Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Ahad, 27 Mac 2011

TIPS Bila anak buat hal a.k.a memberontak...

Bila anak memberontak


IBU BAPA perlu konsisten dalam membentuk tabiat dan tingkah laku anak-anak.


KITA sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini.

Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa.

Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

Tabiat

Bertanya kepada Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, beliau menjelaskan, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera.

“Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.

“Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atu rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan.

“Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.

“Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Azhar menjelaskan, tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa.

“Sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten.

“Sebahagian besar ibu bapa berasa malu jika anak mereka meronta-meronta dan menangis di kedai kerana mahukan sesuatu.

“Tip paling baik, jangan beri apa yang dimahukan ketika mereka menangis atau memberontak, sebaliknya beri apabila mereka berkelakuan baik.

“Ibu bapa juga jangan kalah dengan tangisan kerana jika kita mengalah, itu hanya akan menambahkan galak mereka.

“Lama-kelamaan, mereka akan gunakan taktik air mata itu setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi.

“Sebaik-baiknya bersabarlah dengan kerenah mereka dan jangan berputus asa. Katakan kepada mereka, hajat mereka akan dipenuhi jika berkelakuan baik.

“Kerana itu, konsisten sangat penting supaya anak-anak tidak keliru,” jelasnya.

Wanita lebih murung

Kembali meneliti penyelidikan Ramli, antara kesimpulan daripada kajian tersebut ialah di antara lelaki dan perempuan, perempuan lebih berisiko mendapat kemurungan.

Golongan yang tidak terkecuali ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah, di kalangan keturunan Cina dan mereka yang terlibat dalam masalah disiplin seperti mencuri dan mengambil alkohol.

“Kemurungan dalam kajian lain sememangnya berkait rapat di kalangan mereka dari sosioekonomi rendah.

“Disebabkan tekanan hidup menyebabkan mereka lebih cenderung mendapatnya.

“Mengapa di kalangan keturunan Cina lebih cenderung? Antara spekulasi mengapa kajian ini mendapat keputusan begini kerana masyarakat Cina lebih terbuka menzahirkan tanda-tanda dan perasaan mereka berbanding masyarakat lain,” ulas Ramli.

Menolak tanggapan bahawa semua kanak-kanak yang dilabelkan nakal atau memberontak sebagai memiliki masalah sikap, Ramli mempunyai pandangan tersendiri.

“Jika anak memberontak, jangan lekas menghukum, apalagi terus merotan mereka. Adalah penting ibu bapa dan guru cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu,” katanya

Selasa, 15 Mac 2011

Botol susu polikarbonat diharam...kenapa perlu menunggu setahun!

Botol susu polikarbonat diharam


Liow Tiong Lai menunjukkan perbezaan di antara jenis botol susu yang mempunyai Bisphenol A (BPA) (kiri) di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 14 Mac – Penjualan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA) diharamkan berada di pasaran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mesyuarat Jemaah Menteri 2 Mac lalu bersetuju cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi jenis tersebut.

Menurutnya, langkah penguatkuasaan pengharaman tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2012.

“Keputusan pengharaman ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti menunjukkan botol susu polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat digunakan oleh bayi dan kanak-kanak.

“Tindakan ini juga dibuat dengan mengambil kira BPA telah diketahui boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh. Sehingga kini juga tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi serta tiada jaminan keselamatan untuk itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pengharaman penjualan botol susu bayi jenis itu di ibu pejabat kementerian, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman.

Tiong Lai berkata, tindakan pengharaman tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan pihak industri diberi tempoh setahun untuk membuat persediaan menukar, membeli mesin dan memilih penggunaan bahan mentah yang sesuai.

Pada masa sama, beliau berkata, pemantauan berterusan yang dijalankan pihak kementerian mendapati berlakunya migrasi BPA dari botol-botol susu bayi polikarbonat yang telah diuji.

“Sehingga tahun lepas, sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85 peratus daripadanya dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil kesan migrasi dari botol berkenaan.

“Kajian Universiti Malaya (UM) pula menunjukkan kadar migrasi yang berlaku meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 darjah Celsius berbanding suhu bilik 25 darjah Celsius,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan pengharaman itu, beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan pendekatan diambil oleh Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS).

“Terkini, pihak Kesatuan Eropah juga telah membuat pengumuman mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pengguna terutamanya terhadap bayi dan kanak-kanak.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dapat melindungi keselamatan kumpulan berisiko tinggi berkenaan sehinggalah terdapat maklumat keselamatan terbaru mengenai penggunaan BPA diperolehi.

Beliau menasihatkan dalam tempoh setahun ini, pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada migrasi BPA berdasarkan panduan penggunaan botol susu bayi jenis polikarbonat.

Namun begitu, katanya, pengguna boleh membuat pilihan awal dengan menukar botol susu bayi jenis polikarbonat kepada alternatif yang terdapat di pasaran mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau menambah, pihaknya juga akan menjalankan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam hal berkenaan.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian 0388833652/88833653 /88833655 atau layari laman web http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my