Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Rabu, 30 Mei 2012

APA ITU URI BAWAH RAHIM?

Bahaya uri bawah rahim

Dr., apakah yang dimaksudkan dengan uri? Adakah berbahaya jika uri berada di bawah? Saya selalu mendengar rakan-rakan berbual tentang perkara ini. Saya baru mengandung dua bulan dan amat takut dengan perkara ini.

n Puteri R, Subang.

Jawapan:
Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim. 

Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin. 

Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan kerana 20 peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP). 

Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja. Tahap keseriusan dibahagikan kepada empat jenis iaitu uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim, uri menutupi sebahagian pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu rahim.

Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.

Risiko
Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.

Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang kehamilan.

Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri. Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim. Pembedahan caesarean adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup bulan.
Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh timbul pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian pada bayi dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.

Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh mengancam nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat pada rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta accreta. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim. Jika ini berlaku, rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu. 

Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus sahaja. 

Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim umpamanya caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.

Selamat
Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean. Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.

Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas. 

Saya harap Puteri R sudah jelas dengan penjelasan yang diberikan dan jangan mendengar bualan rakan-rakan sahaja. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan semoga penjelasan yang diberikan akan menghilangkan kegusaran tersebut.

Ahad, 27 Mei 2012

Cara Tradisi Pulihkan Dara

Bertangas pulih dara?

APAKAH yang dimaksudkan dengan bertangas? Benarkah ia dapat memulihkan dara wanita? 

Rina, Johor.
 
Soalan yang diutarakan amat menarik sekali. Mungkin jawapan yang saya berikan adalah pendapat saya sebagai pengamal perubatan moden. Saya tidaklah ingin menimbulkan apa-apa kontroversi kepada pengamal perubatan tradisional. Saya tidak menyangkal kebaikan perubatan tradisional yang telah diamalkan sejak turun-temurun. Alangkah baiknya jika kebaikan ini dapat dibuktikan secara kajian saintifik. Saya yakin sudah tentu pengamal perubatan moden akan mengamalkannya dalam perawatan harian mereka. 

Buat masa ini, masih belum ada kajian secara klinikal yang dijalankan dan laporan yang dibuat adalah daripada pengalaman nenek-moyang kita turun-temurun. Saya sebenarnya kurang pasti sama ada ia boleh memulihkan dara seseorang wanita yang telah melahirkan anak ataupun tidak. Maksud pemuliharaan dara ini juga amat meluas. Saya agak yang dimaksudkan mungkin kemutan faraj yang masih dapat dikekalkan (masih ketat) walaupun telah menjalani proses kelahiran. 

Namun begitu, ramai tak pasti untuk apa keperluan bertangas. Saya sendiri kurang mengetahui kebaikan bertangas dan juga tidak pernah 
mengamalkannya walaupun pernah melahirkan anak lima kali. Jawapan yang saya akan berikan adalah daripada bacaan saya dan juga perbincangan saya bersama pengamal perubatan tradisional. 

Mandi wapBertangas ini sebenarnya adalah mandi wap. Bukan terhad kepada wanita sahaja dan juga bukan untuk kaum Melayu sahaja. 

Bertangas untuk wanita bagus dilakukan setiap kali selepas bersalin dan selepas haid. Mungkin ramai yang sangka ia hanya untuk selepas pantang bersalin, namun sebenarnya bagus untuk setiap kali selepas haid. 
Bertangas akan mengeluarkan peluh dan menyebabkan toksin keluar daripada badan. Bagi ibu bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan dan kemutan faraj dan rahim. 

Rawatan bertangas terdapat dalam pelbagai cara dan ramuan. Biasanya terdapat dalam dua jenis iaitu bertangas kering dan basah. Bertangas kering juga dikenali sebagai bertangas herba. Ianya hanya menggunakan batu sungai yang dipanaskan dan diletakkan ramuan tertentu. Rawatan ini dilakukan selepas hari ke-30 bersalin selama 10 hari berturut-turut apabila darah nifas telah kering . Rawatan ini dipercayai dapat mengeluarkan sisa toksin dan merawat luka. Jika selepas haid, boleh dilakukan selepas hari keenam, selama tiga ke tujuh hari.

Bertangas basah pula menggunakan ramuan rempah ratus dan herba yang direbus. Untuk mereka yang berpantang bersalin, mulakan rawatan selepas hari ke-40 iaitu selepas tangas kering dan dilakukan sehingga 100 hari. Untuk selepas haid, dilakukan selepas darah kering juga. Amalan ini dipercayai dapat menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap di bahagian alat sulit. 

RawatanIa juga dapat mengelakkan kelesuan kulit dan bau badan. Ketika rawatan bertangas basah, boleh amalkan senaman kemutan otot rahim atau Kegel exercise untuk kekuatan otot faraj dan rahim. Bertangas dibuat dengan menyelubung seluruh badan dengan kain dari paras leher ke paras lantai agar wap tangas menyeluruh kena pada badan. 

Proses rawatan bertangas secara tradisional adalah dengan memasukkan air panas yang dicampurkan sedikit dengan air sejuk untuk mengelakkan kecederaan ke dalam besen yang besar serta dicampurkan ramuan-ramuan herba yang telah dibersihkan seperti buah manjakani, asam keping, daun sirih, daun kunyit, halia merah, daun mengkudu, buah pala serta sedikit garam dan bermacam-macam lagi sumber asli yang kebanyakannya boleh didapati di dapur masing-masing. 

Setelah dibiarkan beberapa minit, wanita yang akan menjalani rawatan bertangas akan masuk dan duduk di dalam besen tersebut supaya air campuran herba mengenai bahagian sulit mereka. Di samping itu, mereka boleh menggosok bahagian sulit dengan air campuran herba tersebut untuk kesan yang lebih baik. 

Proses rawatan ini biasanya dilakukan dalam masa 20 hingga 30 minit mengikut kehendak individu dan elok dilakukan sekerap dua kali sebulan atau seminggu sekali. Campuran herba tersebut dipercayai mengandungi banyak khasiat dan kelebihan tersendiri contohnya buah manjakani boleh mengetatkan faraj, daun sirih untuk menyembuhkan luka-luka kecil manakala buah pala dapat menghindarkan bau yang tidak menyenangkan pada alat sulit serta boleh memberi kesan yang maksimum kepada hubungan seksual pasangan suami isteri. 

MurahSememangnya rawatan ini adalah mudah, murah dan boleh dilakukan sendiri di rumah tanpa mengeluarkan belanja besar serta mengambil masa yang lama.

Namun wanita moden sekarang ramai yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan rawatan dalaman ini yang boleh membawa kesejahteraan rumahtangga dan kesihatan serta kebersihan diri.

Sememangnya wanita tidak perlu risau melakukannya kerana kebanyakan spa yang terdapat di Malaysia ada menyediakan rawatan bertangas dengan cara yang sedikit berbeza malah lebih selesa iaitu diletakkan di dalam alat mandi wap kanvas dan diletakkan serbuk herba tersebut yang telah dikisar atau dimesin halus ke dalam periuk kukusan elektrik yang tersedia di dalam kanvas tersebut. Ia cepat dan mudah untuk digunakan. Proses rawatannya juga hanya 20 hingga 30 minit. 

Justeru rawatan tradisional ini masih boleh diamalkan walaupun zaman sudah berubah. Sebagai wanita mungkin anda boleh mencubanya jika anda berkemampuan dan berkelapangan

Rabu, 16 Mei 2012

BERTEMU semula


ASSALAMUALAYKUM WBT

IBU yang hari-harinya sentiasa penuh dengan agenda MULTITAS-King.

IBU yang tidak pernah berhenti berfikir-merasa-bercakap dan bertindak DAN berdoa untuk mengasihi keluarganya..

IBU ; kerjayanya yang tidak pernah M.C, cuti tahun, cuti peristiwa, cuti kecemasan.. hingga akhir hayatnya.

SELAMAT HARI IBU

Untuk Ibu-ibu al Humairaa khasnya
Dan ibu-ibu yang penyayang di luar sana.

Dari,
Al Humairaa GKC
Fakiih Solutions & Training Sdn Bhd

Isnin, 14 Mei 2012

Gila meroyan selepas bersalin

Gila meroyan selepas bersalin

Doktor., saya sering mendengar kisah atau kes kemurungan selepas bersalin atau meroyan dalam kalangan ibu muda. Adakah masalah ini satu penyakit atau masalah rumit? Benarkah ia boleh menjejaskan kesejahteraan ibu dan anak? Boleh tak doktor berikan panduan mengatasi masalah ini? Jika saya ingin berpantang kelak, adakah saya perlu mengikut petua orang lama untuk mengelak daripada meroyan?
Terima kasih

Zy, Kedah.

Sama-sama. 

Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak. Meroyan atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin. Walaupun ia lebih sinonim diperkatakan oleh masyarakat Melayu dan lebih banyak dilihat dihidapi oleh wanita biasa, namun ia juga sebenarnya turut menimpa wanita profesional. 

Gila meroyan

Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu atau selepas berpantang. Pada tahap ini, seseorang wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.
Pendapat terkini mengatakan penyakit gila meroyan postpartum pyschosis juga seperti penyakit psikosis yang dialami oleh pesakit jiwa lain. Mujurlah keadaan ini hanya dialami oleh segelintir sahaja wanita selepas bersalin. 

Sebenarnya tiada kaitan yang kukuh antara cara berpantang mengikut orang tua dan risiko untuk mendapat meroyan. Mungkin elok untuk saya kongsi pengalaman daripada kajian kami 10 tahun lepas di Kelantan terhadap wanita yang hamil dan dalam masa berpantang. 

Daripada kajian kami ada sedikit sebanyak kesan positif bagi ibu-ibu muda yang mengamalkan urutan selepas bersalin dan bertungku semasa dalam pantang kerana ia dapat mengurangkan risiko kemurungan. Kajian tersebut turut mendapati ibu muda berpeluang berbual-bual sambil meluahkan perasaan semasa menjalani prosedur tersebut yang pada kebiasaannya berlangsung selama dua jam sehari dalam jangka masa dua minggu pertama selepas bersalin. Perbualan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stres yang dialami oleh ibu muda tersebut.

Gangguan perasaan

Gangguan perasaan selepas bersalin sebenarnya dialami oleh ramai wanita iaitu sehingga 85 peratus sewaktu tempoh berpantang. Namun, kebanyakannya hanya mengalami pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan. Malah ia berlaku sekejap sahaja, biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan. Bagaimanapun, dalam segelintir 10 peratus wanita, gangguan perasaan berlaku lebih mendalam dan berpanjangan.

Dalam bidang perubatan, gangguan perasaan selepas bersalin dikelaskan kepada tiga peringkat mengikut tahap keterukannya iaitu postpartum blues, postpartum depression dan postpartum psychosis (gila meroyan). Postpartum blues adalah masalah perubahan emosi yang normal dan tidak serius. Ia kerap berlaku kepada wanita selepas bersalin. Perubahan emosi ini memuncak pada hari ketiga hingga kelima selepas bersalin. Ia akan berkurangan selepas lebih kurang 10 hari bersalin dan akhirnya emosi mereka kembali kepada sediakala. Ia boleh berlaku selepas kelahiran pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza. Ibu-ibu yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan.

Kemurungan

Gejala kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression pula adalah gangguan psikologi yang perlu mendapat rawatan pakar. Ia lebih teruk dan mendatangkan kesan buruk kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Ia boleh berlaku satu dalam setiap lapan (1:8) ibu yang melahirkan anak atau 10 peratus hingga 20 peratus daripada ibu yang mengandung. Ia lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga selepas setahun kelahiran anak. Malah ia boleh juga berlaku selepas keguguran atau kematian bayi dalam kandungan. Ibu-ibu yang menghidap kemurungan selepas bersalin mengalami perubahan emosi yang lebih teruk dan lebih lama berbanding perubahan emosi pada postpartum blues.

Psikosis

Psikosis selepas bersalin atau postpartum psychosis juga di panggil gila meroyan merupakan peringkat paling teruk yang jarang berlaku selepas bersalin. Ia berbeza daripada masalah psikosis yang biasa berlaku kepada masyarakat umum kerana kaitannya dengan proses bersalin, manifestasi yang lebih mirip masalah emosi dan prognosisnya adalah lebih baik. 

Dalam kalangan 1,000 ibu yang melahirkan anak, satu hingga dua orang (1- 2: 1000) boleh diserang psikosis selepas bersalin. Ia biasanya bermula tiga hingga lima hari selepas bersalin dan dua pertiga daripada pesakit mendapat psikosis dalam dua minggu pertama selepas kelahiran. 

Gejala psikosis selepas bersalin boleh berlaku sehingga satu atau dua tahun selepas bersalin. Ia bermula dengan gangguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang. Mereka tidak dapat cukup tidur walaupun bayi tidur lena. Mereka sering merasa keletihan. Kemudiannya, ibu yang menghidap psikosis selepas bersalin ini akan mengalami emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah. Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis. Psikosis berlaku apabila mereka mula mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras. Separuh daripada mereka mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi. 

Ada kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayinya cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya. Satu perempat daripada mereka (25 peratus) mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh bayi dan sebagainya. 

Terdapat ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba membunuh bayi infanticide mereka sendiri. Kadar bunuh diri dalam kalangan ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin juga adalah tinggi. 

Panduan

Bagi mengurangkan masalah tersebut, pelajarilah tanggungjawab sebagai ibubapa daripada kawan-kawan, keluarga atau bahan-bahan bacaan sebelum mengandung. 

Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami, ahli keluarga yang lain untuk memberi sokongan emosi jika merasa tertekan. Dapatkan pembantu rumah atau ahli keluarga yang lain untuk menguruskan kerja-kerja seharian dan membantu penjagaan bayi dan anak anda yang lain semasa tempoh berpantang kerana anda masih lemah. 

Rehat yang cukup juga adalah penting. Ambil udara segar di luar dan jangan hanya berada di rumah walaupun anda berpantang. Beri masa untuk diri anda sendiri. Pengambilan diet dan pemakanan yang berkhasiat juga penting dititikberatkan untuk kembali cergas.

Isnin, 7 Mei 2012

Bahaya kekurangan zat besi Untuk Ibu Hamil

Bahaya kekurangan zat besi

Faizatul
hmetro.com.my
      
PENING...kesihatan ibu boleh terganggu jika kekurangan zat besi.
PENING...kesihatan ibu boleh terganggu jika kekurangan zat besi.
RASA letih, tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah sering berlaku pada kebanyakan wanita mengandung hingga mereka terlepas pandang dan menganggap ia perkara normal sehingga ia tidak diberikan perhatian serius. 

Mereka mengabaikan gejala yang dialami kerana menganggap semua itu adalah kesan akibat perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya bagi seorang daripada tiga wanita, masalah terbabit boleh menandakan gangguan yang lebih serius iaitu anemia atau kekurangan sel darah merah akibat tidak mendapat zat besi secukupnya. 

Memandangkan seorang daripada tiga wanita mengandung mengalami masalah kekurangan zat besi, keadaan itu lebih lazim berlaku daripada yang disangka.

Walaupun masalah kesihatan itu bukan normal, tetapi ia sering tidak diperiksa atau dirawat menyebabkan ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Premitha Damodaran, berkata ramai masih tidak tahu masalah kekurangan zat besi yang serius adalah merbahaya dan ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius bukan saja kepada ibu, tetapi turut memberi kesan pada bayi yang dikandungnya.

Beliau berkata, wanita bukan saja perlu mengambil zat besi yang cukup semasa mengandung, tetapi ia juga penting sebelum proses mendapatkan zuriat. Kepentingan zat besi semakin bertambah selepas melahirkan anak dan sepanjang tempoh menyusukan anak.

“Zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.

“Oleh itu, wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri ketika hamil serta selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka.

“Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (12 hingga 15mg/dl) wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi,” katanya.

Menurutnya, kekurangan zat besi dalam badan berpunca daripada diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.

Wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi mereka.

Katanya, dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi ketika hamil iaitu pertambahan jumlah daripada 15mg/dl kepada 27mg/dl sehari.

“Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa mempunyai simpanan zat besi secukupnya untuk memenuhi permintaan lebih tinggi badan terhadap mineral itu, menyebabkan anemia kekurangan zat besi yang berlanjutan berlaku sehingga selepas melahirkan anak,” katanya.

Antara wanita yang berisiko mengalami anemia kekurangan zat besi selepas bersalin ialah:
  • Wanita yang disahkan menghidap anemia kekurangan besi semasa hamil
  • Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak
  • Wanita yang sudah beberapa kali melahirkan anak
  • Ibu yang menyusukan bayinya


    Bagaimana hendak mengetahui jika seseorang wanita itu mengalami anemia? Antara gejala anemia yang sering dilaporkan ialah pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju.

    Katanya, anemia ketika hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan komplikasi kehamilan yang serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, saiz bayi yang kecil, koma dan paling membimbangkan ialah kemungkinan ibu meninggal dunia.

    Anemia ketika hamil boleh dikesan dengan penentuan tahap hemoglobin dalam darah melalui ujian darah.

    Sebelum merancang untuk mengandung, wanita juga digalakkan berjumpa doktor dan menilai tahap hemoglobin dalam darah namun malangnya, kebanyakan wanita hanya berjumpa doktor apabila sudah mengandung dan ketika ujian darah dijalankan, mereka sudah pun didapati mengalami anemia ringan.

    Wanita hamil yang mempunyai kepekatan darah lebih 11g/dl adalah normal manakala yang mencatat 9 hingga 11g/dl menunjukkan masalah anemia ringan, 7 hingga 8.9g/dl pula anemia sederhana dan bacaan kurang daripada 7.0 mengalami masalah anemia tahap teruk.

    Dalam keadaan lebih serius, rawatan perubatan diperlukan memandangkan kumpulan wanita hamil itu menghadapi risiko kelahiran bayi pramatang dan mendapatkan bayi dengan berat badan rendah ketika dilahirkan.

    Menurut Dr Premitha, tahap keterukan dan punca anemia menentukan terapi yang akan disyorkan oleh doktor, selain pesakit perlu membuat serba sedikit perubahan gaya hidup dan pemakanan.

    Bagi menambah bekalan zat besi ketika proses mendapatkan zuriat, semasa hamil dan menyusukan bayi, Dr Premitha menyarankan meningkatkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur berdaun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang, tembikai, labu, bijan dan tauhu.

    “Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia. Pilih rumusan besi yang boleh diterima oleh badan kerana ia penting untuk memulihkan kekurangan hemoglobin dan mengoptimumkan penyerapan zat besi, membantu wanita menangani anemia semasa hamil dan juga mengurangkan kesan sampingan seperti sembelit.

    “Wanita yang menghadapi risiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam,” katanya.

    Selain itu, bagi meningkatkan keberkesanan terapi zat besi, ibu disyorkan mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan untuk mengurangkan kesan rencatan.

    Vitamin C tambahan disyorkan diambil bersama makanan kerana diketahui meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan serapan zat besi jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.

    Kalsium tambahan pula disyorkan diambil secara berasingan daripada zat besi, contohnya sebelum tidur, untuk mengurangkan rencatan kepada penyerapan zat besi.

    Menurut Dr Premitha, wanita perlu terus mengambil makanan kaya dengan zat besi dan pemakanan tambahan sehingga mereka berhenti menyusukan bayi atau selama enam bulan selepas melahirkan anak, yang mana lebih lewat.

    Katanya, dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, diberikan pemindahan darah atau suntikan zat besi.

    “Wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa hamil dan empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak.

    “Mereka boleh mengekalkan kecergasan masing-masing dengan mengambil jumlah zat besi yang secukupnya daripada makanan dan pemakanan tambahan yang membantu meningkatkan paras hemoglobin darah.

    “Mereka dinasihatkan mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika terdapat simptom kekurangan zat besi,” katanya.


    Memahami anemia dan kehamilan

    Wanita hamil memerlukan 50 peratus lebih banyak zat besi.

    Golongan berisiko adalah wanita yang pernah disahkan menghidap anemia ketika kehamilan terdahulu, pernah mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak, wanita yang sudah melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang sedang menyusukan bayi.

    Gejala dan kesan anemia terhadap kehamilan

    Gejala anemia adalah pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju.
    Risiko keguguran, kelahiran pramatang, bayi kecil, koma serta peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia.


    Pengesanan

    Pemeriksaan di klinik atau hospital untuk menentukan tahap hemoglobin dalam badan melalui ujian darah.

    Sebelum merancang untuk mengandung, wanita digalakkan bertemu doktor dan menilai tahap hemoglobin dalam badan mereka.

    Pencegahan dan rawatan Meningkatkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur daun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang, tembikai dan labu, bijan dan tauhu.

    Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.