Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Isnin, 28 Jun 2010

PENCARIAN PENGASUH BERHEMAH DITERUSKAN LAGI...


Online Credit Card Payment
Advertisement Details


Order no. : 43000
Customer Name : TASKA AL HUMAIRAA
Phone No :
Publication : Berita Harian
Sub-Classification : JAWATAN KOSONG
Publication Date : 30/06/2010 - 03/07/2010
Number of day(s) : 4 day(s) ( 3+1 )
TOTAL COST + 5% G.S.TAX :
Receipt No : OA43000
Approval Code : 003039
Transaction Date : 28/06/2010 04:06 pm

Ahad, 27 Jun 2010

KENAPA KITA CIRIT-BIRIT?

Protozoa penyebab cirit-birit




CUKUP menakutkan apabila parasit halus menjadikan tubuh manusia sebagai perumah tanpa kita disedari.

Jika dahulu masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang, kini jangkitan protozoa juga tidak harus dipandang ringan.

Malah, bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, kehadiran parasit daripada pelbagai jenis terutama protozoa menjadikan keadaan lebih serius.

Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, perkara ini bukan sesuatu yang baru dalam penyelidikan berkaitan parasit yang menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.

“Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani rawatan kimoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti parasit usus adalah agak tinggi,” katanya.


SELAIN usus besar, hati, limpa dan paru-paru sering menjadi perumah parasit jangkitan usus.


Protozoa pembunuh

Jelas Norhayati, infeksi protozoa terhadap golongan yang mempunyai sistem imun badan lemah dikenali melalui simptom cirit-birit berpanjangan, hilang selera makan dan turun berat badan.

Jelasnya, protozoa usus daripada jenis koksidia seperti Cryptosporidium parvum dan Isospora belli serta kumpulan mikrosporida usus menjadi penyebab utama cirit-birit berpanjangan.

Norhayati juga menjelaskan, secara amnya, infeksi parasit usus sering ditemui dalam masyarakat namun penghidapnya tidak mempunyai gejala yang jelas.

“Oleh itu, kes-kes jangkitan ini jarang dikesan di pusat kesihatan dan hospital.

“Keadaan ini amat berbeza dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau virus seperti H1N1, di mana pesakit menunjukkan gejala,” jelasnya yang turut menyatakan infeksi ini melibatkan protozoa dan cacing tularan tanah (STH).

Hasil kajian mendapati hampir 80 peratus jangkitan usus ini menular secara senyap kerana tiada gejala khusus.


NORHAYATI MOKTAR


Ujarnya, meskipun Malaysia merupakan negara membangun, masalah jangkitan parasit usus masih membelenggu penduduk di beberapa kawasan.

Disebabkan sebaran parasit ini menular melalui makanan dan air yang tercemar dengan najis manusia, taburan penyakit lebih banyak ditemui di kalangan penduduk yang tinggal di pedalaman yang tidak mempunyai sistem pembuangan najis yang baik serta bekalan air bersih seperti air sungai.

Ganggu tumbesaran

Tambah beliau, infeksi protozoa usus terutama Giardia intestinalis boleh mengganggu tumbesaran kanak-kanak.

Jelasnya, terdapat beberapa mekanisme bagaimana parasit usus menyebabkan mulnutrisi terhadap kanak-kanak malah golongan dewasa.

“Selain mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, pesakit juga akan mengalami ciri-birit yang kronik, muntah dan sakit di bahagian abdomen.

“Kesan-kesan ini akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembagan fizikal dan mental kanak-kanak terbantut,” katanya.


PROTOZOA Giardia lamblia cysts di bawah mikroskop.


Dalam pada itu, kawalan dan pencegahan infeksi parasit usus mungkin memerlukan pendekatan yang baru kerana kajian terbaru membuktikan sumber infeksi protozoa spesies Giardia intestinalis bukan saja daripada manusia ke manusia tetapi melalui anjing dan roden.

“Walaupun jangkitan parasit usus ini mempunyai kadar kematian yang rendah dan jarang diperkatakan umum, kawalan dan pencegahan harus dipertingkatkan kerana ia mampu mengganggu kualiti hidup seseorang,” ujarnya.

Jumaat, 25 Jun 2010

Tadika swasta atau kerajaan?

PANDANGAN DARIPADA PENULIS AKHBAR METRO



ANTARA pilihan sama ada tadika yang dikendalikan kerajaan mahupun swasta, ibu bapa berkemampuan dikatakan lebih cenderung untuk menyediakan pendidikan prasekolah di tadika swasta atas pelbagai alasan khususnya dari segi kualiti pendidikan dan faktor ekonomi sesebuah keluarga.


Namun tidak kurang yang tetap memilih tadika kendalian kerajaan yang nyata jauh lebih murah meskipun sesetengahnya mungkin tidak setanding dengan kemudahan disediakan tadika swasta.

Ikuti temu bual wartawan Fairul Asmaini Mohd Pilus mengenai pilihan ibu bapa kini apabila memperkatakan pendidikan prasekolah untuk si kecil mereka.

ADA ibu bapa menganggap kelas prasekolah adalah tempat untuk anak berseronok dan mempelajari sesuatu yang baru, manakala sesetengahnya pula berharap ia dapat memberikan satu permulaan yang baik kepada dunia akademik anak mereka



Bagi kanak-kanak di usia tiga hingga enam tahun, pendidikan prasekolah perlu menjadi satu perkara penting kerana di situ mereka mempelajari sesuatu termasuk meneroka dunia baru melalui pembelajaran di peringkat awal yang memberi kesan positif terhadap perkembangan minda.


Pemilihan tadika atau pusat pembelajaran awal yang bagus bukan saja dari segi reputasi, tetapi perlu mengambil kira bagaimana sekolah berkenaan mampu memberi pembelajaran berguna kepada anak masing-masing.

Tidak sukar sebenarnya bagi ibu bapa memilih pusat bimbingan kanak-kanak atau tadika kerana di setiap kawasan perumahan ada banyak tadika atau kelas prasekolah yang menawarkan pelbagai konsep pendidikan bagi memenuhi keperluan pembelajaran semasa.

Biarpun yuran yang dikenakan bukanlah sedikit, tetapi demi keutamaan kualiti, ibu bapa hari ini dikatakan lebih cenderung memilih untuk menghantar anak kecil mereka ke pusat pembelajaran kanak-kanak swasta.

Bukan mahu menidakkan kualiti tadika kerajaan, tetapi kebanyakan ibu bapa yang ditemui menganggap pusat pembelajaran swasta sebagai satu pilihan tepat kerana selain berada berhampiran dengan tempat tinggal, ia juga dianggap pelaburan yang boleh dilihat hasilnya dalam jangka panjang.

Begitupun, bukan senang untuk mencari pusat pembelajaran terbaik untuk anak kerana kewujudan sekolah tadika hari ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan yang sedikit sebanyak memeningkan kepala untuk memilihnya.

Bagi usahawan, Hasni Hassan, 32, demi masa depan anak mereka, dia dan suaminya, Zulkifli Abu Talib, 35, sanggup berkorban wang ringgit memilih tadika swasta kerana berpuas hati dengan kualiti pembelajaran yang diterima.

Katanya, prestasi anak sulung, Muhammad Iman Hafiz, 8, yang mengikuti tadika berkenaan sungguh memuaskan selain mampu menguasai pembacaan, pengiraan dan penulisan dengan baik.

Lebih membanggakan, biarpun hanya setahun mengikuti pembelajaran di tadika itu, Muhammad Iman Hafiz mampu berkomunikasi dengan lancar dalam bahasa Inggeris dan boleh membantu adiknya ketika mengulang kaji di rumah.

"Pencapaiannya sungguh memuaskan dan prestasi berkenaan berlanjutan sehingga dia memasuki sekolah rendah. Sebagai ibu bapa, tiada apa yang paling menggembirakan kami selain memastikan anak mampu mengikuti pelajaran dengan lancar dan sempurna," katanya.

Sekadar untuk berkongsi pengalaman, Hasni berkata, sebelum ini dia pernah menghantar anak keduanya, Muhammad Amirul Adam, 7, ke tadika kerajaan selama setahun, tetapi entah di mana silapnya, anaknya itu masih tidak dapat membaca dengan lancar meskipun dia kini sudah memasuki tahun satu.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menghantar anak keduanya itu mengikuti kelas tuisyen di tadika swasta seperti abang sulungnya bagi membantu dalam pelajarannya.

Katanya, masalah Adam adalah tidak mampu membaca dan menulis dengan baik meskipun dapat mengenali huruf yang diberikan. Ia mungkin berpunca daripada sikapnya sendiri yang kurang memberi tumpuan.

"Selain itu, kami mendapati corak tulisan Adam tidak sama seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya kerana dia menulis dan membaca dengan kaedah terbalik. Selepas mengikuti tuisyen tambahan barulah dia menunjukkan sedikit peningkatan," katanya.

Pasangan Nor Hasliza Sulaiman, 32, serta suami, Azhar Mat Saini, 36, turut berkongsi pengalaman menghantar dua anaknya, Muhammad Daniel, 5, dan Nur Dayana Anis ke sebuah tadika kerajaan di Port Dickson untuk sesi pembelajaran 2009 lalu.

Menurut pasangan ini, biarpun mengikuti pengajian selama setahun, tetapi anak sulungnya itu masih gagal menguasai asas ejaan dengan baik dan kelemahan itu jelas ketara apabila diminta melakukan latihan di rumah.

"Anak sulung saya masih tidak mampu mengeja dengan baik biarpun sudah setahun belajar di tadika itu. Namun saya dan suami tidak sesekali menyalahkan guru atau silibus di tadika berkenaan kerana mungkin kelemahan itu berpunca daripada sikap anak kami sendiri yang belajar dengan sambil lewa.

"Bagaimanapun, oleh kerana dia sudah ketinggalan, saya bercadang untuk menghantarnya mengikut pengajian prasekolah pada sebelah pagi dan petangnya mengikuti pembelajaran bersama adiknya di tadika berbayar," kata Nor Hasliza yang bertugas sebagai guru.

Pensyarah Mazlina Mohd Salleh, 35, berkata dia mempercayai kualiti yang disediakan tadika kerajaan dan berpendapat ia masih lagi relevan untuk pembelajaran awal kanak-kanak di negara ini.

Katanya, dua anaknya Muhammad Daniel Mahadi , 8, dan Mas Dania Lissa, 7, mengikuti pembelajaran di sebuah tadika Kemas di Johor dan kurang setahun mengikuti pembelajaran, mereka menunjukkan peningkatan yang ketara dalam membaca dan mengeja.

"Sebelum dihantar ke tadika, kami sekeluarga terlebih dulu mengajar mereka untuk mengenal huruf dan suku kata penting. Ia amat membantu kerana sekurang-kurangnya mereka sudah mengetahui sedikit asas sebelum mempelajari sesuatu yang baru di tadika.

"Alhamdulillah, biarpun hanya setahun mengikuti tadika, prestasi pelajaran mereka memberangsangkan dan sudah mampu membaca dengan baik tanpa memerlukan bantuan," katanya.

Mazlina berkata, tadika kerajaan sememangnya mempunyai kaedah pengajaran yang sistematik, tetapi dia berpendapat, silibus yang ada pada hari ini masih ada ruang untuk diperbaiki bagi memastikan ia setanding dengan apa yang disediakan tadika swasta.

Ujarnya, silibus seperti pembelajaran Bahasa Inggeris, kemahiran teknologi maklumat serta pelbagai kemahiran lain juga perlu diterapkan kerana ia adalah keperluan utama kehidupan pada hari ini.

"Bagi saya, bijak atau tidak seseorang kanak-kanak itu sebenarnya bukan berpunca daripada sekolah yang dihantar, tetapi ia banyak bergantung kepada inisiatif diri kanak-kanak itu sendiri serta cara didikan ibu bapa ketika membesarkannya.

"Begitupun, saya bersetuju bahawa sistem pembelajaran tadika swasta lebih bersifat terbuka dan memenuhi keperluan semasa, sesuai dengan bayaran yang dikenakan kepada ibu bapa.

"Namun, persaingan sihat yang diberikan tadika swasta boleh dijadikan sebagai satu cabaran kepada kerajaan untuk mengenal pasti kekurangan tadika Kemas dan pada masa sama, menambah peruntukan yang diperlukan," katanya.

Sabtu, 19 Jun 2010

Panduan penjagaan bayi jaundis



BAYI jaundis perlu didedahkan kepada cahaya bililight sebagai rawatan. – Gambar hiasan


BAYI yang baru lahir berisiko menghidap demam kuning atau dikenali sebagai jaundis, sama ada bersifat normal atau patologi.

Lebih kurang 50 ke 60 peratus bayi yang lahir cukup bulan mengalami jaundis pada minggu pertama hingga ke minggu kedua selepas dilahirkan.

Jaundis juga biasanya berlaku kepada bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan.

Pada sesetengah bayi, ia berlaku hanya sekejap, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau dengan rawatan yang ringkas . Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian.

Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian putih mata dan juga kulit yang bertukar warna kekuningan.

Kesan itu dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagian bawah badan. Bayi jaundis juga akan kerap tidur.

Biasanya bayi yang lahir mengalami warna kekuningan ini disebabkan pigmen kuning atau lebih dikenali dengan nama bilirubin yang meningkat dalam darah.

Bilirubin ini berlaku akibat pemecahan sel-sel darah merah sewaktu bayi lahir. Ketika bayi dalam kandungan, bilirubin dibuang melalui plasentra dan seterusnya oleh organ. Hati dari ibu akan diolah menjadi bilirubin untuk dibawa ke usus dan seterusnya dibuang melalui proses tinja.

Namun setelah bayi lahir, proses tadi akan dilakukan oleh hati bayi itu sendiri. Disebabkan fungsi hati belum sempurna, proses itu lebih lambat menyebabkan bilirubin tetap tinggi dalam bayi.

Bilirubin inilah yang masuk ke jaringan kulit sehingga bayi kelihatan kuning pada keseluruhan tubuh dan matanya.

Bagi bayi normal, setelah tiga atau empat hari kelahirannya, kadar bilirubin akan menurun perlahan-lahan seiring dengan pertambahan fungsi hatinya.

Biasanya bila umur mencecah tujuh hari, bayi sudah tidak kelihatan kekuningan lagi. Inilah penyakit kuning yang bersifat fisiologi atau normal dan tidak berbahaya bagi bayi.

Namun, berbeza pula bagi yang menghidap penyakit kuning patologi. Ia timbul lebih cepat dan biasanya 24 jam setelah kelahiran dan peningkatan kadar bilirubin di dalam darah bayi juga berlaku dengan lebih cepat.

Jenis penyakit kuning seperti ini boleh disebabkan oleh jangkitan pada bayi, ketidaksesuaian jenis darah ibu dan bayi, serta kes yang jarang berlaku disebabkan kekurangan enzim G6PD (glukosa 6 Phosphate Dehidrogenase). Enzim ini terdapat di dalam dinding sel darah merah yang berfungsi untuk mencegah sel-sel darah merah.

Apa perlu dilakukan

Pemeriksaan akan dibuat dengan menekan kulit bayi atau mengambil darah untuk mengukur tahap bilirubin.

Untuk memeriksa sendiri, bagi kulit bayi berkulit cerah, boleh diletakkan di tempat banyak cahaya atau lampu. Tekankan kulit secara lembut dengan jari anda di bahagian hidung, dahi atau dada, jika terdapat kesan kekuningan apabila jari diangkat bermakna bayi anda mengalami jaundis.

Bagi bayi berkulit gelap, boleh periksa gusi atau mata putih.

Biasanya ia tidak memerlukan rawatan. Jika memerlukan rawatan, ia dirawat menggunakan phototerapi iaitu menggunakan cahaya. Bayi dibogelkan, mata ditutup dan diletakkan di bawah cahaya bililight.

Jika ditahap yang terlalu tinggi, penukaran darah akan dilakukan.

Kebanyakan kes jaundis ini tidak memerlukan rawatan phototerapi. Berikut disenaraikan langkah yang boleh dibuat untuk mengelak atau merawatnya.

lMenyusukan bayi dari awal dan dengan kerap.

Kolostrum akan bertindak sebagai laksatif dan kekerapan membuang najis akan merendahkan tahap bilirubin.

lElakkan mengambil air tambahan. Hanya dua peratus bilirubin keluar melalui air kencing dan 98 peratus keluar melalui najis. Kolostrum dan susu yang mengandungi lemak akan menstimulasikan pergerakan membuang air besar. Jika bayi anda kenyang dengan air dia akan kurang menyusu.

lGalakan bayi anda berjaga dan menyusu setiap dua jam.

lJika bayi tertidur ketika menyusu badan dan membuang air besar kurang dari tiga kali sehari, cuba perah susu anda menggunakan tangan atau pam dan beri kepada bayi anda.

lDedahkan kepada cahaya secara tidak terus kerana kulit bayi sensitif. Buka pakaian serta lampin dan letak di dalam bilik yang ada banyak cahaya

CABARAN MILIKI ANAK ADHD + AUTISME

eNCIK Syahrul Idham menceritakan perihal anak autisme dan ADHD, ciri dan cabaran yang perlu beliau hadapi....

+++++++++++++++++++++++++

Berhenti kerja demi anak


SEBAHAGIAN aksi Ahmad Ezham ketika ditemu bual bersama ayahnya, Syahrul Idham, baru-baru ini.


MENERIMA kehadiran anak-anak istimewa dalam kehidupan merupakan satu cabaran bagi setiap ibu bapa dan keluarga.

Justeru, untuk merentasi cabaran pastilah memerlukan pengorbanan besar agar dapat memberikan hanya yang terbaik untuk anak itu.

Begitu juga dengan bapa muda ini, Syahrul Idham Abd. Rahim, 36, yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga anak istimewanya, Ahmad Ezham, yang berusia 9 tahun.

Jika dilihat dari mata kasar, tiada apa yang kurang mengenai anak lelakinya itu. Tiada kecacatan yang ketara dan kekal dilihat dari pandangan mata. Namun, Ahmad Ezham sebenarnya dilahirkan sebagai anak autisme.

Ibunya bernama Rosnani Jaafar, 34 tahun. Ahmad Ezham juga mempunyai seorang abang berusia 11 tahun, Hazuan Syah dan seorang adik perempuan berusia dua tahun, Aisyah Addina.

Menurut Syahrul Idham, dahulu dia bertugas selama 15 tahun di salah sebuah syarikat MNC terkemuka di Petaling Jaya.

Namun atas kehadiran Ahmad Ezham, dia rela berhenti kerja agar dapat sentiasa dekat dengan anak kesayangannya itu.

''Implikasi ada anak OKU (orang kurang upaya) macam autisme ini memang memerlukan banyak pengorbanan kita sebagai ibu bapa mereka. Siapa yang nak jaga anak yang terlalu aktif

''Macam anak sindrom down atau kecacatan lain orang akan nampak, tapi anak istimewa autisme orang tidak boleh kenal, kecuali sudah ada pengalaman dengan keadaan mereka itu,'' katanya.

Jelasnya, waktu awal kelahiran anaknya itu, dia seolah-olah tidak boleh terima keadaan itu. Tambahnya, Ahmad Ezham terlalu aktif dan lasak mengakibatkan dia terlalu letih, menjadikan dia tertekan, tidak boleh melakukan sebarang aktiviti, tidak boleh tidur malam yang mengakibatkan pada waktu siang dia akan keletihan dan tertidur di tempat kerja.

Walaupun begitu, Syahrul Idham tidak pernah mengabaikan kepentingan pendidikan kepada anaknya itu.

Ketika berumur dua hingga tujuh tahun anaknya itu mengikuti aktiviti pembelajaran di NASOM (National Autisme Society of Malaysia) selain PDK (pendidikan dalam komuniti) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sekarang, anaknya bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.

''Kalau nak cerita mengenai aktifnya anak saya ini mungkin orang tidak akan percaya. Kalau pergi kenduri kahwin, kami tidak boleh lama takut anak saya mengganggu majlis. Dia pula suka buka baju. Kalau dibiarkan dia ke taman permainan pula pastinya budak-budak lain akan buli dia,'' katanya ketika di temui di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Bercerita lanjut bapa ini menerangkan, sejak dari peringkat bayi lagi, Ahmad Ezham mempunyai banyak kelainan daripada abang sulungnya yang dilahirkan normal.

''Sejak dari bayi lagi perkembangannya tidak normal. Agak lembab. Tidak aktif dan tiada eye contact dengan kami ketika bercakap dengannya.

''Pada tahun kedua dan ketiga, dia masih juga tidak boleh bercakap. Kami terus rujuk dia kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang mengesahkan anak saya ini autisme + ADHD (Attention Defisit Hyperactivity Disorder).

''Selain lasak dan terlalu aktif, anak saya ini juga selalu bercakap seorang diri tidak mengira tempat, masa dan keadaan. Kami juga tidak boleh alpa, kalau pergi mana-mana dia akan selalu 'hilang','' jelasnya.

Kata Syahrul Idham, bagi masyarakat yang tidak tahu, mereka selalu menganggap anaknya itu gila atau sedang bercakap dengan orang halus atau bunian atau kembarnya. Ada juga yang mencadangkan dirinya mengemukakan masalah ini kepada bomoh untuk dirawat.

Bagaimanapun dari segi fakta jelasnya, kanak-kanak autisme bercakap seorang diri menerusi intrapersonal mereka. Mereka sebenarnya mempunyai dunia mereka yang tersendiri seolah-olah terasing yang tidak difahami oleh orang luar.

Sekiranya anaknya itu melakukan sesuatu yang 'tidak masuk akal' sama ada di tempat-tempat awam, dirinya sebagai bapa akan dipersalahkan kononnya tidak pandai mengajar dan mendidik anak. Sedangkan Syahrul Idham sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu membataskan pergaulan anak-anaknya daripada masyarakat biasa.

Katanya, sampai sekarang pada waktu malam dirinya tidak boleh tidur dengan lena, kerana sentiasa bimbang dan was-was, memandangkan reaksi anaknya itu yang boleh di luar jangkaan.

''Pengalaman saya terbangun dari tidur melihat dia menghayun pisau atas kepala saya dan menabur serbuk perasa pada badan saya amat mengejutkan.

''Pernah sekali di pasar raya seorang jurujual memarahi saya kerana kononnya tidak pandai menjaga anak kerana kelakuan Ahmad Ezham yang tidak senang duduk,'' katanya.

Bagi Syahrul Idham, masyarakat berbuat demikian kerana mereka tidak sedar dan tidak tahu apa yang dialami anaknya itu kerana rupa paras autisme seperti mereka yang normal.

Bagaimanapun dia berharap masyarakat dapat mengambil tahu maklumat sebenar mengenai apa itu autisme kerana kemungkinan besar mereka akan 'terjumpa' juga dengan kes-kes seperti ini satu hari nanti.

Ahmad Ezham menurut ayahnya, hanya akan duduk diam sekiranya dia berminat dengan sesuatu perkara. Dia juga boleh mengenal huruf atau perkataan dengan menghafal dan ralit dengan komputer dan permainan berbentuk elektronik lain.

Namun sebagai bapa, tiada apa yang diingini oleh Syahrul Idham terhadap anaknya pada masa depan selain hanya berdoa anaknya itu akan mampu berdikari dan boleh menguruskan diri.

Syahrul Idham kini menceburi bidang insurans yang masanya lebih fleksibel bagi membolehkan dia mengambil dan menghantar anaknya itu ke sekolah. Manakala, isterinya pula membuka perniagaan kosmetik.

Pengorbanan yang dilakukan oleh Syahrul Idham merupakan contoh terbaik bagi bapa yang sanggup menjaga anak istimewa mereka dengan kasih sayang tidak berbelah bagi.

Sesungguhnya kasih seorang bapa itu tidak bertepi.

Selasa, 15 Jun 2010

Pencarian Pengasuh Taska Bermula Lagi.....


Online Payment
Advertisement Details


Order no. : 42797
Customer Name : TASKA AL HUMAIRAA
Phone No :
Publication : Berita Harian
Sub-Classification : JAWATAN KOSONG
Publication Date : 17/06/2010 - 20/06/2010
Number of day(s) : 4 day(s) ( 3+1 )
TOTAL COST + 5% G.S.TAX : RM 151.20
Receipt No : OA42797
Approval Code : 005738
Transaction Date : 15/06/2010 06:06 pm

Risiko kurang Vitamin E pada perokok


Penemuan ini terdapat dalam penyelidikan mengenai vitamin E oleh Institut Linus Pauling di Universiti Oregan State yang diterbitkan dalam Jurnal Klinikal Nutrisi Amerika isu Januari 2005.

Pengurangan gama tokoferol dengan cepat dalam perokok berbanding bukan perokok sekali gus boleh menyebabkan kanser. Ini kerana rokok menghasilkan radikal bebas yang menggalakkan kanser. Ia terjadi apabila vitamin E di dalam paru-paru dan tisu badan yang lain akan meneutralkan radikal bebas tersebut.

Tidak seperti alfa tokoferol, gama tokoferol adalah pelindung mujarab daripada nitrogen oksida yang sangat aktif dan berbahaya kepada badan. Kajian terkini sepatutnya memadai untuk mendorong perokok supaya tidak memandang ringan perihal gama tokoferol.

Pengambilan harian vitamin E telah lama diakui dalam merendahkan risiko mendapat penyakit degeneratif. Walau pun kebanyakan kajian yang telah diterbitkan tertumpu kepada kesan alfa tokoferol daripada vitamin E, saintis kini semakin mengalihkan perhatian mereka kepada gama tokoferol.

Gama - anti oksida yang sangat mujarab

Satu kumpulan penyelidik mendapati gama tokoferol, yang ditemui dalam gabungan tokoferol, nyata lebih berkesan berbanding alfa tokoferol untuk menghentikan tindakan peroksi nitrit (peroxynitrite) yang merupakan agen oksida yang kuat dan berbahaya. Oleh itu, gama tokoferol dapat melindungi sel daripada gangguan genetik dan karsinogenik (penyebab kanser) daripada nitrogen reaktif. Nitrogen reaktif mendorong kepada berlakunya arteriosklerosis dan gangguan saraf. Oleh kerana asap rokok mengandungi banyak nitrogen dioksida yang boleh ditukarkan menjadi karsinogen, gama tokoferol boleh menghalang tindakan nitrogen dioksida dan menghalang pembentukan karsinogen.

Alfa menyingkirkan gama tokoferol badan

Penyelidikan terkini mendapati pengambilan alfa tokoferol yang tinggi mengurangkan paras gama tokoferol dalam darah. Pengguna yang prihatin tentang kesihatan termasuk perokok yang mengambil suplemen vitamin E (hanya mengandungi alfa tokoferol) perlu menimbangkan semula perkara ini. Seperti yang telah disebutkan, kebanyakan suplemen vitamin E membekalkan hanya alfa tokoferol. Bukti terbaru mencadangkan suplemen sahaja tidak memadai.

Kumpulan penyelidik Universiti California, Berkeley mendapati sudah tiba masanya untuk mengehadkan pandangan bahawa hanya alfa tokoferol penting. Lebih banyak kajian perlu dilakukan ke atas gama tokoferol, iaitu satu bentuk lain vitamin E yang lebih berfaedah.

Gama lindungi perokok daripada strok dan serangan jantung

Beberapa kajian membuktikan manfaat vitamin E penting dalam mengurangkan penyakit kardiovaskular dan kematian akibat serangan jantung, walaupun ada kajian lain yang gagal menemui hasil yang sama. Perselisihan pendapat mungkin disebabkan hanya alfa tokoferol yang dikaji dan gabungan tokoferol (terutamanya gama tokoferol) tidak diambil kira.

Ini juga mungkin menjelaskan mengapa vitamin E yang diambil daripada makanan lebih berkesan berbanding suplemen vitamin E biasa yang hanya mengandungi alfa tokoferol. Makanan membekalkan spektrum vitamin E yang lebih menyeluruh berbanding suplemen vitamin E biasa.

Mendapatkan yang terbaik daripada suplemen vitamin E

Sama ada anda merokok atau tidak, dinasihatkan supaya memastikan suplemen vitamin E yang diambil mengandungi gabungan alfa, beta, gama dan delta tokoferol. Ini kerana kesemuanya berfungsi lebih baik (sinergistik) secara berkumpulan, untuk perlindungan yang lebih baik dan manfaat kesihatan yang maksimum.

Hipertensi pembunuh senyap



Prof. Dr. Sim Kui Hian (kiri) bersama Prof. Hans Henrick Parving dan Avinash Potnis (kanan) semasa pelancaran ubat resilez baru-baru ini.


TEKANAN darah tinggi (hipertensi) kadang-kala digelar 'pembunuh senyap' kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal tetapi boleh menyebabkan bilangan kematian yang tinggi di kalangan penduduk negara ini dan juga di seluruh dunia.

Walaupun ia adalah antara penyakit yang paling dikenali oleh rakyat Malaysia selain kencing manis dan sakit jantung, ramai yang bersikap acuh tidak acuh untuk mengelak ia daripada berlaku.

Antara sebabnya mungkin kerana hipertensi tidak menunjukkan gejala menakutkan.

Malah hanya 10 peratus sahaja di kalangan pesakit tekanan darah tinggi yang merasai simptom seperti pening kepala atau simptom lain,

Justeru tidak hairanlah apabila bercerita mengenai hipertensi pada hari ini, kita sedang berdepan dengan dua masalah utama.

Pertama, orang ramai tidak mengambil berat tentang tekanan darah mereka dan k edua, mereka yang sudah menghidapinya tetapi tidak pula mendapatkan rawatan yang betul.

Mengikut kajian yang dijalankan lebih 30 peratus daripada penduduk negara ini menghidap tekanan darah tinggi dan sebilangan besar penghidapnya terdiri daripada kaum Melayu.

Ini dengan secara tidak langsung menunjukkan cara hidup di bandar dan di desa tidak banyak perbezaan, di samping faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan yang besar.

Perkara ini diakui oleh Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Sim Kui Hian.

Katanya, di Malaysia, empat daripada 10 dewasa menghidap tekanan darah dengan 26 peratus pesakit mempunyai tekanan darah terkawal.

Namun dengan ledakan teknologi terkini, penghidap hipertensi kini mempunyai pilihan merawat penyakit tersebut dengan sejenis ubat yang mampu mengurangkan tekanan darah tinggi secara konsisten selama 24 jam iaitu Rasilez .

Dr. Sim berkata, ubat ini berfungsi dengan menyasar terus kepada sumber tekanan darah tinggi iaitu enzim renin seterusnya mengurangkan tekanan.

''Ubat ini juga membekalkan ejen untuk merendahkan tekanan darah dengan tahap keberkesanan yang melebih 24 jam,'' katanya ketika majlis pelancaran Rasilez di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah tegasnya, dalam tempoh terdekat, pesakit akan merasai kekurangan.

Katanya lagi, apabila pesakit mengambil ubat ini, ia mampu mengurangkan tekanan tersebut dalam tempoh 24 jam.

"Apabila digunakan bersendirian ubat ini boleh menunjukkan lebih banyak pengurangan tekanan darah dari enzim penghalang pengubahsuai angiotensin (ACE), ramipril dan diuretik, hydrochlorothiazide (HCT).

''Bagi pesakit yang sudah mengambil ubat yang lain, tetapi tidak bertahan, Rasilez memberikan pengurangan tekanan darah yang lebih apabila ditambah kepada terapi yang sedia ada.

Kata Dr. Sim lagi, pesakit boleh menggunakan ubat ini sahaja atau pun bersama ubatan yang lain kerana mereka diberikan perlindungan dengan mengekalkan 91 peratus keberkesanan tekanan darah selepas satu dos.

Rasilez juga tegasnya merupakan satu rawatan pilihan ekoran kebanyakan ubat tekanan darah tinggi di pasaran gagal berfungsi sepanjang masa terutama sekali pada waktu awal pagi apabila tekanan darah naik.

Malah ia juga tergolong dalam kelas ubat baru yang dipanggil penghalang renin langsung.

"Ia bertindak dengan menyekat sistem renin angiotensin aldosterone (RAAS) secara langsung,'' terangnya lagi.

Jelasnya, Rasilez telah pun didaftarkan di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan Malaysia.

''Buat masa ini, pasaran ubat ini hanyalah untuk hospital swasta dan dalam masa terdekat kita akan pasarkan di hospital-hospital kerajaan.

Bayi Boleh Menyelam Seawal Usianya

Kelas untuk bayi menyelam


GAMBAR menunjukkan seorang bayi menyelam di sebuah kolam di Osterly, London Barat.


LONDON - Detik-detik beberapa bayi menyelam di sebuah kolam renang di Osterly, London Barat dirakamkan oleh seorang jurugambar, Phil Shaw, lapor sebuah akhbar semalam.

Jurugambar berusia 40 tahun itu membuka perkhidmatan kelas renang dan menyelam, Baby Swim melibatkan bayi seawal usia enam minggu dengan menggunakan pengajar terlatih.

Seorang bayi berkenaan dirakamkan terapung di dalam air seperti gambar kulit muka album kumpulan rock alternatif popular, Nirvana.

"Dengan kelas berenang itu, kami membantu bayi untuk meningkatkan fungsi otak," kata Shaw yang menubuhkan kelas tersebut bersama seorang rakan kongsinya. - Agensi

Rabu, 9 Jun 2010

PUNCA-PUNCA KELEMAHAN SISTEM IMUN

1. RAWATAN PERUBATAN

1.1 ANTIBIOTIK

Ubat ini bukan sahaja memusnahkan bakteria yang memudaratkan bahkan memusnahkan juga bakteria berguna yang menyokong sistem imun.Ia juga meningkatkan daya ketahanan terhadap sebarang bakteria berbahaya yang mungkin terselamat. Malah ia menghalang keupayaan tubuh menghasilkan antibiotik semulajadi.



Antibiotik mungkin perlu dalam mengubati jangkitan yang mengancam nyawa dan serius. Tetapi menurut para doktor, ia tidak diperlukan dalam banyak keadaan.

Antibiotik yang dimajukan sejak lebih 30 tahun lalu gagal memusnahkan punca penyakit (mikrob). Sebaliknya mikrob ini telah menjalani mutasi, mengembangkan kekebalan terhadap ubat kuat yang sepatutnya dicipta untuk memusnahkannya.

Lebih buruk lagi, hospital kini merupakan sumber jangkitan utama daripada mikrob seumpamanya kerana penggunaan banyak antibiotik. Ubat yang paling kuat sekalipun gagal membunuh kuman kebal ini.

Ramai di kalangan kita mengambil antibiotik setiap hari tanpa menyedarinya. Misalnya dalam daging haiwan ternakan yang berkeadaan terlalu sakit hingga memerlukan antibiotik untuk terus hidup.

(Perhatian: Selain antibiotik, steroid juga menekan sistem imun)

1.2 X-RAY & SUNTIKAN VAKSIN




1.3 KEMOTERAPI
Rawatan kanser ini menjejaskan sistem imun. Kajian ke atas jururawat di pusat rawatan kanser (yang sering terdedah kepada ubat kemoterapi beracun seperti fluoruacil dan cyclophospamide) mendapati jururawat yang bekerja dalam persekitaran ini mempunyai 2 kali ganda keganjilan kromosom pada limfosit mereka berbanding mereka yang tidak berada dalam persekitaran seumpamanya.

Sejauh manakah kemoterapi diperlukan? Beberapa kajian mendapati pesakit kanser cenderung hidup lebih lama dan lebih baik jika mereka tidak menjalani kemoterapi..

2. PEMBEDAHAN TIDAK PERLU

Kebanyakan pembedahan menekan sistem imuniti. Dalam banyak keadaan, punca kematian terbesar selepas berjaya menjalani pembedahan ialah jangkitan sekunder, iaitu kerana lama di hospital.

Dengan keadaan sistem imuniti yang tertekan, jangkitan sekunder boleh membawa maut.

PEMBUANGAN TONSIL, APENDIKS & LIMPA
KLIK GAMBAR UTK BESARKAN

3. MAKANAN YANG MEMUDARATKAN

Seorang pakar bedah jantung pernah menyarankan supaya pesakit yang menjalani pemindahan jantung diberikan dengan makanan yang tidak berkhasiat untuk menekan sistem imun, agar badan tidak menolak jantung baru.

Sungguhpun kedengaran aneh, idea ini memperakui kepentingan hubungan di antara diet dan keimunan.

3.1. GULA

Satu kajian menunjukkan penghadaman cuma 1 sudu teh gula putih merendahkan aktiviti sel-sel darah putih sebanyak 43% selama 6 jam. Kesan penekanan imun oleh gula bermula kurang 30 minit selepas memakannya.

Gula (dan madu) menyebabkan kenaikan yang tinggi dalam paras glukos darah yang akhirnya menyebabkan fungsi sistem imun terjejas.

(Perhatian: Selain gula, kafein juga menyebabkan peningkatan dalam paras gula darah.)

Gula juga menghidrat tubuh dan memekatkan lapisan lendir sinus dan paru-paru, memperlahankan aktiviti sel-sel darah putih yang sepatutnya melindungi kita.

Menurut laporan, jika anda melakukan kerja dalam keadaan banyak duduk, bernafas dengan lemah dan memakan banyak gula, pastri dan makanan berkarbohidrat yang diproses, sistem anda mungkin cenderung menjadi tempat pertumbuhan kanser.

Gula juga mampu mencetus penyakit autoimun.


3.2. LEMAK & MINYAK

Ia menyumbat pembuluh darah, memperlahankan aliran darah, dan menghalang kerja sel-sel imun. Lemak haiwan khususnya paling buruk kerana lemak tepu diketahui menyumbang kepada penyakit autoimun. Tetapi minyak sayuran lebih memudaratkan apabila ia mengalami penghidrogenan untuk menghasilkan majerin; apabila dipanaskan terlalu lama atau menjadi tengik.

3.3. SUSU LEMBU

Manusia tidak dapat menhadamkan susu lembu dengan sepenuhnya. Kebanyakan orang Asia dan Afrika langsung tidak dapat menghadamkannya. Biasanya, protein yang dihadamkan masuk ke dalam aliran darah dalam bentuk asid-asid amino. Susu yang tidak dihadamkan masuk ke dalam darah sebagai protein lengkap, dengan DNA lembu masih ada. Ini menyebabkan sel-sel imun bertindak, di sebalik menyerang bakteria, virus dan sel-sel kanser; ia menyerang susu.

3.4. MAKANAN TIRUAN

Bahan penambah perisa, kimia penambah dalam makanan, pemanis tiruan (misalnya aspartame) dan lemak tiruan adalah bahan-bahan tiruan dengan struktur molekul yang tidak dapat diterima oleh tubuh manusia. Sel-sel imun anda perlu menyingkirkannya daripada tubuh. Vitamin-vitamin sintetik dan ubatan farmasi juga bukan makanan tulen.




Selasa, 8 Jun 2010

Pendidikan awal hasilkan anak pintar

Pendidikan awal hasilkan anak pintar




KUALA LUMPUR - Setiap kanak-kanak dilahirkan bijak, namun kesilapan ketika mendidik menyebabkan potensi sebenar mereka gagal menyerlah.

Menurut Presiden Pusat Pengembangan Otak Kanan Kanak-Kanak TweedleWink, Wennie Sun, perkembangan awal otak kanak-kanak bermula sejak lahir hingga enam tahun dan ia bermula dari otak kanan.

"Otak kanan belajar dengan cara dan kaedah berbeza. Ia memerlukan kasih sayang, rasa gembira, penerimaan, ingin bermain malah ia tidak mempunyai batasan dan tidak dapat menilai kerana ia bersifat gambar.

===================================

Kanak-kanak adalah genius secara natural....

===================================


Seruan Read Malaysia




PANORAMA yang dapat dilihat pada setiap sudut begitu meriah. Ada sahaja kumpulan pelajar, remaja mahu pun golongan dewasa membelek-belek buku yang terdapat di atas meja pameran serta deretan rak buku yang ada di hadapan mereka.

Apabila berjaya menemui buku yang dicari, tangan pantas mengambilnya lantas dibawa ke kaunter pembayaran. Tidak kurang juga ada yang hanya membaca seketika sebelum diletakkan semula di tempat asalnya. Kemudian berlalu pergi ke gerai yang lain pula.

Di satu sudut lain, lima pelajar perempuan leka melihat koleksi buku yang dipamerkan salah sebuah syarikat penerbitan yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut.

Tidak jauh daripada kumpulan pelajar itu, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki tekun membaca sebuah buku tanpa sedar lensa Kosmo! terarah kepadanya.

Apabila didekati, dia hanya tersenyum sebelum meneruskan pembacaannya semula.

"Adik memang minat membaca?" soal penulis lebih lanjut.

"Minat. Dari kecil saya memang suka membaca," balas pemilik nama Jeshaiah Khor, 11, sambil memberitahu dia datang bersama bapanya ke Pameran Buku Read Malaysia 2010.

Dianjurkan oleh Mines Event Management Sdn. Bhd., pameran tersebut berlangsung selama 10 hari bermula 4 Jun lalu di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Mines Resort City.

Kunjungan GenK pada hari pertama menyaksikan ruang pameran seluas 12,500 meter persegi itu dipenuhi oleh pelajar sekolah rendah yang berpakaian seragam.

Ironinya, daripada ratusan pelajar yang datang melalui rombongan sekolah, boleh dikatakan hampir 90 peratus merupakan pelajar perempuan.

Situasi itu menimbulkan satu persoalan adakah pelajar lelaki sudah hilang minat membaca hingga enggan mengikuti lawatan ke pameran yang diadakan di situ?

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Ir Wee Ka Siong, hasil Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati secara purata rakyat Malaysia membaca dua buah buku setahun berbanding tahun 1996 iaitu hanya dua muka surat setahun.

"Meskipun terdapat peningkatan, tetapi jumlah itu masih terlalu kecil untuk sebuah negara yang mempunyai populasi 28 juta penduduk.

"Justeru, semua orang harus menyedari kepentingan menyuburkan budaya membaca yang mampu melahirkan masyarakat cemerlang dan berjaya dalam kehidupan," katanya ketika merasmikan Pameran Buku Read Malaysia 2010 Jumaat lalu.


KA SIONG (dua dari kiri) bersama Aznil (kiri) pada majlis pelancaran Pameran Read Malaysia.


Tambahnya lagi, walaupun Malaysia mencatat kadar celik huruf tertinggi di Asia Tenggara, namun rakyatnya lebih gemar membaca bahan-bahan ringan seperti akhbar dan majalah berbanding sebuah buku ilmiah.

Dalam laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kadar celik huruf rakyat Malaysia adalah sebanyak 93.2 peratus.

Namun, ia jauh ketinggalan di belakang negara-negara membangun seperti Jepun, Britain dan Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mempunyai kadar celik huruf sebanyak 99 peratus.

"Jika hal ini berterusan terutama dalam kalangan pelajar, sudah pasti Malaysia akan mengambil masa yang panjang untuk bersaing dengan bangsa yang telah berjaya mencapai kemajuan seperti Jepun.

"Apa yang penting, kita harus sedar bahawa pembacaan merupakan salah satu kunci utama untuk berjaya dalam dunia serba moden hari ini," jelasnya lagi.

Bagi Sharifah Husna Syed Ismail, 10, dia begitu teruja apabila menyaksikan deretan buku yang tersusun rapi di setiap gerai yang mengambil bahagian.

Mengakui seorang yang gemar membaca, pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi itu, tidak sabar-sabar untuk memilih buku kegemaran untuk dibeli.

"Setiap minggu saya akan membaca lima buah buku termasuklah novel, komik atau pun buku-buku ilmiah untuk menambahkan pengetahuan.

"Dengan membaca, saya dapat menambah koleksi perbendaharaan kata yang tidak diketahui sebelum ini," tutur Sharifah Husna yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Sementara itu, rakannya, Nurul Ain Tasnim Mohd. Saufi, 12, berkongsi cerita bahawa dia memperuntukkan masa selama tiga jam sehari untuk membaca buku.

Bercita-cita untuk menjadi pensyarah, Nurul Ain turut melahirkan rasa seronok apabila berpeluang mengunjungi pesta buku sebegini.

"Ia satu program yang bagus kerana melaluinya kesedaran orang ramai untuk membaca akan meningkat," ungkapnya sambil tersenyum.


SELAIN bahan bacaan, pengunjung Read juga boleh mencuba pelbagai permainan menarik yang disediakan di MIECC Mines Resort.


Perkara itu diakui oleh pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Balakong, Chan Zi Qing, 12, yang berharap lebih banyak program seumpama pesta buku itu dianjurkan dari semasa ke semasa.

"Jika kempen membaca sentiasa diadakan secara berkala contohnya, sedikit sebanyak ia dapat menyumbang kepada peningkatan tabiat membaca dalam kalangan pelajar atau pun orang dewasa," luah Zi Qing yang gemar membaca novel pelbagai genre.

Dalam pada itu, Duta Pameran Buku Read Malaysia, pengacara No. 1 negara, Aznil Nawawi percaya pameran itu merupakan peluang terbaik untuk ibu bapa membawa anak-anak dan menyemai tabiat membaca dalam kalangan mereka.

"Pelbagai jenis buku sama ada berbentuk pelajaran mahu pun yang menguji minda, semuanya ada di sini. Jadi, jangan ketinggalan untuk mengunjungi pameran ini," kata Aznil.

Pelantikan Aznil diyakini mampu menarik kehadiran pengunjung terutama kanak-kanak kerana beliau memang dikenali apabila mengendalikan rancangan popular Tom Tom Bak di saluran Astro.

Sifatnya yang mudah mesra dengan golongan cilik itu secara tidak langsung boleh mendidik mereka agar mencintai buku dan menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian dalam kehidupan sehari-hari.

Menurut Pengurus Besar Pengurusan Acara, Lee Teck Chee, pameran buku terbesar itu diadakan sempena musim cuti sekolah dan ia selaras dengan konsep 1 Malaysia yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat berbilang kaum yang berilmu.

"Penganjuran kali ini terdiri daripada 500 kios yang memaparkan pelbagai jenis buku dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Ia dijangka menarik kehadiran 400,000 pengunjung," katanya.

Antara aktiviti yang akan dianjurkan termasuklah sesi bertemu penceramah dan penulis terkenal seperti Russell Lee dan James Lee dari Flame of the Forest, Azizi Ali, Nohdattun Nisaak serta penampilan istimewa Upin dan Ipin.


SALAH satu bahan pameran dari Pusat Sains Negara menarik minat sekumpulan pengunjung.



Berdasarkan sambutan yang diterima selepas dua kali diadakan, Pameran Buku Read Malaysia bakal dijadikan acara tahunan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan Country Heights Holdings Bhd., Mark Rozario.

Bagi memudahkan orang ramai mengunjungi Read Malaysia, perkhidmatan bas ulang alik secara percuma disediakan dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Stesen Bas South City Plaza dan Stesen Komuter Serdang ke pusat pameran.

Kempen itu mendapat sokongan padu kerajaan, sementara institusi pendidikan juga mampu memainkan peranan sebagai pemangkin. Kalau para ibu bapa di negara ini seceria si duta pameran, Aznil, dalam menanam semangat cintakan budaya membaca, langkah seterusnya adalah cetusan di hati anak-anak mereka itu sendiri. Semoga kempen itu berjaya!

Untuk maklumat lanjut mengenai pameran ini, layari laman web www.readmalaysia.my.


Khamis, 3 Jun 2010

Ciuman perokok boleh membunuh - Pakar


PAKAR penyelidik Australia berpendapat tabiat merokok boleh menyebarkan bakteria berbahaya. - Gambar hiasan.


MELBOURNE - Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.

Prof. Robert Booy, Pengarah Penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children"s Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria yang berbahaya pada kerongkong mereka.

"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium," katanya seperti yang dipetik oleh Australian Associated Press.

Seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia, kata laporan itu.

"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," kata Prof. Booy.

Pandangan Booy itu bagaimanapun dipersoalkan oleh dua pakar perubatan tempatan.

Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Respiratori, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fauzi Md. Anshar ketika dihubungi semalam menjelaskan, setakat ini tiada kajian khusus yang mengesahkan perokok membawa bakteria berbahaya.

"Bakteria meningococcus biasa terdapat dalam sistem pernafasan baik perokok atau tidak.

"Namun jika ia menjangkiti kanak-kanak yang mempunyai tahap imunisasi lemah, ia boleh mengakibatkan meningitis dan membawa maut,'' katanya