Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Jumaat, 27 April 2012

Mitos tentang anak autisme


RAMAI beranggapan mereka yang menghidap autisme adalah genius, hakikatnya ia adalah kes-kes terpencil.


KETIKA memerhatikan anak-anak bermain, ada ketikanya kita mendapati sesetengah kanak-kanak berada di dalam dunianya sendiri. 

Mereka gagal bercampur dan bermain riang seperti anak-anak lain. Bahkan, ada antara anak-anak ini sangat cepat mengamuk. Mereka juga mempunyai masalah pertuturan, walaupun secara logiknya pada usia tertentu mereka sudah boleh bercakap. 

Apabila berbual, mata mereka akan menoleh ke arah lain dan bukannya kepada si penutur.

Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang bersikap seperti ini jangan mengandaikan ia perkara normal. Ada kemungkinannya anak-anak ini menghidap autisme. 

Sebenarnya, ada banyak tanda lain yang boleh diperhatikan pada anak-anak austisme ini. Mereka juga bermain dengan cara yang janggal dan suka menyusun mainannya. 

Mereka seolah-olah sedang bermain dalam dunianya sendiri dan tidak menghiraukan orang lain, walaupun mereka sedang bermain dengan anak-anak lain. 

Ada ketikanya, mereka ini sangat hiperaktif dan cenderung bermain dengan benda yang tidak dianggap barang mainan seperti barang-barang di dapur dan sebagainya.

Sebab itulah, ibu bapa seharusnya memerhatikan sindrom autisme ini sepatutnya diperhatikan. Adakalanya tanpa rawatan awal, sindrom ini akan dibawa sehingga dewasa yang menyebabkan tindakan yang diambil pada waktu itu mungkin sudah terlambat. 

Inilah hakikat yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila kanak-kanak ini membesar. Sehingga kini, punca autisme masih samar-samar. 

Bagaimanapun, autisme bukanlah penyakit yang berjangkit. Walaupun belum ada penawar, tetapi pengetahuan ibu bapa mampu memberikan mereka harapan. Mereka patut didedahkan dengan spesifikasi keupayaan tertentu.

Secara umumnya, autisme wujud dalam semua budaya. Di Malaysia, pada tahun 2000 dianggarkan terdapat 47,000 rakyat Malaysia yang menghidap austisme. Di United Kingdom, dianggarkan setengah juta orang mengalami autisme. 

Sekiranya ada dalam kalangan ahli masyarakat yang mempunyai anak-anak autisme, ia tidak perlu berakhir dengan kekecewaan.

Keupayaan intelektual

Asalkan anak-anak ini ada keupayaan intelektual, mereka boleh menjadi manusia yang berjaya. Keupayaan mereka sangat spesifik, selalunya dalam bidang sains. Sebab itulah, ibu bapa perlu mengesan simptom ini lebih awal, agar kanak-kanak ini dapat dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku dan keupayaan mereka. 

Kalau mereka dibiarkan bersekolah bersama anak-anak normal, ia akan menyebabkan mereka ketinggalan dan tidak mampu mengikuti pembelajaran seperti anak-anak lain. 

Selalu terjadi, ada ibu bapa yang tidak mahu menerima hakikat bahawa anak mereka sebenarnya menghidap autisme. Kesannya, mereka terus menghantar anak-anak ini ke sekolah biasa. Hasilnya, ia hanya merosakkan masa depan mereka.


Autisme tidak ada kena mengena dengan keturunan, budaya atau sebab yang lain.


Dalam mata pelajaran Matematik, kajian menunjukkan keupayaan mereka umumnya pada tahap bawah purata. Bagi mereka yang hanya mempunyai simptom autisme sederhana, mereka berupaya menguasai matematik. Bagaimanapun, mereka sukar dalam banyak subjek lain. Mereka juga sukar dalam hal temu duga.

Bagaimanapun, ada kes-kes terpencil. Kumpulan ini dikenali sebagai mathematic gifted. Ia seperti watak Raymond yang dilakonkan oleh Dustin Hoffman dalam filem Rain Man. Sungguhpun begitu, ia kes yang sangat jarang. 

Ia sebenarnya adalah salah tanggapan yang sering berlaku dalam masyarakat. Orang selalu beranggapan bahawa anak-anak autisme ini ialah manusia yang genius. Harus diingat, ia hanya kes terpencil.
Hakikat yang perlu diketahui, majoriti daripada anak-anak ini kalau tidak dirawat lebih awal akan mengalami masalah ketika dewasa.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu cenderung untuk memerhatikan anak-anak mereka. Kalau dilihat anak-anak kita seperti dalam dunianya sendiri, gagal berkomunikasi dan mempunyai tingkah laku di luar kelakuan normal kanak-kanak, adalah lebih baik mereka dibawa berjumpa pakar. 

Jangan anggap ia hal normal atau cuba menolak hakikat bahawa anak-anak kita sedang dilanda masalah.

Boleh dirawat

Walaupun tidak ada ubat khusus, sebenarnya autisme boleh dirawat dengan pendidikan dan terapi khas. Asalkan kita menyedari hal ini terlebih awal dan ia dilakukan ketika mereka masih di peringkat kanak-anak.

Sebenarnya, tidak ada salahnya mempunyai anak-anak autisme, tetapi yang salahnya ialah apabila kita melihat semua perkara sebagai normal kerana kononnya hanya anak orang lain menghidap autisme dan bukan anak kita. 

Jangan anggap kerana tidak ada keturunan yang mengalami autisme atau kerana kita mempunyai pendidikan yang baik, kita tidak mungkin mempunyai anak autisme.

Autisme tidak ada kena mengena dengan keturunan, budaya atau sebab yang lain. Tidak ada siapa yang tahu puncanya. Sekiranya kita diuji dengan anak-anak autisme, maka menjadi tugas kita untuk memastikan masa depan mereka terus terbela.


 

Selasa, 24 April 2012

Susu Formula Asas Utk Bayi Gemuk dan Obes

Susu ibu elak generasi obes

KHASIAT susu ibu bukan lagi menjadi rahsia malah diperkukuhkan dengan kajian yang dijalankan di lima negara Eropah menerusi Projek Program Pemakanan Awal. 

Hasil kajian mendapati obesiti dan penyakit kardiovaskular dalam kalangan orang dewasa berkait rapat dengan pemakanan awal. 

Profesor Dr. Berthold V. Koletzko yang mengetuai kajian berkenaan pada 2009 mendapati 1,128 bayi yang diberikan susu formula cenderung mengalami berat badan berlebihan selain obes apabila meningkat dewasa. 

Beliau yang juga pakar pediatrik merupakan Ketua Bahagian Perubatan Metabolik dan Nutrisi di Hospital Kanak-kanak Hauner, Pusat Perubatan Universiti Munich, Jerman.
Profesor Berthold pernah bertugas di Afrika S
elatan dan Tanzania selain di Hospital Kanak-kanak Universiti Düsseldorf, Jerman. 

Beliau juga pernah bertugas sebagai doktor nutrisi klinikal dan metabolisme di Hospital bagi Kanak-kanak Sakit di Universiti Toronto, Kanada.

"Lebih malang lagi bayi yang diberikan susu formula dikatakan pendek umur berikutan pelbagai penyakit yang dihidapi. 

"Terdapat kaitan antara kenaikan berat badan pada bayi dan obesiti serta peningkatan dalam serangan penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser di kalangan dewasa," katanya semasa Bengkel Pemakanan Awal Wyeth. 

Menurutnya, bayi yang diberikan susu formula pada awal usia besar kemungkinan mengalami kenaikan berat badan lebih tinggi berbanding yang mendapat susu ibu. 

"Susu formula mengandungi lebih banyak protein (biasanya 55 hingga 80 peratus lebih protein) berbanding susu ibu.
"Susu ibu pula mempunyai kandungan tenaga dan protein yang rendah berbanding susu formula," katanya. 

Kajiannya juga mendapati bayi yang diberikan susu ibu antara enam hingga dua tahun lebih sihat walaupun berat badan lambat bertambah. 

"Sebaliknya bayi yang diberikan susu formula adalah lebih besar berbanding yang diberi susu ibu pada tahun pertama usia mereka," katanya. 

Tumbesaran yang cepat pada bayi yang diberikan susu formula meningkatkan obesiti sehingga enam kali ganda. 

Persatuan Pediatrik Eropah (EPA) yang menilai maklumat mengenai pemakanan hayat awal dan menggabungkannya dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Lembaga Keselamatan Makanan Eropah dan Persatuan Gastroenterologi, Hepatologi dan Pemakanan Pediatrik Eropah (ESPGHAN) serta Akademi Pediatrik Amerika (AAP) menawarkan paradigma baru berkaitan pemakanan awal. 

"Hasilnya bayi tidak digalakkan mengambil susu formula sebelum usia mencapai 12 bulan walaupun bayi yang diberikan susu formula lebih montel," katanya. 

Profesor Berthold berkata, ibu bapa perlu tahu anak yang montel tidak semestinya sihat. 

"Tentu saja kita suka melihat bayi yang montel! Tapi sebenarnya montel tidak semestinya sihat," katanya. 


Menurut Indeks Nutrien Disyorkan di Malaysia (MRNI) kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun sepatutnya mendapat 25 hingga 35 peratus tenaga daripada lemak. 

Lemak asid arakidonik (AA) dan asid dokosaheksaenoik (DHA) sangat penting bagi perkembangan kognitif. 

Bagaimanapun ia diperlukan dalam nisbah yang betul misalnya dalam susu ibu AA:DHA adalah 1.733. 

Susu lembu tidak sesuai Susu ibu adalah terbaik tetapi adakalanya apabila seorang ibu tidak dapat menyusukan bayinya atas sebab-sebab tertentu, disaran mengambil susu formula yang mirip dengan susu ibu. 

Pakar Runding Paediatrik Hospital Whittington dan Hospital Great Ormond Street, Dr Atul Singhal berkata, pengambilan protein dan pemakanan awal bayi amat penting bagi tahap kesihatan jangka panjang. 

Menurutnya, pemakanan meliputi nutrien, kimia bagi fungsi badan dan bagaimana badan menggunakannya. 

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Makanan Kanak-kanak di samping Profesor Pemakanan Pediatrik di Institut Kesihatan Kanak-kanak di London, mendapati bayi yang diberikan susu formula membesar lebih cepat - akibatnya lebih obes dan lebih berisiko penyakit berkaitan kardiovaskular. 

Pandangan itu dikongsi pakar runding pemakanan, Indra Balaratnam.

Semua nutrien seimbang "Bayi tidak akan membesar dengan sempurna jika dietnya kekurangan asid lemak yang diperlukan kerana lemak ada punca tenaga utama," katanya. 

Menurut Balaratnam, bayi memerlukan lebih banyak lemak dalam diet mereka berbanding kanak-kanak lebih besar kerana untuk pembentukan sel otak dan mata yang sihat. 

"Tidak seperti organ lain, perkembangan otak berlaku sepenuhnya apabila mencapai usia lima tahun. Pemakanan pada beberapa tahun pertama sejak janin membesar sehingga anak berusia lima tahun adalah penting untuk membekalkan nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otak yang betul," katanya.

Hernia adalah Masalah Usus dan Perut

Hernia - benjolan abnormal

keadaan penyakit akan bertambah teruk akibat aktiviti meneran seperti membuang air besar, batuk dan bersin. - Gambar hiasan 
 
ASSALAMUALAIKUM,
DOKTOR pakar apa yang saya patut jumpa kalau saya ada masalah hernia?
Anda sepatutnya berjumpa dengan doktor pakar bedah bagi mendapatkan penjelasan dan rawatan yang lanjut.Saya akan menerangkan sedikit-sebanyak berkenaan masalah ini. 

Hernia adalah daripada bahasa Latin 'herniae'. Ia membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu atau isi suatu rongga melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Dinding abdomen yang lemah itu kemudiannya membentuk suatu kantung dengan bukaan seperti cincin. Gangguan ini sering terjadi di kawasan abdomen dengan komponen yang keluar berupa bahagian dalaman abdomen seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus ini.

Menyerang lelakiHernia adalah gangguan kesihatan yang umumnya dideritai oleh lelaki. Ia 10 kali ganda lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Bagi masyarakat setempat, ia lebih sinonim sebagai angin pasang, burut atau uluran. Benjolan pada abdomen akan mengganggu penderita bergantung kepada saiznya. Biasanya, keadaan penyakit akan bertambah teruk akibat aktiviti meneran seperti membuang air besar, batuk, bersin dengan kuat atau ketika mengangkat bebanan berat yang memberi tekanan pada rongga abdomen yang lemah.

FaktorHernia bukanlah penyakit keturunan. Ada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan hernia. Antaranya disebabkan otot dinding rongga, misalnya pada bahagian abdomen yang lemah dan dorongan yang menyebabkan tekanan di dalam rongga abdomen meningkat. Hernia pada orang dewasa biasanya terjadi ketika usia lanjut kerana otot dinding rongga abdomen telah lemah. Sejajar dengan usia, organ dan jaringan tubuh mengalami proses kemerosotan. Bagi wanita, kegemukan juga mungkin melemahkan otot bahagian abdomen. 

Ada beberapa jenis hernia. Hernia jenis dalaman berada dalam tubuh dan tidak boleh dilihat secara mata kasar. Contohnya diafragmatic hernia yang terjadi akibat adanya celah di diafragma (otot pemisah antara bahagian perut dengan dada) kerana pembentukan diafragma yang tidak sempurna. Contoh lain adalah hiatal hernia esofagus, terjadi melalui celah masuknya esofagus dari rongga dada.

Selain itu, terdapat hernia jenis luaran. Paling kerap adalah hernia inquinal' yang muncul di lipatan paha dan umbilical hernia yang muncul di daerah pusat (umbilikus).

SimptomSelain benjolan, simptom-simptom hernia seperti mual dan muntah, tiada selera makan, perut kembung dan tidak boleh membuang air besar. Gejala lain juga boleh muncul seperti demam dan dehidrasi. Jika tidak diambil langkah sewajarnya, pembuluh darah di daerah tersebut akan mengalami iskemia (tisu yang kekurangan oksigen) lalu terjadi penimbunan toksin yang kemudian tersebar melalui pembuluh darah. Akibatnya, kuman dan toksin berkumpul dalam darah. Keadaan ini amat serius kerana ia boleh mengancam nyawa seseorang.
RawatanApabila usus meng
alami gangren, ia boleh mereput dan membahayakan pesakit. Pesakit biasanya datang dengan simptom perut buncit dan kembung, bengkak pada celah paha yang tidak berkurangan, kulit bahagian terbabit kemerah-merahan dan sakit, selain muntah-muntah. Dalam keadaan ini, pembedahan kecemasan diperlukan untuk mengeluarkan usus yang mengalami gangren. Jika pesakit datang ke hospital pada peringkat awal, besar kemungkinan usus tersebut masih boleh diselamatkan.

Terdapat dua kaedah pembedahan untuk merawat hernia iaitu secara konvensional (memerlukan torehan yang agak besar) dan juga secara teknik laparoskopik. Pembedahan ini dilakukan dengan pesakit dibius secara keseluruhan dan proses pemulihan berlaku dengan cepat, membolehkan mereka menjalani aktiviti normal selepas dua minggu. 


Melalui teknik laparoskopik, sebanyak tiga torehan kecil sepanjang lima hingga 10 milimeter akan dilakukan. Rawatan ini memerlukan kepakaran amat tinggi. Luka yang kecil ini memungkinkan penyembuhan lebih cepat. Paling penting, risiko hernia berulang adalah amat rendah menggunakan pembedahan laparoskopik berbanding pembedahan konvensional.

Bagi pembedahan laparoskopik, pesakit mengalami kesakitan amat kurang manakala risiko jangkitan kuman juga rendah berbanding pembedahan konvensional. Pesakit sudah boleh bergerak dari katil dalam tempoh beberapa jam selepas pembedahan dan kembali melakukan rutin harian lebih cepat. Pesakit hernia yang selamat dibedah boleh mengalami kes berulang dalam masa beberapa bulan ke setahun.

Untuk mencegahnya daripada berulang, pesakit perlu menghindari perkara-perkara yang dapat meningkatkan tekanan di dalam rongga perut. Misalnya, berhenti merokok dan jika sukar membuang air, segera berubat dan elakkan meneran. Lakukan kerja lebih ringan dan turunkan berat badan. Jangan sesekali mengurut hernia kerana ia sangat berbahaya. Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ berkenaan pecah, mengalami jangkitan kuman dan membawa maut

Rabu, 4 April 2012

Risiko serius cerewet makan

Oleh Hamizah Badiran
SUAP...makan bersama dan ceriakan anak ketika menyuapkan makanan.
SUAP...makan bersama dan ceriakan anak ketika menyuapkan makanan.


“SUSAHNYA nak suruh anak saya makan apatah lagi bila dia sangat memilih makanan. Macam-macam cara saya sudah lakukan. Walaupun saya puas memujuk rayu dan menghidangkan pelbagai jenis makanan, dia tetap tidak mahu makan.”

“Saya takut kalau dia tidak makan, kesihatannya akan terjejas dan menjadi kurus. Saya juga risau kalau dia menghidap sebarang penyakit.”

Itulah antara keluhan insan bergelar ibu tatkala membicarakan mengenai masalah anak mereka yang sukar mahupun terlalu memilih makanan.

Pelbagai cara mungkin sudah dilakukan oleh golongan ibu dan bapa untuk menyuruh dan menggalakkan anak mereka makan. Ada yang menggunakan pendekatan memujuk, merayu, berleter, memarahi, mengugut dan menipu.


Ada juga yang menggunakan strategi lain seperti menyanyi, bercerita dan tidak kurang menari bersama anak mereka acapkali makanan berjaya disuapkan ke dalam mulut si manja.


Selain itu, ada juga yang terpaksa bersenam dengan mengekori anak ‘bertawaf’ ke sekeliling rumah sambil memegang sudu dan pinggan berisi makanan. Boleh dikatakan, banyak masa dihabiskan mereka semata-mata bagi memastikan si anak itu makan.

Tidak kurang ibu bapa yang memberi ‘rasuah’ kepada si anak supaya makan.
Contohnya, berjanji akan memberikan aiskrim, gula -gula atau membawa anak menonton wayang jika dia mahu makan.

Bagi sesetengah ibu bapa, mereka beranggapan masalah yang dihadapi ini adalah kelakuan normal di kalangan anak-anak yang sedang membesar. Namun hasil penyelidikan terkini menunjukkan kelakuan sedemikian sebenarnya mungkin kerana masalah kesukaran makan yang boleh menjejaskan diet, tumbesaran, pembangunan kognitif dan hubungan di antara ibu bapa dengan anak.

Masalah ini sememangnya sangat mencabar ibu bapa terutama mereka yang berkerjaya. Bukan saja ia menguji ketahanan fizikal dan mental, malah mungkin lama kelamaan mereka hilang sabar kerana terpaksa melayan kerenah anak.

Menurut Pengerusi Emeritus Jabatan Gastroenterologi dan Pemakanan di Pusat Perubatan Kanak-Kanak serta Profesor Pediatrik Universiti Perubatan dan Sains Kesihatan George Washington, Amerika Syarikat, Profesor Dr Benny Kerzner, ibu bapa harus mengenal pasti punca sebenar anak mereka tidak mahu atau sukar makan.

Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami masalah sukar atau memilih makanan berusia di antara satu hingga lima tahun di mana ibu bapa masih perlu menyuapkan makanan kepada mereka.

Makan sendiri dan menyuapkan makanan ke dalam mulut anak juga memberi dua definisi berbeza. Makan sendiri hanya membabitkan seorang pelaku saja iaitu anak itu sudah berupaya menyuapkan makanan ke dalam mulutnya sendiri. Sementara itu, bagi anak yang kecil dan tidak mampu, ibu bapa adalah individu yang wujud di sebelah mereka untuk menyuapkan makanan.

“Menyuapkan makanan kepada anak adalah interaksi di antara anak itu dengan penjaganya. Masalah yang timbul ketika sesi berkenaan seperti anak bertindak ganas, melarikan diri, menolak dan mengeluarkan semula makanannya berpunca daripada pelbagai faktor.

“Ia berkemungkinan disebabkan faktor psikologi, tingkah laku, kesihatan, perkembangan minda, pengaruh sosial dan budaya serta organik. Anak kurang selera makan juga mungkin akibat makanan, diri anak itu sendiri ataupun disebabkan individu (ibu bapa) yang menyuapkan makanan kepadanya.

“Contohnya, kuantiti dan diet seimbang makanan yang bersesuaian, masalah deria rasa atau penyakit kronik anak, persekitaran pemberian makanan yang sesuai serta peka terhadap tahap lapar dan isyarat kenyang anak-anak,” katanya.

Selain itu, kesukaran memberi anak makan juga mempunyai beberapa jenis iaitu kanak-kanak itu memang takut makan, terlalu memilih makanan, terlalu aktif atau bertenaga, sikap acuh tidak acuh dan ibu bapa terlalu teliti.

Menurut Dr Kerzner, ibu bapa perlu mempunyai prinsip dan peraturan ketika mahu menyuapkan anak.

Antaranya mengelakkan sebarang gangguan, bersikap biasa, sediakan jenis makanan yang menggalakkan selera makan, tetapkan tempoh waktu makan, sediakan makanan yang sesuai dengan umur anak, membenarkan mereka belajar makan dengan sendiri tetapi dengan pemantauan dan bertolak ansur dengan mereka.

Profesor Psikiatri dan Pediatrik merangkap Naib Pengerusi Jabatan Psikiatri Universiti Perubatan dan Sains Kesihatan George Washington, Amerika Syarikat, Profesor Dr Irene Chatoor, berkata bagi mengelakkan ‘pergolakan’ sewaktu sesi makan bersama si kecil, beberapa perkara boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa.

Ini termasuk memperbaiki cara pemakanan si kecil tanpa paksaan, perhatikan dan fahami isyarat serta tingkah laku mereka ketika makan.

Dalam apa jua kes, masalah kesukaran makan yang berlanjutan boleh membawa kesan fizikal yang serius termasuk kerencatan tumbesaran dan kekurangan nutrien.
Kesan emosi juga membimbangkan. Kajian menunjukkan kaedah memberi makan secara paksa yang digunakan oleh ibu bapa boleh memberi kesan negatif dan mempengaruhi interaksi dengan anak-anak.

Pembangunan kognitif juga mungkin terjejas seperti yang dilaporkan dalam kajian Profesor Irene yang mendapati markah Indeks Pembangunan Mental kanak-kanak cerewet makan berusia satu hingga tiga tahun adalah 14 mata lebih rendah berbanding mereka yang makan secara sihat.

Memandangkan masalah kesukaran makan boleh membawa pelbagai kesan negatif, ia tidak seharusnya dipandang mudah. Justeru, ibu bapa dinasihatkan membawa anak-anak mereka berjumpa doktor pediatrik bagi membantu mengenal pasti masalah sebenar dihadapi si anak dan mencari jalan penyelesaian sewajarnya sekiranya masalah ini berterusan.

“Ibu bapa boleh mewujudkan setiap masa makanan adalah detik terindah dan menggembirakan buat si anak. Berbual bersama mereka dan pastikan anda tidak terlalu mengikut arahan serta kehendak anak dalam pemilihan makanan.

“Di samping itu, saya menyarankan ibu bapa supaya menjadi contoh dan model kepada anak. Ini kerana, anak akan mudah mengikut corak pemakanan yang dilihat jika ibu bapa sendiri yang menjadi contoh terbaik buat mereka.