Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Isnin, 31 Disember 2012

Terapi Sedih dan Murung Dengan Tomato

Beijing: Amalan memakan tomato sekurang-kurangnya sebiji sehari boleh membantu mengubati kesedihan dan mengurangkan kemurungan sehingga 52 peratus, lapor satu kajian.

Penyelidik dari Universiti Perubatan Tianjin Dr Kaijun Niu, berkata, kajian yang dijalankan mendapati tomato memberikan kesan yang hebat untuk mengatasi kemurungan.
Sayuran ini dipenuhi lycopene yang mampu mengurangkan ketegangan dan memberi perlindungan kepada beberapa penyakit kronik seperti serangan jantung dan barah kepada mereka yang mengamalkannya.


Ramai orang mengamalkan makan salad dan menyangka sayuran ini banyak khasiat tetapi tomato mempunyai kandungan bahan yang jauh
lebih hebat untuk membantu mengekalkan kesihatan, katanya.

Kaijun berkata walaupun sebab sebenar tidak dapat dijelaskan penyelidikan kesihatan mental ke atas 1,000 responden berusia 70 tahun di Jepun mendapati, mereka yang makan sekurang-kurangnya dua biji tomato seminggu hidup lebih gembira berbanding kelompok yang tidak mengamalkannya.
Agensi

Isnin, 3 Disember 2012

Kualiti hidup selepas menopaus


Kualiti hidup selepas menopaus

KURANGNYA pendedahan terhadap gejala menopaus dan bagaimana menanganinya menyebabkan masyarakat sukar menerima kehadirannya. Apatah lagi, anda tidak tahu bila menopaus akan tiba. Dan pastinya anda juga tidak mahu ia memberi kejutan kepada anda. Dalam hal ini, wanita harus bersikap positif dan menganggap kehidupan mereka akan bertambah baik selepas mengalami menopaus (putus haid).

Ini kerana sebagai wanita, anda perlu bersedia dengan beberapa siri perubahan biologi tubuh dalam meniti setiap fasa kehidupan.

Perubahan akan berlaku termasuklah pusingan haid yang menandakan kematangan tubuh wanita, konsepsi, kehamilan, kelahiran dan menopaus .

Apa yang pasti, setiap fasa perubahan ini membabitkan rasa tidak selesa sama ada secara emosi mahupun fizikal.

Perubahan ini menjadi kebimbangan kepada wanita yang sukar berhadapan dengan kehidupan selepas menopaus .

Ada pelbagai teori yang mungkin dapat menjelaskan kebimbangan wanita terhadap menopaus. 

Pada masa lalu, keupayaan mendapat zuriat amat dipentingkan dan kehilangan upaya wanita untuk mengandungkan anak mungkin menjejaskan kepentingannya dalam masyarakat. 


Malah penekanan hari ini terhadap awet muda memberi tekanan besar terhadap wanita untuk melengahkan dan menafikan proses penuaan termasuk menopaus .

Persepsi yang tidak tepat ini menimbulkan salah faham dan cara pengurusan menopaus yang tidak tepat, menjadikannya satu pengalaman perit, bukan sahaja bagi wanita bahkan orang tersayang

Jumaat, 23 November 2012

Atasi konflik demi elak perceraian

Atasi konflik demi elak perceraian

PASANGAN yang bahagia juga menghadapi konflik namun ia boleh diatasi secara positif. - Gambar hiasan


CUTI persekolahan sudah bermula. Ia bukan hanya musim pelajar sekolah bercuti, malah musim untuk pasangan muda kita memulakan alam perkahwinan. 

Semoga perkahwinan mereka itu bukan sahaja berkekalan ke akhir hayat, lebih daripada itu, mereka dapat menikmati kemanisan berumah tangga.

Sekiranya ada gelombang yang menguji kehidupan rumah tangga mereka, terutamanya pada awal usia perkahwinan, mudah-mudahan mereka mampu menanganinya dengan baik. 

Ini penting kerana kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi jelas menunjukkan bahawa mereka yang berkonflik pada awal usia perkahwinan mempunyai potensi besar untuk bercerai. Ia berbeza pula bagi mereka yang memulakan awal perkahwinan yang membahagiakan.

Apatah lagi, dalam kehidupan moden hari ini, perceraian seolah-olah menjadi perkara biasa. Secara purata setiap tahun, kira-kira 20,000 kes perceraian berlaku dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita.
Lebih membimbangkan, dianggarkan bahawa perceraian berlaku setiap 15 minit. Ia mengingatkan kita dengan satu pepatah Perancis, love makes the time pass and time make love pass.
Dipengaruhi budaya

Tatkala bercinta, manusia terleka sehingga tidak menyedari masa yang berlalu. Bagaimanapun, semakin berubahnya masa, manusia juga tidak lagi menghiraukan cinta yang pernah mereka janjikan.
Jangka hayat perkahwinan juga kelihatannya dipengaruhi oleh budaya dan norma hidup sesebuah masyarakat. 

Dalam masyarakat Barat yang terkenal dengan nilai individualistik, masyarakatnya berpegang kepada suara hati mereka sendiri. Mereka akan meneruskan atau membubarkan sesebuah perkahwinan bergantung kepada 'apa yang dirasakan sebagai yang terbaik untuk naluri mereka', dan bukannya orang lain.
Situasinya terbalik dalam masyarakat kolektif, iaitu usia sesebuah perkahwinan biasanya bergantung kepada 'apa yang orang lain akan perkatakan?'

Inilah yang ada kalanya menjadikan seseorang itu sanggup meneruskan perkahwinan walaupun menderita, manakala ada pula yang berakhir dengan perceraian walaupun dugaan yang dihadapi tidak begitu besar.
Ada juga orang yang terpaksa menghadapi kehidupan rumah tangga yang sangat menyakitkan kerana keluarga tidak memberikan restu, walaupun pada hakikatnya pasangan tersebut tidak mempunyai sebarang masalah.

Keluarga harmoni
Secara umumnya, kajian-kajian menunjukkan bahawa perkahwinan biasanya kekal dalam kalangan pasangan yang dibesarkan dalam keluarga yang harmoni, mempunyai taraf pendidikan yang sama, mempunyai pendapatan yang baik, tinggal di kawasan luar bandar dan mempunyai pegangan agama yang baik. 

Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, komunikasi dikatakan sebagai aspek yang sangat utama dalam menentukan survival sesebuah hubungan. 

Komunikasi dalam konteks ini tidak semestinya hanya dalam bentuk perbualan, tetapi ia turut melibatkan bahasa tubuh yang lain. 

Kajian-kajian yang dijalankan sejauh ini menunjukkan bahawa pasangan yang bahagia biasanya memiliki ciri-ciri yang sama iaitu lebih kerap untuk saling menyetujui, menurut kehendak pasangan dan gemar untuk ketawa. 

Pasangan yang mengalami konflik pula biasanya lebih cenderung untuk mendominasi pasangan, sukar bersetuju dalam satu-satu isu dan saling mengkritik antara satu sama lain. 

Ini menjadikan rumah tangga telah menjadi kanvas tekanan hidup yang cukup menyedihkan. Ramai yang bermain kata yang indah semasa bercinta, tetapi mengeluarkan kata yang menyakitkan sesudah berumah tangga. 

Realiti yang harus difahami oleh pasangan baru berkahwin, bahawa setiap rumah tangga pasti akan berhadapan dengan konflik dan masalah. Sekalipun ketika bercinta semua perkara boleh menjadi indah, ia tidak semestinya benar ketika berada di alam rumah tangga. 

Bagaimanapun, bukanlah bermakna bahawa konflik itu akan menyebabkan seseorang tidak bahagia.

Hakikat perbezaan
Kajian-kajian juga melaporkan bahawa mereka yang bahagia juga sebenarnya menghadapi konflik. Bagaimanapun, mereka mampu mengecap bahagia kerana menyedari hakikat perbezaan dan lebih kerap untuk menghadapi konflik dengan reaksi yang lebih positif, misalnya senyuman, sentuhan, penghargaan dan ketawa. 

Sebaliknya, mereka yang menangani konflik secara negatif seperti meluahkan kata-kata sindiran kepada pasangan, sering berbalah pendapat atau menyakiti pasangan, biasanya akan berakhir dengan perceraian.

Atas sebab itulah, pasangan muda yang baru memulakan alam rumah tangga, mereka mesti belajar untuk menangani konflik rumah tangga secara positif. Masalah yang dihadapi tidak boleh ditangani secara terburu-buru.

Kebiasaannya, manusia akan mampu menangani konflik dengan baik sekiranya mereka bersikap positif terhadap masalah yang dihadapi dan bersangka baik bahawa keadaan akan berubah pada masa hadapan.
Ini biasanya berlaku pada peringkat kognitif atau dalam minda individu. Ada pula pasangan yang cuba menstabilkan keadaan dengan menyuarakan kelemahan yang dihadapi dan mencari jalan untuk diperbaiki.
Apabila berhadapan konflik yang sangat berisiko, salah seorang daripada pasangan perlulah melakukan pengorbanan dengan terus mengekalkan kesetiaan. Besar kemungkinan, keadaan akan bertambah baik pada masa mendatang.

Memilih bercerai setiap kali perselisihan belum tentu menjanjikan sesuatu yang lebih membahagiakan. Tabah menghadapi ujian itulah hakikat keindahan sebuah perkahwinan. 

Isnin, 22 Oktober 2012

Hebatnya habbatus sauda....

Khasiat makanan sunah Rasulullah



SEJAK tahun 1998, Abdul Malek Faisal Mohd. Hyffny tidak pernah cuai dalam jadual pengambilan kapsul habbatus sauda atau jintan hitam sebagai makanan tambahan setiap pagi dan malam. Jarang sekali beliau terlupa untuk memakannya.

Bekerja sebagai pengamal media membuatkan rutin hidupnya sentiasa berdepan dengan tekanan. Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Malek diserang hipertensi.

Justeru, Abdul Malek berikhtiar merawat kesihatan dirinya. Selain mendapatkan rawatan di hospital, beliau turut menggunakan kaedah alternatif bagi mengawal penyakit yang dihidapnya.

Dalam tempoh dua minggu mengamalkan pengambilan habbatus sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa, Abdul Malek menyedari perubahan positif pada kesihatan dirinya.

“Saya mengambil dua biji kapsul habbatus sauda pada waktu pagi dan dua biji pada waktu petang.
“Apa yang menggembirakan, saya dapat menghidupkan salah satu daripada sunah Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan,” ujar Abdul Malek, 46, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, beliau membuat keputusan meletak jawatan kerana mahu menimba ilmu di Syria. Berada di negara Asia Barat itu selama tiga tahun membuka peluang kepada Abdul Malek untuk mengenali tumbuhan habbatus sauda. 

Di Syria, beliau mengunjungi sebuah ladang hijau yang subur dengan tumbuhan hababtus sauda di Hama.
Hama merupakan sebuah bandar di tebing Sungai Orontes yang terletak di bahagian tengah Syria atau 213 kilometer ke utara Damsyik.

Memiliki populasi kira-kira 700,000 orang, Hama merupakan bandar keempat terbesar di negara itu selepas Aleppo, Damsyik dan Homs.

Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang berbunga secara tahunan. Asalnya ia tumbuh meliar di negara-negara sekitar Mediterranean. 

Kemudian ia ditanam secara meluas di utara Afrika terutama Mesir, selatan Eropah, Syria dan Asia Tengah seperti Iran dan India.

Ketinggian khasiat tumbuhan itu diperakui oleh ramai cendekiawan silam, ratusan saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia.

Ibnu Sina dalam bukunya The Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda mampu merangsang tenaga serta membantu memulihkan kepenatan dan semangat.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Carolina Selatan di Amerika Syarikat pula mendapati, ekstrak habbatus sauda memiliki khasiat antitumor tanpa kesan sampingan.

Makam Firaun
Mengikut catatan sejarah, habbatus sauda pada awalnya ditemui di dalam makam Firaun Tutankhamen. Penemuan tersebut memberi gambaran bahawa tumbuhan itu amat penting dalam kehidupan orang Mesir purba.

Walaupun kegunaan sebenarnya tidak diketahui secara tepat, ia dipercayai mampu memberi manfaat kepada raja mereka selepas mati.

Bagaimanapun, hakikatnya kegunaan habbatus sauda dalam perubatan tercetus selepas kedatangan Islam.
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kekallah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati.”

Prof. Dr. Latiffah A. Latiff dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia menjelaskan, tumbuhan Nigella sativa adalah salah satu anugerah Allah yang amat bernilai buat manusia.
EKSTRAK minyak habbatus sauda dalam bentuk gel lembut.


Justeru, sebagai saintis dan pakar perubatan kesihatan awam, beliau bertanggungjawab untuk menghuraikan hakikat tersebut dengan fakta sains bagi membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad.

“Habbatus sauda memang menakjubkan kerana setiap butir bijirin ini terdiri daripada berjuta-juta sel yang menyerupai sel darah manusia,” ujar beliau yang menjalankan penyelidikan tentang habbatus sauda selama sedekad. 

Latiffah mengakui semakin banyak kajian dilakukan, semakin banyak pendedahan baharu ditemui.

“Apa yang pasti terdapat lebih 100 bahan aktif yang terkandung dalam bijirin hitam dengan timokuinon mendominasi antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhannya.

“Hasil beberapa kajian yang kami jalankan membuktikan bahawa bahan timokuinon yang diekstrak daripada habbatus sauda berupaya menurunkan paras kolesterol, glukos dalam darah dan berat badan sekali gus mengurangkan risiko penyakit sindrom metabolik dan penyakit jantung,” jelas beliau.
Lewatkan penuaan

Ujar Latiffah, kajian pada haiwan makmal yang diaruh penyakit Alzheimer atau nyanyuk dan diberi makan bahan aktif timokuinon daripada minyak habbatus sauda turut mempunyai kesan tersendiri.
“Penyelidikan itu merumuskan bahawa habbatus sauda telah menurunkan paras beta amiloid iaitu sejenis protein yang terdapat pada otak haiwan nyanyuk berbanding haiwan kawalan yang tidak menerima suplemen habbatus sauda.

“Kajian pada tisu kultur dan sel kultur pula menunjukkan bahan aktif asid linoleinik daripada ekstrak minyak habbatus sauda mampu mengurangkan pertumbuhan sel kanser payu dara secara signifikan.

DR. LATIFFAH banyak menjalankan penyelidikan tentang keberkesanan khasiat habbatus sauda sejak lebih sedekad lalu.


“Di samping itu, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan berupaya melambatkan proses penuaan,” terang Latiffah yang turut mengkaji keberkesanan habbatus sauda terhadap wanita menopaus dalam aspek peningkatan kualiti kehidupan seperti kecergasan mental, spiritual dan hubungan kelamin.

Tambah beliau, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan dalam tempoh dua minggu mampu melancarkan sistem penghadaman, melawaskan pembuangan najis terutamanya bagi mereka yang mengalami sembelit, meningkatkan tenaga dan kadar kecekapan seseorang.

“Buat masa ini, saya masih mengkaji tentang persediaan habbatus sauda yang terbaik untuk diambil iaitu sama ada dalam bentuk asli, minyak atau dicampur dengan bahan lain.

“Namun, secara saintifik sukar untuk dipastikan keberkesanan makanan yang bercampur. Misalnya, mengambil habbatus sauda dengan madu. 

“Kita tidak tahu yang mana satu antara kedua-duanya yang menjadi penyembuh dan memberi kesan positif kepada sesuatu keadaan,” jelas beliau.


Selasa, 9 Oktober 2012

Bahaya gula berlebihan

Bahaya gula berlebihan

BUKAN senang untuk menerima hakikat jika ibu atau bapa anda didiagnos menghidapi diabetes. Perkara pertama yang pasti diminta oleh doktor ialah menjauhi gula. Ia tidak senang dilakukan kerana mereka telah biasa dengan gula sepanjang hayat. Lagipun, rasa gula mencetuskan sejenis hormon dalam otak yang membuatkan kita berasa senang. Inilah yang menyebabkan mengapa ramai orang mendapati sangat susah hendak meninggalkan gula.

Bagi penghidap diabetes, gula akan meningkatkan paras gula darah yang seterusnya akan meningkatkan risiko komplikasi yang melibatkan saraf, mata, buah pinggang dan jantung. 

Kini, Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association (AHA)) telah meletakkan gula tambahan dalam senarai penyebab yang boleh menjejaskan jantung selain daripada pengambilan terlalu banyak garam, lemak, kolesterol dalam diet. Menurut AHA, pengambilan gula yang tinggi dikaitkan dengan kesihatan yang tidak baik, termasuk kegemukan (obesiti), diabetes, tekanan darah tinggi, radang, paras trigliserida tinggi, semuanya ini merupakan faktor risiko penyakit jantung dan strok.

Apakah itu gula?

Gula pasir putih, juga dikenali sebagai sukrosa adalah bentuk gula paling biasa, tetapi bukan satu-satunya jenis gula. Bentuk-bentuk lain termasuk gula perang, fruktosa, maltosa, gula melaka, glukosa, madu dan sirap mapel. 

Adakah kita mengambil terlampau banyak gula?

Rakyat Malaysia pada amnya mengambil lebih kurang sebanyak 19 sudu teh (76 gram) gula tambahan setiap hari. Ini bermakna kira-kira 300 kalori daripada jumlah kalori harian anda datangnya daripada gula. Pakar kesihatan menganggap ini adalah jauh melebihi had. Kita sepatutnya mengambil gula tidak lebih daripada enam sudu teh (100 kalori) bagi wanita dan sembilan sudu teh (150 kalori) bagi orang lelaki( yang disyorkan oleh Persatuan Jantung Amerika).

Tahukah anda bahawa minuman 3-dalam-1 sarat dengan gula. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula. Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan oleh AHA. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.
Pemanis tiruan

Seperti yang anda ketahui, pemanis tiruan dikatakan'bebas gula' dan boleh menjadi satu pilihan baik untuk menggantikan gula. Persoalannya, adakah ia benar dan selamat? Munkin anda boleh melayari laman web untuk mengetahui lebih lanjut tentang 'aspartame; sucralose; side effects; dangers.'

Mungkin anda pernah terbaca bahawa makanan dan minuman, minuman berkarbonat, yogurt, makanan yang dimasak dengan ketuhar, malah minuman segera tiga dalam satu mengandungi pemanis tiruan. Sebelum membeli, periksa label makanan untuk mengesan sebarang pemanis tiruan yang tersembunyi.

Pemanis semula jadi - ekstrak stevia

Ia dikenali sebagai 'daun manis' atau stevia rebaudiana. Stevia 300 kali lebih manis daripada gula tetapi tidak mengandungi sebarang kalori. Ekstrak ini diperbuat daripada bahagian yang paling manis dalam daun stevia.

Di samping rasanya yang sedap, ekstrak stevia adalah selamat dan tiada kesan sampingan. Ekstrak stevia tidak mengandungi kalori dan tidak menaikkan paras gula darah. Oleh itu, ia adalah pilihan bijak bagi penghidap pra-diabetes, diabetes dan mereka yang mengambil berat tentang kesihatan.
Sebagai pemanis semula jadi, rasa stevia tidak seperti gula tetapi ia tetap menjadi pengganti gula yang terbaik.
 

Khamis, 4 Oktober 2012

KENALI PERWATAKAN SUAMI ANDA!

Mengenali suami sendiri

KERANA cinta anda telah berumahtangga dengan seseorang yang pada awalnya anda merasakan dialah yang paling sesuai menjadi pasangan dalam hidup.

Sedangkan sebenarnya, hanya selepas beberapa lama tempoh perkahwinan, barulah anda mengenali siapakah suami anda sebenarnya. 

Artikel ini ditulis bukan untuk membuat anda rasa resah dan gelisah. 

Ia sekadar memberi panduan kepada anda sebagai seorang isteri untuk mengenali siapakah suami anda sebenarnya dan mengapa anda perlu berusaha untuk mengubah sikap atau mendorongnya menjadi insan yang lebih baik. 

Apa-apa pun, yang penting perlunya anda mengetahui sikap sebenar suami anda terlebih dahulu.

Sukar dipercayai
Suami anda sering bercakap tidak benar dan selalu menyembunyikan personaliti yang sebenarnya ketika keluar berjanji temu dengan anda. Selalunya perangai ini hanya dapat dikesan selepas beberapa bulan berkahwin. Jika perkara ini berlaku terhadap anda ternyata anda perlu lebih berhati-hati dan selalu bertanyakan kepada rakan-rakannya mengenai apa yang dilakukannya di belakang anda. Tetapi sekiranya rakan suami pun bersubahat dengan suami anda... usahalah cara lain.

Suka bertindak ikut rasa
Dia akan menghubungi anda sesuka hatinya bertanyakan sesuatu dan dilihat suka membuli anda dan tidak suka kata-katanya dibangkang. Suami seperti ini mungkin agak panas baran orangnya, anda sebagai isteri pasti tahu bagaimana untuk memujuk, mungkin dengan cara kelembutan yang anda miliki.

Teragak-agak membuat keputusan
Dia mengajak anda keluar kemudian selang beberapa jam kemudian dia bertukar fikiran pula. Jika anda berkahwin dengannya , pastikan keputusannya benar-benar 'sahih' sebelum melakukan apa-apa aktiviti. Sekiranya berlaku juga lagi... sabar sajalah.

Suka menonjol
Adalah benar pada masa sekarang sebahagian golongan lelaki suka menonjolkan diri dan menjadi insan yang berjaya. Selalunya lelaki seperti ini menawan, kacak dan senang dengan wanita. Namun lelaki seperti ini sebenarnya mudah dan mungkin akan jatuh cinta lagi dengan wanita lain kecuali anda pandai mengendalikan dirinya.

Mendominasi (menguasai)
Dia selalu menguasai segala tindakan dan minda anda sehingga baju anda pun dia yang memilihnya. Anda bakal merasakan hanya sekadar boneka. Lelaki ini juga mudah menggunakan penderaan mental dan fizikal ke atas isterinya.

Tidak mempunyai perasaan
Lelaki jenis ini akan 'mencuri' anda daripada keluarga dengan memisahkan anda daripada rakan-rakan sehingga mengganggu kehidupan biasa anda kerana dia tidak suka melihat anda bergaul dengan orang lain.

Tidak yakin pada diri sendiri
Seorang lelaki yang berharap segalanya pada anda dan segalanya tentang anda. Mula-mula anda akan rasa seronok tetapi lama-kelamaan semuanya menyakitkan hati.

Terlalu mengharapkan kesempurnaan
Dia cuba mengawal kesemua perkara yang anda lakukan dengan tepat untuk mendapatkan kesempurnaan sebagaimana yang dihajatinya. Kemudian, apabila ada masalah mendatang, anda pula dipersalahkan.

Manipulasi
Dia hanya mahu mengawal segalanya termasuk hobi anda sampailah ke perbualan dan segala tindakan yang dilakukan untuk faedah dirinya sahaja sehinggakan semua idea yang dikeluarkan, anda harus mempercayainya biarpun anda sangsi mengenainya.

Misteri
Ini bergantung kepada usia dan kematangan. Sekiranya sampai ke tua pun hidup anda masih ditakuk itu, bermaksud lelaki ini tiada objektif yang jelas dalam dirinya dan menganggap kehidupannya adalah mudah termasuk dalam soal kewangan.

Isnin, 1 Oktober 2012

CARA DIDIK ANAK PEREMPUAN!


Didiklah anak-anak perempuan kita untuk menjadi:

1. Dai’eyah (داعية)
Berusaha untuk menghidupkan usaha dakwah Nabi saw, dengan tujuan untuk memperbaiki diri kepada iman yang sahih, dan amal yang mengikut sunnah Rasulullah saw. Dan dalam masa yg sama, menggalakkan suami & mahramnya utk memperbaiki diri mereka juga dgn membuat pengorbanan diri, harta dan masanya, untuk berjumpa dgn umat di serata alam.

2. A’limah (عالمة)
Fasih dalam ilmu pengetahuan agama, mengetahui selok belok ilmu masaiel (hukum ahkam agama) dan fadhaiel (kelebihan amalan agama), dan berusaha untuk menghidupkan majlis taa’lim di dalam rumahtangganya dan untuk wanita & anak-anak di kawasan kejiranannya.

3. A’bidah (عابدة)
Melapangkan masa hariannya, untuk beribadah kepada Allah dengan mengamalkan zikir-zikir, doa-doa, dan memperbanyakkan bacaan Al Quran. Dan yang paling penting, dia menjaga solatnya supaya ditunaikan di awal waktu, memperbanyakkan solat sunat (terutama tahajud) dan menggalakkan mahramnya untuk solat berjemaah di masjid.

4. Khodimah (خادمة)
Mahir dan suka berkhidmat untuk suami, anak-anak, ibubapa, keluarga dan masyarakat. Pandai memasak, menjahit, mengemas rumah, mengurus anak-anak dll. Sifat ini akan mendekatkan seseorang dengan Allah serta menjadikan anak kita lebih tawaddhu’ dan taat.

5. Murobbiyah (مربية)
Menjadi pendidik buat anak-anaknya, kerana sekolah yang pertama buat anak-anak ialah ibunya. Mendidik anak-anak nya dengan cara sunnah, dan menjadikan Rasulullah saw & sahabat-sahabat r.ahum sebagai idola kejayaan mereka. Kerana matlamat kejayaan yg dikehendaki olehnya adalah matlamat kejayaan di sisi Allah iaitu, taat perintah Allah mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw
InsyaAllah, semoga Allah swt kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkannya dan menyampaikan pada orang lain. Aamin.
Rujukan : http://anakkusoleh.com

4 TAHAP DIDIK ANAK SECARA ISLAMI

  • TAHAP PERTAMA - Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (~6 tahun). Hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.
  • TAHAP KEDUA - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh (~14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, displin dan beri tanggungjawab.
  • TAHAP KETIGA - Anak berusia 15 tahun hingga dewasa (~21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • TAHAP KEEMPAT - Anak berusia lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Jumaat, 28 September 2012

Sakit sendi - Artritis, osteoporosis dan osteoarthritis

Sakit sendi jejas kualiti hidup

Rawan yang meliputi penghujung tulang atau sendi menjadi haus dan ia boleh menyebabkan kesakitan sendi dan bengkak
 
LAZIMNYA penyakit yang berkaitan dengan sendi dan tulang ini adalah osteoarthritis (OA), artritis dan osteoporosis.

Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan radang, artritis haus dan lusuh manakala osteoporosis pula berkaitan dengan kekuatan dan kepadatan tulang.
Begitupun, artritis dan osteoporosis lebih kerap didengari dan kesedaran mengenainya juga lebih tinggi berbanding osteoarthritis.
Secara umumnya osteoarthritis berlaku akibat rawan yang meliputi penghujung tulang atau sendi menjadi haus dan ia boleh menyebabkan kesakitan sendi, bengkak dan kecacatan. 

Menurut Pakar Perunding Rheumatologist, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Amir Azlan Zain, osteoarthritis adalah penyakit yang melibatkan kualiti hidup seseorang. 

Ini kerana apabila seseorang itu disahkan menghidap osteoarthritis, mereka mungkin akan mengalami masalah seperti tidak boleh berjalan, bengkak di bahagian lutut, tidak boleh membengkokkan kaki serta mengalami kesakitan yang berlarutan.

Tambah Dr. Amir, osteoarthritis yang lazimnya akan menyerang pada bahagian lutut juga boleh merebak ke bahagian-bahagian lain seperti bahu, jari tangan, jari kaki serta pinggang.

Katanya lagi, sehingga kini masih belum ada rawatan yang betul-betul dapat menyembuhkan osteoarthritis. 

“Walaupun penyakit ini tidak boleh diubati, tetapi kesakitan dapat dikurangkan dengan pelbagai cara seperti senaman, fisioterapi, pengambilan ubat tahan sakit dan juga suplemen seperti glukosamina.

“Begitupun apa yang boleh dicadangkan kepada pesakit ialah melakukan senaman secara berterusan yang bertujuan menguatkan otot-otot di sekitar sendi yang terlibat.

“Pada masa yang sama senaman yang dilakukan ini juga dapat menolong melonggarkan sendi-sendi yang kaku akibat osteoarthritis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, selain senaman, pesakit-pesakit juga perlu mengambil berat tentang pemakanan mereka.
Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan obesiti dan pengurangan berat badan dapat membantu mengurangkan tanda-tanda penyakit tersebut. 

Secara tidak langsung, ia dapat melambatkan proses kemerosotan sendi akibat daripada impak berat badan yang berlebihan.

Sementara itu, menurut Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Arthroplasty, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Lee Chong Meng, sekiranya keadaan menjadi lebih teruk di mana kualiti hidup terjejas teruk, pembedahan adalah perlu untuk meningkatkan kembali kualiti hidup pesakit.

Bagaimanapun katanya, pembedahan adalah pilihan terakhir dan ia bergantung kepada keperluan individu dan tahap penyakit osteoarthritis yang dihidapi. 

“Melalui pembedahan, sekurang-kurangnya pesakit osteoarthritis akan mendapat kembali kehidupan asal mereka walaupun ia tidak 100 peratus. Di samping itu mereka juga akan mendapati sakit sendi telah berkurangan.

“Bagaimanapun pembedahan ini biasanya dilakukan untuk sendi-sendi yang besar seperti lutut, pinggul dan juga bahu.

“Lazimnya pembedahan ini dilakukan di mana sendi-sendi yang rosak ditukar dengan sendi-sendi tiruan," katanya.

Untuk itu, orang ramai disarankan agar mengubah gaya hidup mereka seperti mengurangkan berat badan, amalkan gaya pemakanan yang sihat serta bersenam kerana ia dapat menolong menangani gejala-gejala osteoarthritis.

Pada masa yang sama, pesakit-pesakit turut disarankan menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa mengenai osteoarthritis. 

Bagaimanapun mereka digalakkan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan awal di samping mendapat nasihat serta rawatan yang perlu dalam usaha mengurangkan sakit tersebut.

Jumaat, 21 September 2012

BAHAYA BUASIR DAN CARA PENCEGAHAN

SEORANG wanita yang baru saja melahirkan anak menderita penyakit buasir sejak hamil dan semakin parah apabila melahirkan anak secara normal. Wanita berkenaan menderita buasir kerana kandungannya yang besar menekan usus dan menyebabkan sembelit.
Selepas bersalin, buasirnya semakin parah. Doktor menasihatkannya merendam buasir tadi di dalam air garam suam selama 10 hingga 15 minit untuk mengecutkannya.
Pakar Runding Pembedahan Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Jonah Azariah berkata, pesakitnya kini telah sihat dan tidak perlu menjalani pembedahan.
"Bagaimanapun jika buasir tidak kecut, pembedahan dengan bius separuh badan dilakukan.
"Biasanya pembedahan menggunakan laser bagi mengurangkan kesakitan dan darah," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Dr. Jonah menambah terdapat juga pakar perubatan menggunakan dawai kokot atau stapler atau getah untuk mengikat buasir bagi menghalang perjalanan darah.
Teknik ini akan menyebabkan buasir tertanggal dengan sendiri dalam masa dua hingga empat minggu.
"Penyakit buasir atau hemoroid adalah penyakit yang terjadi di bahagian dubur. Ia berlaku apabila saluran darah mengembang dan bengkak di sekitar dubur (rektum dan anus)," katanya.
Menurutnya lagi, buasir boleh menyerang sesiapa saja, tidak kira usia dan jantina.
"Biasanya tanda awal berlaku sewaktu meneran terutama apabila sembelit membuang air besar sehingga menyebabkan sel bengkak melapisi saluran dubur," katanya.
Sembelit jelas Dr. Jonah boleh berlaku akibat jangkitan kuman dalam usus termasuk gastrik, mereka yang mengalami sembelit sejak kecil, diet kurang fiber, kanser usus dan penyakit luar biasa usus besar.
"Biasanya pesakit buasir yang berusia lebih 40 tahun perlu menjalani pemeriksaan usus besar untuk mengetahui keadaan di dalamnya.
Tisu elastik"Pesakit muda pula biasanya mengalami ketumbuhan atau kanser dan seelok-eloknya usus besar diperiksa menggunakan skop," katanya.
Kebarangkalian mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun lebih terdedah kepada buasir tetapi terdapat juga kes bayi menderita buasir kerana kelainan pada usus.
Dr. Jonah berkata, terdapat juga buasir yang bukan disebabkan oleh masalah usus tetapi saluran darah di hujung usus besar tersumbat.
"Biasanya apabila sembelit, pesakit perlu meneran setiap kali membuang air besar menyebabkan darah sukar kembali ke jantung.
"Salur darah akan tersumbat dan bengkak menyebabkan tisu elastik darah longgar, nipis atau hilang hingga menyebabkan buasir yang parah," katanya.
Dr. Jonah berkata, terdapat empat peringkat buasir. Bagi peringkat pertama dan kedua pesakit boleh dirawat tanpa pembedahan.
"Pesakit perlu mengambil ubat pada dos yang betul untuk mengecutkan buasir, menghentikan pendarahan dan melawaskan buang air besar," katanya.
Pada peringkat tiga, biasanya 10 peratus pendarahan akibat buasir tidak boleh dihentikan dengan ubat. Biasanya buasir akan diikat dengan gelang getah untuk menyekat saluran darah dan buasir akan tanggal dalam masa dua minggu.
Pada peringkat empat apabila keadaan semakin parah dengan pendarahan dan nanah tetapi tisu elastik masih ada, pembedahan tidak perlu dijalankan.
"Bagaimanapun apabila keadaan semakin teruk kerana tisu elastik sudah hilang, pembedahan perlu dijalankan," katanya.
Dr. Jonah berkata, pesakit buasir perlu mengubah gaya hidup untuk sentiasa sihat.
"Pesakit perlu jaga pemakanan dengan kurangkan makanan di luar, lebihkan fiber, banyak minum air suam dan senaman.
"Seelok-eloknya hentikan merokok, minum arak dan kurangkan pedas dan gunakan tandas duduk," katanya.
Jika masalah buasir berulang, Dr. Jonah menasihatkan pesakit terus berjumpa doktor untuk rawatan susulan.

Helicobacter pylori (H. pylori) itu menjadi penyebab utama gastritis kronik dan ulser gastrik.

Wanita sumber utama bagi jangkitan



WANITA seringkali ditugaskan untuk menyediakan makanan harian, menjaga kesejahteraan keluarga dan bertanggungjawab memelihara kebersihan dan ketenteraman kediaman. 

Walaupun begitu banyak masa dan penjagaan dihabiskan bagi melaksanakan tugas tersebut, ada isu lain yang perlu diberi perhatian.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa wanita merupakan sumber utama penyebaran sejenis bakteria yang dilabel sebagai karsinogenik (cenderung menyebabkan berlakunya kanser) tahap pertama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Bakteria yang dikenali sebagai Helicobacter pylori (H. pylori) itu menjadi penyebab utama gastritis kronik dan ulser gastrik.

Menurut Pakar Gastroenterologi terkemuka, Dr. Vagif Soultanov yang merupakan pengamal terapi semula jadi dari Australia, H. pylori merupakan musuh utama bagi kanser perut.

"Kebiasaannya, jangkitan H. pylori adalah sama dalam kalangan lelaki dan wanita. Kajian menjelaskan bahawa ibu-ibu yang dijangkiti merupakan sumber utama bagi jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.
"Jangkitan H. pylori mungkin disalurkan melalui makanan, air yang tercemar, sentuhan pada material linen atau barang permainan," ujarnya.

Katanya lagi, keadaan di negara membangun seperti Malaysia membentuk sentuhan yang lebih rapat antara ibu-ibu, anak-anak dan dalam kalangan adik-beradik.

"Ini mungkin merupakan sebab utama kepada kadar jangkitan pada tahap tinggi dilaporkan. 

"Tambahan pula, di negara membangun, kaum bapa merupakan sumber pencari nafkah utama keluarga, menjadikan mereka kurang bersentuhan dengan anak-anak. 

"Ini menguatkan lagi pendapat bahawa jangkitan H. pylori dikaitkan dengan kaum ibu," jelasnya.

Soultanov menjelaskan, kanser perut bukanlah sesuatu yang berkembang semalaman. Mengenal pasti isyarat-isyarat yang membimbangkan dari perut sangat penting bagi mengelakkan masalah kesihatan serius pada kemudian hari.

Gastritis merupakan keradangan atau kerengsaan pada dinding perut. Ia boleh terjadi secara tiba-tiba atau berperingkat.
JANGKITAN H. pylori yang tidak dirawat menyebabkan kanser perut terbentuk.


Sakit abdomen


Antara simptomnya ialah sakit perut yang sering kali digambarkan seperti rasa panas di bahagian abdomen atas pusat yang dikaitkan dengan kembung, sendawa dan kehilangan selera makan.
Simptom-simptom tersebut seringkali berlaku selepas makan, malah ada kebanyakan pesakit bangun pada waktu pagi dengan kesakitan di bahagian abdomen.

Kadangkala, kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang simptom dan dalam hal ini, ujian H. pylori melalui darah atau nafas perlu dilakukan bagi mengenal pasti status jangkitan.
Soultanov yang telah menerbitkan beberapa kerja penyelidikan dalam bidang ini menggambarkan H. pylori sebagai penyebab utama kanser perut.

Kaitan antara jangkitan H. pylori dan penyakit ulser peptik serta kanser perut merupakan penemuan utama dalam bidang gastroenterologi.
"Jangkitan H. pylori menyebabkan gastritis kronik, sejenis keradangan pada perut yang berlarutan serta boleh membawa kepada gastritis atrofi (luka prakanser), permulaan pada kanser perut.

"Malah, jangkitan H. pylori diisytiharkan oleh WHO sebagai karsinogen tahap pertama," katanya.

Tambahnya, lebih memeranjatkan jangkitan tersebut merebak secara meluas.

Lebih daripada 50 peratus daripada populasi dunia (lebih daripada tiga bilion orang) sudahpun dijangkiti sekali gus menjadikannya satu daripada jangkitan yang merebak dengan meluas di dunia. Lazimnya, jangkitan terjadi pada zaman kanak-kanak.
BEGINILAH keadaan pada dinding perut yang diserang bakteria H. pylori.


Cabaran rawatan
Sekiranya mereka yang dijangkiti itu tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya, kemungkinan untuk mereka mendapat kanser perut adalah sebanyak enam kali ganda berbanding golongan yang tidak pernah dijangkiti.

Walaupun kebanyakan pakar perubatan bersetuju bahawa jangkitan H. pylori mesti dirawat bagi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku, rejim penjagaan standard berdepan dengan beberapa masalah.

Antara permasalahan yang timbul daripada terapi ialah rintangan antibiotik dan tahap pematuhan pesakit yang rendah.

Rintangan antibiotik berlaku apabila meningkatnya penggunaan antibiotik. Keberkesanannya dikompromi memandangkan bakteria telah membina ketahanan bagi mengatasi keberkesanan antibiotik.
Dalam pada itu, tahap pematuhan pesakit yang rendah pula merujuk kepada pesakit yang tidak menuruti beberapa rejim rawatan seperti yang disyorkan.

Selasa, 7 Ogos 2012

APabila Isteri Menceritakan Masalah? Apa yang perlu si SUami Lakukan?

Perempuan dan Masalah

Dari TIM HADITH PSIKOLOGI

Semua orang menghadapi masalah. Di tempat kerja, semua pekerja, baik pekerja lelaki mahupun perempuan, berkongsi masalah-masalah kerja yang sama dan serupa, mengikut situasi pekerjaan masing-masing. KPI pekerja lelaki dan pekerja perempuan sama sahaja. Beban tugas dan tanggungjawab jawatan yang mereka sandang pun sama sahaja.

Di tempat kerja, pekerja lelaki dan perempuan belajar menyelesaikan masalah menggunakan strategi, teknik dan prosedur yang sama.

Walau bagaimanapun, dalam menyelesaikan masalah peribadi, keadaannya berbeza sekali.

Pakar-pakar psikologi mendapati cara-cara dan strategi yang digunakan oleh lelaki dan perempuan apabila mereka menangani masalah peribadi adalah berbeza. Perbezaan strategi yang mereka gunakan itu muncul dalam gaya komunikasi mereka. Perbezaan itu juga sering menimbulkan masalah komunikasi antara suami dan isteri.

Kajian-kajian pakar psikologi mendapati, apabila perempuan menghadapi masalah peribadi, mereka suka bercakap berkenaan masalah itu dengan tidak mempunyai niat hendak mencari jalan bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Inilah yang ramai lelaki tidak faham.

Bagi lelaki, adalah tidak masuk akal perbuatan bercakap berkenaan masalah kalau tidak dengan niat mahu menyelesaikan masalah itu.

Bagi perempuan, salah satu cara menghadapi masalah adalah dengan bercakap dan bercakap mengenai masalah itu, dengan tidak payah menyelesaikannya. Bagi mereka, bercakap-cakap itu sendiri adalah penyelesaian.

Apabila perempuan dapat bercakap sampai puas berkenaan masalah yang mereka hadapi, dada mereka akan berasa lapang dan mereka bolehlah meneruskan hidup macam biasa.

Lelaki tidak seperti perempuan. Lelaki tidak tahu bahawa apabila perempuan bercakap berkenaan masalah, biasanya mereka bukan mahu supaya masalah itu diselesaikan. Mereka sekadar mahu bercakap-cakap mengenai masalahnya sahaja!

Disebabkan lelaki tidak tahu hal itu, maka kebanyakan lelaki bosan apabila isteri mereka mula mengadu berkenaan masalah mereka.

Bagi lelaki, setiap masalah mesti dicarikan penyelesiannya. Jadi, apabila isteri mereka mengadu tentang masalah yang mereka hadapi, lelaki cepat-cepat berfikir lalu memberikan cadangan bagaimana masalah isterinya itu dapat diselesaikan.

Bagi lelaki, itulah tindakan yang paling logik. Isterinya menghadapi masalah, maka logiklah dia membantu memikirkan idea bagaimana masalah isterinya itu boleh diselesaikan.

Dan bagi lelaki, itulah cara yang paling baik bagi menunjukkan kasih sayang terhadap isteri yang sedang mengalami masalah. Akibatnya, belum sempat isterinya bercakap banyak berkenaan masalahnya, lelaki sudah cepat-cepat mengusulkan bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Inilah yang menyakitkan hati perempuan apabila bercakap tentang masalah dengan suami mereka. Lain yang diharap, lain yang didapat.

Antara rungutan yang paling banyak dikemukakan oleh perempuan terhadap suami mereka adalah, suami mereka tidak berminat mendengar masalahnya.

Cara-cara yang dilakukan oleh lelaki apabila tidak berminat hendak mendengar masalah isterinya adalah dengan melakukan 3 perkara ini:

a. Dia memang tidak mahu mendengar langsung, lalu dia pun berpura-pura tidak mendengar isterinya bercakap.

b. Dia mendengar, tetapi dengan sambil lewa sahaja, macam hendak tak hendak.

c. Dia cepat-cepat memberi cadangan apa yang patut dibuat oleh isterinya, walaupun si isteri baru bercakap dua tiga ayat.

Perempuan suka bercakap-cakap tentang masalah mereka. Masalah-masalah yang kecil-kecil pun mereka suka bercakap-cakap mengenainya. Mereka berasa puas dapat bercakap-cakap berkenaan masalah-masalah kecil.

Lelaki pula mendapat rasa puas apabila mereka dapat menyelesaikan masalah mereka. Bagi lelaki, kalau ada masalah, cara yang betul ialah menyelesaikan masalah itu, bukan bercakap-cakap kosong mengenainya. Semakin besar masalah yang berjaya diselesaikannya, semakin lelaki puas hati.

Itulah sebabnya apabila isteri mereka mengadu dia mempunyai masalah, lelaki cepat-cepat memberi nasihat kepada isterinya, ataupun memberi idea bagaimana masalah itu patut diselesaikannya. Padahal isterinya bukan mahu nasihat ataupun sebarang idea.

Disebabkan perempuan suka bercakap mengenai masalah-masalah kecil, suami mereka suka merendah-rendahkan tabiat mereka itu. Sikap tersebut tergambar di dalam kata-kata yang diucapkannya, yang lazimnya berbunyi nasihat kepada si isteri:

"Biarkan sahajalah. Jangan dilayan."
"Benda tak penting. Buat apa difikirkan."
"Besok lusa, perkara itu selesai sendiri."
"Takkan masalah kecil macam itu pun awak nak ambil berat."

Di sebalik nasihat itu ialah pandangan yang merendah-rendahkan isterinya. Perbuatan seperti itu sangat menyakitkan hati perempuan. Itu sebabnya ramai isteri geram pada suami mereka.

Bagi perempuan, tidak ada 'masalah besar' ataupun 'masalah kecil'. Semua masalah adalah masalah. Tetapi lelaki lain, mereka memang membezakan jenis-jenis masalah, dan cara-cara mereka menangani masalah itu ditentukan sama ada masalah itu dianggap sebagai masalah penting, serius, remeh ataupun tidak.

Bagi para isteri, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah intipati yang paling penting peranannya dalam bercinta dan berkasih-sayang. Inilah yang kebanyakan lelaki tidak mengerti.

Bagi perempuan, apabila suami mereka tidak mahu melayan mereka dengan cara mendengar, bercakap-cakap dan berbual-bual berkenaan masalah yang mereka adukan, itu bermakna mereka tidak dapat mengecap salah satu nikmat besar dalam perkahwinan.

Bagi perempuan, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah lebih daripada setakat bercakap-cakap dan berbual-bual sahaja. Ia adalah cara mereka menjalin dan memupuk hubungan. Jikalau hubungan itu adalah hubungan cinta, ia adalah cara mereka menjalin dan memupuk cinta. Ia adalah cara yang mereka gunakan untuk mendalamkan lagi rasa komitmen dan keintiman.

Kebanyakan suami tidak memahami bahawa apabila isteri mereka mengadukan masalah, yang mereka mahu ialah supaya suami membuktikan cinta dan kasih sayangnya kepada mereka. Caranya ialah: layanlah si isteri bercakap sampai puas berkenaan masalahnya!

Jumaat, 27 Julai 2012

Membina minda bayi

Membina minda bayi

KANAK-KANAK dan remaja mempunyai perkembangan minda yang berbeza. - Gambar hiasan
DR. Medina percaya memahami minda secara sains dapat membantu ibu bapa dan penjaga meningkatkan sosial dan emosi kesihatan kanak-kanak.

“Amat mengkagumkan sekiranya anda sedar perkara yang kecil mampu menjadikan sesuatu perbezaan yang besar.

“Misalnya, pada tahun 1979, pakar psikologi Universiti Washington, Andy Meltzoff terkesima dan kagum apabila bayi yang baru dilahirkan 42 minit memberi tindak balas dengan perlahan-lahan melancarkan bahasanya sendiri. 

“Pengalaman yang berulang-ulang ini menunjukkan bayi memiliki keistimewaan untuk mempelajari sesuatu perkara dengan cepat," tambah Dr. Medina.

Beliau turut menjelaskan tentang hubungan antara remaja, perkembangan minda, prestasi akademik dan strategi pembelajaran.

Katanya, kanak-kanak dan remaja hari ini mengharapkan sesuatu yang segar, baik daripada segi akademik dan pengetahuan teknologi maklumat.

“Remaja hari ini inginkan prestasi yang baik dan mengekalkan kehidupan sosial yang selaras dengan perkembangan teknologi.

“Ini menjadikan mereka semakin terdedah kepada hipertensi mengikut berdasarkan aliran sosial yang dilakukan," katanya.

Dr. Medina juga turut berbicara mengenai tekanan yang dihadapi remaja termasuk aspek kesihatan merek.

Ia termasuk cara membantu menangani tekanan remaja iaitudengan ibu bapa dan masyarakat harus bijak mendekati golongan itu dan memahami situasi mereka.

“Berikan apa yang mereka suka dan jangan halang kehendak dan minat anak-anak. Sokonglah apa yang mereka mahu lakukan.

“Ibu bapa jangan bertindak terlalu agresif dan melulu dengan anak-anak kerana pada tahap ini mereka cepat memberontak.

“Golongan dewasa terutama ibu bapa perlu mengambil berat tentang anak-anak mereka dan bijak menilai golongan ini," katanya.

Jumaat, 13 Julai 2012

Diabetes - Awasi Simptom HIPOGLISEMIA Tika BERPUASA

Berbuka segera jika alami simptom hipoglisemia



TINGGAL seminggu sahaja lagi umat Islam di negara ini akan mula melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa pada bulan Ramadan.

Sungguhpun begitu, terdapat golongan yang diberikan kelonggaran daripada melaksanakan ibadat tersebut berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Pesakit yang berdepan dengan isu kesihatan seperti kesakitan fizikal, kegagalan buah pinggang dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal tidak boleh berpuasa dengan cara selamat.

Salah satu golongan yang diberikan kelonggaran ialah penghidap diabetes. Bergantung kepada peringkat keadaan tertentu, sesetengah penghidap penyakit itu dikhuatiri akan mendatangkan mudarat terhadap kesihatan jika berpuasa.

Namun, ada segelintir daripada mereka yang tekad mahu melaksanakan kewajipan tersebut tanpa menghiraukan risikonya.

Masalah yang sering dihadapi oleh pesakit diabetes ketika Ramadan adalah serangan hipoglisemia.

Menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pusat Perubatan Sime Darby, Profesor Chan Siew Pheng hipoglisemia merujuk kepada keadaan apabila kandungan glukos berkurangan dalam darah dan berada di bawah paras normal.

“Ramai pesakit diabetes tetap mahu berpuasa walaupun keadaan mereka sebenarnya tidak mengizinkan. Semuanya kerana mahu memenuhi tuntutan agama.

“Selaku doktor, kami akan bertanya kepada pesakit sama ada mereka larat untuk berpuasa atau tidak. Ada antara mereka yang meminta pendapat bagi memastikan sama ada keadaan mereka membolehkan mereka berpuasa dengan selamat atau sebaliknya,” katanya.

Tambahnya, doktor akan cuba membantu supaya pesakit diabetes tersebut dapat berpuasa dengan memberikan panduan dan mengajar mereka cara untuk berpuasa dengan selamat.


BIARPUN, pengambilan buah kurma disunatkan ketika berbuka puasa namun, bagi pesakit diabetes mereka disaran mengambil dua hingga tiga biji kurma sahaja. - Gambar hiasan


Siew Pheng menambah, menempuh bulan puasa sebenarnya merupakan satu masalah kepada pesakit diabetes kerana mereka tidak boleh makan dan minum pada siang hari.
Ia merupakan perubahan besar dalam corak pengambilan makanan, kalori, ketika berbuka puasa sehingga mereka bangun sahur untuk hidangan seterusnya.

“Jika mereka tidak bangun sahur, tempoh berpuasa mereka lebih lama berbanding orang lain yang berpuasa normal iaitu melebihi 14 jam.

“Keadaan ini merunsingkan kami kerana tindakan tersebut akan menyebabkan hipoglisemia yang mengundang keadaan kemerosotan glukos dalam darah selain terdedah kepada risiko dehidrasi kerana cuaca di negara ini yang panas,” ujarnya.

Ujarnya, apa yang menjadi kebimbangan adalah apabila paras glukos dalam darah pesakit diabetes akan jadi terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Paras glukos yang tinggi mungkin disebabkan salah makan kerana berbuka dengan mengambil banyak minuman dan makanan manis serta lupa mengambil ubat.
Walaupun seharian berpuasa, pesakit diabetes tidak boleh mengambil gula dalam kuantiti yang banyak.

Statistik berganda

Dalam satu Kajian Diabetes Ramadan Epidemiologi 2001 yang melibatkan 12,243 pesakit diabetes di 13 buah negara, 95 peratus pesakit diabetes di Malaysia berpuasa lebih daripada 15 hari. Malah, kebanyakan daripada mereka berpuasa lebih 27 hari walaupun sudah mendapat nasihat doktor tetapi mereka tetap cuba berpuasa.

“Apabila mereka mengabaikan nasihat yang disarankan doktor, mereka akan mengalami simptom hipoglisemia yang teruk hingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Sebelum Ramadan, purata kekerapan episod hipoglisemia yang berlaku ialah 0.4, manakala ketika Ramadan ia meningkat kepada tiga episod hipoglisemia iaitu 7.5 kali ganda daripada hari mereka tidak berpuasa,” jelasnya.


AMALKAN pemakanan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kehidupan seharian anda.


Salah satu punca hipoglisemia berlaku adalah ia ada kaitan dengan jenis ubat yang diambil oleh pesakit untuk mengawal paras glukos dalam darah.

Dua jenis ubat yang selalu digunakan di hospital iaitu metformin dan sulfonylurea.
Metformin yang berfungsi memperbaiki paras glukos dalam darah tanpa merangsang pengeluaran insulin mampu meminimumkan atau tidak mendatangkan risiko hipoglisemia.
Sulfonylurea pula boleh menyebabkan risiko ketara hingga tercetusnya hipoglisemia kerana ia merangsang pengeluaran insulin selagi berada dalam badan.

Tukar waktu
“Jika seseorang pesakit mahu berpuasa, dos ubat yang diambil perlu dikurangkan dan diterbalikkan dosnya. 

“Jika dos pagi, ia perlu diambil ketika berbuka manakala dos malam diambil ketika sahur. Dalam masa yang sama, kita ajar mereka untuk berpuasa dengan selamat.
“Sejak lima hingga enam tahun lalu, terdapat kelas baharu ubat-ubatan untuk kawalan glukos tanpa episod hipoglisemia iaitu Oral DPP 4 inhibitors untuk pesakit diabetes Jenis 2,” katanya.

Pesannya, pesakit diabetes yang berpuasa perlu bersedia untuk berbuka jika mengalami simptom-simptom hipoglisemia.

Antara simptom-simptomnya ialah berpeluh, pening, gelisah, lemah badan, sakit kepala, kabur penglihatan, sentiasa lapar, menggigil, pengsan atau tidak sedarkan diri.


PESAKIT diabetes perlu mengawal pemakanan mereka ketika bulan Ramadan bagi memastikan kandungan gula dalam badan tidak meningkat mendadak. - Gambar hiasan


“Kalau mereka teruskan berpuasa juga, mereka akan menghadapi masalah besar. Pesakit yang mengalami hipoglisemia yang teruk akan memberikan tekanan pada jantung.

“Pesakit yang menghidap sakit jantung dan diabetes, hipoglisemia akan membebankan jantung hingga menyebabkan sakit jantung yang lebih teruk,” jelasnya.

Jika keadaan hipoglisemia berlarutan, ia mungkin mengakibatkan masalah jantung dan otak yang boleh menyebabkan kehilangan fungsi kognitif otak dan keadaan sawan hingga koma.

“Periksa paras glukos dalam darah anda beberapa jam selepas berpuasa. Jika bacaannya 3.9 milimol/liter (mmol/l), tolonglah buka puasa.

“Walaupun anda tidak mengalami sebarang simptom tetapi bacaan paras glukos dalam darah kurang daripada 3.3 mmol/l, segeralah berbuka bagi mengelakkan hipoglisemia yang teruk,” nasihatnya.

Apa yang penting, pesakit diabetes perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa sama ada mereka selamat untuk berpuasa atau tidak. Setiap pesakit mempunyai keperluan yang berbeza.

Rabu, 13 Jun 2012

Stres ganggu kesuburan

SAYA berusia 30 tahun (berat 55 kilogram dan tinggi 157 sentimeter) dan suami saya berusia 31 tahun (berat 81 kilogram, tinggi 176 sentimeter). Kami sudah berkahwin selama enam bulan.
Adakah kekerapan bersama akan mengurangkan peluang untuk hamil kerana kami ‘bersama’ pada setiap hari kecuali saya haid. Air mani suami cair dan selalu keluar semula dari vagina. Kami sudah mengambil langkah dengan meletakkan bantal di bawah punggung, tapi tanda hamil belum ada.
Untuk makluman doktor, haid saya teratur dengan kitaran 28 hari pada setiap bulan dan saya mengambil asid folik atas saranan doktor sejak dua bulan lalu. Apakah nasihat doktor untuk saya hamil?

MALA,


Kuala Lumpur.

SAYA nasihatkan anda tidak memberatkan stres kerana ia sendirinya boleh mengganggu kesuburan. Air mani sememangnya akan keluar semula dari faraj, perumpamaannya sama seperti darah haid yang tidak akan bertakung dengan lama di dalam faraj.

Ini adalah sifat semula jadi faraj yang berotot dan bertaup atau leper semula corongnya, kecuali jika sesuatu berada di dalam corong terbabit seperti zakar, jari atau alat spekulum doktor.

Apa yang lebih penting adalah sperma di dalam air mani terbabit.

Hanya sperma yang akan berenang memasuki pintu rahim menuju ke tiub fallopio manakala air mani akan tertolak keluar apabila zakar mengendur atau dikeluarkan dari faraj. Air mani juga mengandungi bahan yang boleh menyebabkan serangan anafilaksis yang boleh membahayakan sekiranya ia memasuki ruang rahim. Tambahan pula selepas kira-kira setengah jam, sperma yang masih tinggal di dalam faraj akan mati akibat keadaan pH faraj.

Maka, langkah untuk wanita berbaring dahulu sekitar setengah jam selepas ejakulasi air mani lelaki saja sudah mencukupi untuk mengoptimumkan kemasukan sperma ke dalam rahim, tidak perlu untuk meletakkan bantal di bawah punggung.

Pada usia anda, sekitar 70 peratus wanita berjaya hamil dalam masa enam bulan atau kitaran haid. Angka ini bertambah menjadi sekitar 80 peratus (86 peratus) setelah tempoh memasuki setahun.

Anda masih mempunyai peluang yang tinggi untuk hamil sendirinya dalam masa terbabit tanpa mendapatkan pemeriksaan atau rawatan dahulu.

Namun, tidak salah juga sekiranya anda ingin mendapatkan pemeriksaan awa

Rabu, 30 Mei 2012

APA ITU URI BAWAH RAHIM?

Bahaya uri bawah rahim

Dr., apakah yang dimaksudkan dengan uri? Adakah berbahaya jika uri berada di bawah? Saya selalu mendengar rakan-rakan berbual tentang perkara ini. Saya baru mengandung dua bulan dan amat takut dengan perkara ini.

n Puteri R, Subang.

Jawapan:
Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim. 

Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin. 

Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan kerana 20 peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP). 

Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja. Tahap keseriusan dibahagikan kepada empat jenis iaitu uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim, uri menutupi sebahagian pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu rahim.

Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.

Risiko
Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.

Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang kehamilan.

Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri. Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim. Pembedahan caesarean adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup bulan.
Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh timbul pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian pada bayi dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.

Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh mengancam nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat pada rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta accreta. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim. Jika ini berlaku, rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu. 

Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus sahaja. 

Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim umpamanya caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.

Selamat
Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean. Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.

Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas. 

Saya harap Puteri R sudah jelas dengan penjelasan yang diberikan dan jangan mendengar bualan rakan-rakan sahaja. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan semoga penjelasan yang diberikan akan menghilangkan kegusaran tersebut.