarang menyaksikan mereka datang ke kelas antenatal bersama ibu sendiri atau ibu mertua. Situasi sedemikian amat dialu-alukan kerana secara tidak langsung mereka akan mendapat pengetahuan tentang kepentingan susu ibu.

RAMAI wanita berkerjaya semakin menyedari kepentingan susu ibu kepada si anak dan sanggup memerahnya ketika berada di pejabat. - Gambar hiasan


Susu formula

Tambah beliau, susu formula mula berkembang pada awal 70-an. Sebelum itu, semua ibu menyusukan bayi mereka dengan susu badan.

“Bagaimanapun, iklan yang ditayangkan di media massa secara meluas seolah-olah menampakkan susu formula itu susu yang terbaik. Lama-kelamaan masyarakat seumpama ‘diprogram’.
“Maka, berlakulah persepsi yang menyebabkan mereka ingin memberi susu formula pada anak masing-masing. Ini kerana pada anggapan mereka, sesiapa yang memberi susu ibu dilihat seperti orang miskin,” ungkapnya.

Menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil inisiatif menggubal satu akta yang menghalang pengiklanan untuk susu formula bayi berusia dua tahun ke bawah. Kod tata etika dalam penggubalan undang-undang ini telah dimulakan pada tahun 1990-an.

“Sehingga sekarang hanya susu formula untuk anak-anak yang berusia dua tahun ke atas yang dibenarkan bagi tujuan pengiklanan.

“Selain itu, di bawah kod tata etika ini juga, setiap kotak atau tin susu harus ditulis bahawa susu ibu adalah susu terbaik. Kod ini akan dikaji semula setiap dua tahun untuk ditambah baik,” jelas Noor Haliza.
Sepanjang 25 tahun dalam bidang O&G, ibu kepada tiga cahaya mata ini turut berkongsi pengalaman yang dilihat dalam aspek perbezaan penyusuan susu ibu.

“Dahulu, jarang kita lihat ibu-ibu menyusukan bayi mereka ketika berada di wad. Rata-rata akan memberi susu botol pada anak yang baharu dilahirkan. Lantaran itu, pergerakan untuk memastikan penyusuan ibu berlaku secara meluas pada tahun 1991.

“Ketika itu, penggunaan botol susu dilarang sama sekali di semua hospital kerajaan. Alhamdulillah, setakat ini usaha kita telah menunjukkan hasilnya. Tidak ketinggalan, semakin banyak hospital swasta turut menyokong perkara ini,” kata beliau yang mengakui daripada tiga orang anaknya, hanya yang bongsu berpeluang menyusu secara eksklusif dengannya selama dua tahun.

Semua itu disebabkan mentaliti beliau dan faktor persekitaran yang kurang menyokong perkara tersebut. Meskipun sedikit ralat, namun Noor Haliza tetap bersyukur kerana akhirnya perjuangan untuk memartabatkan pemberian susu ibu mencapai kejayaan

KELONGGARAN UNTUK WANITA SAUDI...


LARANGAN kebebasan bergerak merupakan salah satu kekangan yang dikenakan terhadap wanita di Arab Saudi.


SEPERTI kebanyakan gadis-gadis Arab Saudi, Raha al-Moharrak diharamkan daripada menyertai aktiviti sukan di sekolahnya. Perintah itu merupakan satu larangan atas alasan agama yang diputuskan oleh kerajaan negara tersebut.

Namun, pada bulan Mei lalu, Raha yang kini berusia 27 tahun menjadi wanita pertama dari negara Teluk itu yang berjaya mendaki Gunung Everest.

Beliau mendapat liputan meluas daripada beberapa akhbar tempatan. Kisah beliau mendedahkan bahawa wanita Arab Saudi kini sudah beransur-ansur mempelajari perkara baharu.

"Anda tidak boleh berhenti berubah. Generasi muda mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di luar sana. Semuanya di hujung jari kita," kata pereka grafik itu yang kini menetap di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Hakikatnya, jika Raha masih berada di negara kelahirannya, di bawah undang-undang penjagaan Arab Saudi, beliau dilarang memandu kereta, membuka akaun bank, melancong ke luar negara atau mendaki gunung tanpa kebenaran bapanya.

Tinjauan Yayasan Thomson Reuters baru-baru ini mendapati Arab Saudi merupakan negara ketiga terburuk selepas Mesir dan Iraq dalam melayan wanita daripada 22 buah negara Arab.

Pungutan suara yang melibatkan 336 pakar jantina pada bulan Ogos dan September lalu mendapati, Arab Saudi dinilai pada kedudukan terendah untuk penglibatan wanita dalam bidang politik, diskriminasi di tempat kerja, kebebasan bergerak dan hak-hak memiliki harta.

Bagaimanapun, negara berkenaan memberi layanan lebih baik kepada wanita dalam menyediakan peluang pendidikan penjagaan kesihatan, hak-hak reproduktif dan keganasan jantina.

Kerajaan Arab Saudi, Raja Abdullah yang membuat keputusan dalam kebanyakan isu di negara itu dengan hasil pandangan golongan ulama, sangat berhati-hati mendepani pelbagai kritikan yang mahu melihat perubahan segera.

Hakikatnya, negara yang berkeluasan 2.14 juta kilometer persegi itu sedang mengalami perubahan secara beransur-ansur.

BAWAH: Sebahagian besar wanita Arab Saudi merupakan golongan terpelajar.


Tentangan ulama

Peraturan di Arab Saudi kebanyakannya berteraskan undang-undang syariah. Para hakimnya merupakan golongan ulama Wahhabi yang menetap dan mentafsir undang-undang serta hukum syarak.

Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh merupakan ulama paling kanan yang kuat menentang golongan wanita bekerja dan memandu kenderaan. Malah, beliau pernah menyatakan bahawa pembabitan wanita dalam politik bakal membuka ruang kepada kejahatan.

Raja Abdullah yang kini berusia 90 tahun telah beberapa kali menyimpang daripada pendirian golongan ulama. Misalnya, pada penghujung tahun 2011 baginda telah memberi wanita hak mengundi dan bertanding jawatan dalam pilihan raya bermula tahun 2015.

Pada bulan Januari lalu, Raja Abdullah buat julung-julung kalinya berkenan pelantikan seramai 30 wanita menganggotai Majlis Syura di negara itu, sekali gus menamatkan diskriminasi terhadap kaum hawa dalam pentadbiran negara tersebut.

Baginda juga melonggarkan sekatan terhadap tenaga kerja wanita sejak dua tahun lalu. Wanita dibenarkan menggantikan pekerja lelaki sebagai pembantu jualan di premis-premis pakaian dalam wanita dan kosmetik serta pelayan restoran di bahagian wanita.

Perdebatan hangat di media sosial di rantau Arab menunjukkan peralihan sedang berlaku dalam masyarakat.
"Arab Saudi sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan banyak perubahan. Dari tahun ke tahun anda nampak begitu banyak perubahan pada kaca mata umum.

"Apabila kami menganggotai Majlis Syura, terdapat penentangan hebat. Kami tidak mengendahkan suara-suara itu dan menjalankan tugas kami," kata salah seorang anggota baharu Majlis Syura, Hanan Al-Ahmadi.

Ratusan ribu belia lelaki dan wanita Arab Saudi yang dihantar melanjutkan pelajaran di universiti-universiti luar negara juga kembali ke negara asal dengan pendapat yang sangat berbeza tentang negara-negara saudara mereka di dunia.

Peluang pekerjaan dalam kalangan wanita muda masih sama dan tidak banyak bezanya pada zaman ibu-ibu mereka walaupun pengangguran dalam kalangan wanita mencecah hampir 36 peratus berbanding lelaki iaitu enam peratus .

Pada bulan Oktober lalu, Raja Abdullah membenarkan wanita pertama di negara itu bertugas sebagai peguam untuk mewakili pelanggan dan memiliki serta membuka firma guaman sendiri.

PELANTIKAN 30 orang wanita yang menganggotai Majlis Syura mendapat perkenan Raja Abdullah.


Titik perubahan 

Bagaimanapun, wanita Arab Saudi masih berdepan dengan kekangan pengangkutan untuk berulang-alik ke mahkamah dan larangan pergaulan lelaki dan wanita di tempat kerja
.
Namun, seorang perunding guaman muda, Dania Aboaloa yang merupakan lepasan undang-undang dari Universiti Raja Abdulaziz bersikap positif.

Dania yang pernah menuntut di Amerika Syarikat, namun membuat keputusan kembali ke Jeddah kerana perubahan yang dilaksanakan kerajaan.

"Masa depan lebih cerah dan akan menggalakkan lebih ramai wanita melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan menuntut lebih banyak hak dalam perundangan secara bijak.
"Wanita Arab Saudi kini hidup pada satu titik perubahan dalam sejarah negara ini. Kami memperoleh hak-hak kami semula. Ia merupakan tugas saya sekarang kerana saya seorang perunding guaman," ujarnya.
Bagaimanapun, kemajuan sebenar hak-hak wanita di Arab Saudi dilihat masih di takuk lama dan kebanyakan aktivis menyifatkan perubahan yang berlaku amat perlahan.
Seorang wanita yang tertakluk kepada pengawasan dan kebenaran saudara lelaki dalam segala hal sepanjang hidup mereka sudah berakar umbi terlalu lama di negara Asia Barat itu.
Secara tradisinya, ia dilihat sebagai satu perlindungan yang mengawal hampir setiap aspek kehidupan seorang wanita termasuk dalam perkahwinan malah ketika mereka menjalani rawatan.

Memandangkan kerajaan Arab Saudi terikat dengan pengaruh golongan ulama, para penganalisis berpendapat, sistem perundangan syariah atau undang-undang penjagaan sukar diubah dalam masa terdekat.
Sementara itu, satu lagi perubahan segera yang diharapkan berlaku oleh sejumlah aktivis wanita ialah kedudukan Arab Saudi sebagai satu-satunya negara yang mengharamkan wanita memandu kenderaan.
Tiada peraturan khusus atau ayat dalam undang-undang syariah menyatakan hanya lelaki berhak memandu di negara berkenaan walaupun para pegawai kerajaan sering memberi alasan bahawa masyarakat di negara yang mempunyai hampir 30 juta penduduk belum lagi bersedia membenarkan wanita memandu.

Permintaan terhadap kos pengangkutan yang lebih murah semakin penting apabila semakin ramai wanita mencari pekerjaan apabila ahli keluarga juga bergantung kepada pendapatan mereka.

Pada bulan Oktober lalu, pihak berkuasa mematahkan satu kempen desakan menamatkan larangan memandu kepada wanita.

Namun, tindakan pihak berkuasa ditempelak melalui laporan akhbar dan petisyen dalam talian oleh beberapa individu terkenal dan anggota keluarga pemerintah Arab Saudi yang menuntut peraturan itu diubah secara terbuka

Walaupun para penganalisis menyatakan terdapat satu muafakat sekitar perubahan sosial dalam keluarga kerajaan secara beransur-ansur, masih belum jelas sama ada bakal pengganti Raja Abdullah akan meneruskan usaha baginda
Puteri Bassma Majid merangkap Presiden sebuah cabang Persatuan Dermawan untuk Wanita, Al-Nahda yang melatih dan mengupah wanita miskin dan kelainan upaya untuk mengekal serta membuat semula rekaan busana istimewa kerajaan Arab Saudi.
"Saya rasa kami sudah mencapai satu tujuan yang tidak boleh berpatah balik," katanya

ANUGERAH SUSU IBU YANG HEBAT

ISLAM menganjurkan seorang ibu semaksimum mungkin berusaha menyempurnakan susuannya sehingga dua tahun penuh.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”

Menurut pendakwah bebas, Ustazah Fatimah Syarha Mohd. Noordin, al-Quran turut menganjurkan mesyuarat atau perbincangan dilakukan antara suami dan isteri jika mahu menceraikan susu anak sebelum usianya dua tahun.

“Jika diperhalusi kajian sains, seksanya seorang anak kecil untuk melalui alam bayinya jika dia tidak mendapat khasiat susu terbaik di dunia. Ini kerana hanya susu ibu paling serasi dengan keperluannya.
“Justeru, menyusu anak bukan satu beban tapi satu kenikmatan. Indahnya perasaan ibu tatkala dapat menatap si permata hati dalam pelukan. Bertasbih dan mensyukuri kehadirannya. Bercakap-cakap dan mengajar anak tersebut tentang Pencipta mata, hidung dan telinganya.

“Bagi si bayi pula, susu ibu bagaikan ubat penenang. Selasak manapun dia seperti meniarap, merangkak atau bertatih, dia pasti akan ditawan oleh susu ibu,” jelas Fatimah Syarha yang juga merupakan pembimbing motivasi.

Dalam pada itu, dia memberitahu, jika seseorang wanita tidak mampu menyusukan anaknya atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan termasuk masalah kesihatan, mereka tidak dikira berdosa.

“Yakinlah bahawa Allah memahami keadaan hamba-Nya yang beraneka rupa. Tapi, seelok-eloknya ia perlu dilakukan dengan perbincangan bersama suami. Insya-Allah, dengan berbincang akan keluar pelbagai jalan penyelesaian seperti mengambil ibu susuan untuk si anak,” ujar beliau lagi.

Berbicara tentang pengalaman menyusukan anaknya, Fatimah Syarha tidak lokek berkongsi kaedah terbaik untuk melakukannya.

Antaranya, membetulkan niat bagi memastikan anak mendapat khasiat susu terbaik di dunia. Selain itu, para ibu juga perlu berdoa secara khusus setiap hari agar dipermudahkan urusan penyusuan anak.
“Jika susu kurang, jangan menyerah kalah. Sebaliknya gunakan kaedah penyelesaian secara holistik dan menyeluruh

“Sebagai contoh dalam aspek rohani, lakukan solat hajat dan berdoa, fizikal (banyakkan minum air kosong, susu atau jus dan pemakanan yang seimbang) dan mental perlu dikuatkan dengan terus membaca tentang kepentingan susu ibu,” ungkap wanita yang masih sempat menyusukan anak sulungnya meskipun berada dalam kesakitan kontraksi untuk melahirkan anak kedua kerana tidak mahu hak si kakak dikurangkan walaupun setitik.