Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Rabu, 30 September 2009

Bahaya sotong kering!


PEGAWAI penyelidik CAP, Hatijah Hashim menunjukkan sotong kering yang didakwa dicemari kadmium di pejabatnya di Pulau Pinang semalam.





GEORGE TOWN - Ramai mengetahui keenakan sotong kering ditambah lagi jika dimasak sebagai sambal......

selanjutnya

Selasa, 29 September 2009

Iklan Mencari Pengasuh Diteruskan

Salam semua,

Pihak Taska Al Humairaa telah membuat iklan untuk mengisi jawatan pengasuh atau lebih dikenali oleh kami ialah Tenaga Asuh Bimbing bermula sabtu lepas sehingga hari ini di berita harian.

Hampir 32 orang yang sms dan telefon... ada SPM, Diploma dan lepasan ijazah.

Hanya 5 orang yang janji nak datang minggu depan - belum pasti nak datang ke tak?

Yang 25 orang sekadar memeriahkan majlis sahaja.

Ramai yang banyak bertanya... ada yang berlagak mcm dia pulak yang jadi owner taska...

Pelbagai soalan yang mencuit hati....

seperti "saya nak terus jadi ketua pengasuh atau penyelia sebab dah ada 8 tahun berpengalaman"

"gaji ni naik tiap-tiap tahun ker"

"ramai tak budak kat sana...?"

"hanya mengasuh sahaja ker?"

"saya nak mengasuh sahaja.... mengajar tak nak"

"berapa lama kena kerja kat sana?"

"saya lepasan ijazah.... berapa gaji nak dibayar?"


Kebanyakan yang telefon kalau lepasan SPM macam dahpun jadi pengasuh kat taska lain... telefon sekadar nak cari mana taska ofer lebih mahal daripada yang majikannya bagi sekarang...

Ada yang demand bukan-bukan... "saya tak de duit nak datang... boleh bagi belanja/duit untuk saya datang"

Ada pulak yang sms terkeluar tajuk, "boleh tak puan jadi emak angkat saya?"...pulak....

Macam-macam gelagat anak gadis melayu mencari pekerjaan.... nampak gaya ramai yang cari kerja yang ofer gaji sedikit mahal dan ofer kerja sedikit mudah dan relaks....

Tak ramai yang cari kerja kerana mencari pengalaman yang berharga.........

Wassalam

Khamis, 17 September 2009

Penyakit FSD (Disfungsi Seksual Wanita)-Apakah implikasi dan solusinya?

FSD seperti laporanHarian Metro melibatkan hampir 70% wanita di Malaysia, satu peratusan yang sangat besar dan tidak boleh dipandang remeh oleh individu lelaki atau wanita yang berumah tangga.

FSD menjadi salah satu faktor keruntuhan rumahtangga, menghilangkan kasih sayang suami isteri... menimbulkan impak rasa bersalah isteri, mengecewakan pasangan bila mengetahuinya dalam masa yang lewat atau selepas tempoh yang panjang.

Ada suami menyatakan bahawa mereka begitu kecewa kerana setelah tempoh lama 2 tahun , 3 tahun , 5 tahun, 10 tahun barulah isteri mereka perjelaskan kepada bahawa perhubungan suamiisteri mereka berdasarkan tuntutan syariah agama dan bukannya berdasarkan keperluan peribadinya.

Mereka hanya menyerah sahaja tanpa menikmati atau kurang menikmati. Sedikit kepuasan dan banyak kesakitan pre-semasa-post setiap perhubungan yang dilakukan. Ada yang mengikut rentak kehendak suami sedangkan dalam diri bergelora untuk menjerit dan berkata "berhenti"...atau"hentikan-hentikan... saya tak mahu atau saya tak berselera...."

Ada suami rasa tertipu dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku yang lepas-lepas terutama berdasarkan suasana keromantikan yang ditunjukkan. Mereka terasa dipermainkan. Keegoan tercabar dan rasa dipersendakan atau menjadi hamba perjudian kehidupan. Ada suami menyatakan perkahwinan adalah cinta menyintai, perhubungan romantik itu adalah salah satu cara menunjukkan proses cinta-menyintai itu secara setelus hati kedua belah pihak. Jika satu pihak sahaja yang bersungguh-sungguh dgn sepenuh hati manakala satu lagi tidak rasa apa-apa maka tidak menjadi satu perhubungan yang bagus dan baik malah bersifat "hipokrasi." Seolah-olah istilah cinta itu sudah tiada atau dipermainkan.

Bahaya betul FSD ini,
kalau tidak ditangani dengan berhemah atau dengan sopan santun.... ianya menghilangkan selera dan memperkasakan keinginan syaitan untuk memusnahkan rumahtangga yang dibina dan membawa setiap yang kecewa ke jalan kepasadan dan kemusnahan keimanan dan syariat yang tertera.

Persoalannya ialah

1). Selama ini dunia kesihatan heboh dgn ED bagi lelaki, pelbagai ubat dan vitamin dikeluarkan untuk menyelesaikannya sehingga menjadikan sesuah syarikat MLM kukuh dgn vitamin atau ubatan atau solution yang dikeluarkan.

TAPI... ada tak juga vitamin, herba atau solution yang terbaik untuk penyakit FSD ini? atau penyakit FSD ini malu diperkatakan secara tatapan umum? sedangkan melibatkan 70% wanita Malaysia.

2) Apakah apabila Allah membenarkan lelaki berkahwin 4 merupakan sebahagian daripada solution kepada penyakit ini?

3) Apakah solution terbaik? Adakah perlu kepada terapi seks oleh pakar kaunselor? adakah pesakit FSD hanya sekadar pasrah atau membuat tangisan menyesali keadaan diri?

4) Apakah itu juga salah satu kejadian yang Allah kurniakan untuk membawa manusia memahami bahawasanya cinta sejati hanya untuk Allah... cinta sesama manusia adalah had limitnya.?

5) Bagaimanakah cara terbaik untuk para suami menghadapinya? berserah? atau ada perubatan tertentu yang perlu dilakukan oleh pihak lelaki dan pihak wanita?


Ianya adalah cubaan didunia...namun begitu setiap masalah itu pasti ada ubatnya.... adakah merangsang libido merupakan ubatnya?

Isu seperti ini perlukan perbincangan ilmiah oleh pakar-pakar yang terlibat sama ada perubatan, kaunseling dan seumpamanya....

wallahua'lam

Rabu, 16 September 2009

FSD

'Mati pucuk' (disfungsi seksual) versi wanita

ADAKAH? Memang ada, dan ia lebih dikenali sebagai disfungsi seksual wanita (FSD). Bukan itu sahaja. FSD tidak hanya mewakili satu masalah tunggal tetapi turut meliputi pelbagai masalah seksual kaum hawa. Dari gangguan keinginan seksual hipoaktif (HSDD atau dorongan seks rendah atau libido) hinggalah kepada kesakitan semasa melakukan hubungan kelamin, disfungsi seksual lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki.

Penyebaran disfungsi seksual di kalangan lelaki dianggarkan pada tahap 31% sementara di kalangan wanita adalah 43%. Ini bermakna setiap dua daripada lima orang wanita mengalami FSD.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh syarikat farmaseutikal, Pfizer Global Better Sex Survey 2006 (GBSS) yang telah meninjau pendapat lelaki dan wanita di seluruh dunia tentang kepuasan dan aspirasi seksual mendapati, 83% wanita Malaysia berpendapat bahawa seks merupakan satu aspek kehidupan penting untuk mencapai hubungan yang memuaskan. Namun begitu, lebih daripada 69.6% wanita Malaysia mengalami satu daripada masalah FSD. Gabungan dua fakta ini menyebabkan tanggungjawab memahami FSD oleh kedua-dua pihak menjadi lebih penting lagi.

Kajian itu juga mendapati bahawa secara global lebih 50% peratus wanita tidak mencapai kepuasan seksual sepenuhnya, begitu juga di kalangan wanita negara ini. Terdapat banyak faktor yang menyumbang ke arah ketidakpuasan tersebut termasuk disfungsi seksual yang dialami oleh wanita dan juga pasangan.

Apakah FSD itu sebenarnya? Apakah yang menjadi puncanya? Bagaimana pula dengan gejalanya? Apakah yang boleh dilakukan oleh lelaki untuk membantu pasangan mereka? Senarionya di Malaysia?

Apabila wanita mula meningkat usia, kewujudan FSD juga turut meningkat. Sebahagian daripada apa yang menjadikan FSD ini sesuatu yang misteri adalah kerana ia merujuk kepada pelbagai masalah seksual di kalangan wanita. FSD yang paling biasa adalah ketiadaan libido. Ciri-cirinya termasuklah dorongan dan minat dalam aktiviti seksual yang begitu rendah, menurut Kaunselor Perhubungan dan Pakar Terapi Seks terkemuka dari Sydney, Australia, Dr. Rosie King.

Di kalangan wanita, ia disebabkan oleh banyak faktor termasuk tekanan perasaan, terlalu letih, kemurungan, putus haid, berkeluarga dengan anak kecil atau berada dalam hubungan yang tidak bahagia. Satu lagi FSD yang biasa adalah gangguan nafsu berahi di mana wanita menggambarkan sama ada mereka sukar untuk berasa ghairah atau melakukan hubungan seks dalam keadaan kering dan tidak selesa. Gangguan kesakitan seksual atau dispareunia dan vaginismus, di mana otot lantai pelvis menjadi kejang sehingga menjadikan hubungan seks tidak dapat dilakukan, juga kerap dilaporkan oleh wanita.

Namun begitu, harapan masih ada. FSD bukanlah sekadar satu fenomena fizikal tetapi gabungan faktor-faktor biologi, psikologi, jalinan hubungan, seksual dan keadaan semasa yang kompleks.

Kunci untuk mengatasi FSD adalah dengan memahami tubuh wanita dan amat penting sekali bagi pasangannya untuk turut terlibat dalam membantu wanita berasa selesa dengan reaksi tubuhnya semasa melakukan hubungan yang intim ini. Memahami bagaimana nafsu seksual berfungsi akan membantu kedua-dua pihak berasa lebih relaks dan dapat menikmati hubungan seks sepenuhnya.

Dr. King turut mendedahkan bahawa seorang wanita bertindak balas lebih perlahan terhadap rangsangan seksual dan secara tipikalnya wanita memerlukan 15 sehingga 20 minit masa bercumbu sebelum dia bersedia untuk melakukan hubungan seks. Banyak perubahan berlaku di bahagian pelvis wanita bagi membolehkan mereka melakukan hubungan seks dengan selesa dan pasangannya perlu mengambil kira hal ini semasa bercumbu. Tanpa pertimbangan ini, wanita mungkin akan mengalami kesakitan yang mempunyai gejala gangguan kesakitan seksual.

Jenis-jenis FSD lazim

1. Ketiadaan libido

Disfungsi seksual paling biasa, yang menjejaskan lebih daripada 30 peratus wanita adalah ketiadaan libido. Punca biasanya termasuklah tekanan perasaan, terlalu letih, kemurungan, putus haid, berkeluarga dengan anak kecil atau berada dalam hubungan yang tidak bahagia.

Di peringkat awal dalam sesuatu hubungan iaitu semasa bercinta, nafsu seksual wanita cenderung lebih tinggi kerana peningkatan dalam hormon testosteron. Selepas 18 bulan sehingga tiga tahun, tahap nafsu ini akan menurun dan selepas itu ramai wanita tidak pernah lagi atau jarang sekali mengalami nafsu yang spontan terhadap seks walaupun mereka mungkin masih akan terbuka terhadap perlakuan seks sekiranya pasangan mereka memulakannya.

Umumnya nafsu seksual lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita. Perbezaan ini dikenali sebagai percanggahan nafsu. Kebanyakan wanita yang rendah libido juga akan mengalami masalah menangani percanggahan nafsu ini. Wanita lebih kerap berasa tidak puas hati dengan tahap libido mereka kerana mereka membandingkan nafsu semasa mereka dengan nafsu ketika bercinta, dengan nafsu pasangan lelaki mereka yang kuat atau dengan pandangan yang tidak realistik yang mereka dapati daripada media tentang nafsu seksual wanita.

Kebanyakan wanita mengharapkan mereka akan hanyut dalam arus keghairahan nafsu dan mereka akan begitu kecewa apabila mendapati nafsu seksual mereka adalah neutral dan terpaksa bergantung kepada sebab-sebab lain yang tidak seksual sebagai motivasi untuk melakukan hubungan seks. Bagi mengatasi masalah nafsu ini, wanita perlu memahami bagaimana nafsu seksual berfungsi dan menjadi peka terhadap pengalaman seksual bagi seseorang wanita yang tipikal. Ini akan membantu wanita berasa lebih normal berhubung dengan tahap nafsu mereka.

2. Gangguan Nafsu Berahi

Wanita yang mengalami gangguan nafsu berahi menyatakan masalah untuk membangkitkan rasa ghairah dan menikmati hubungan seks, atau hubungan seks ini berlaku dalam keadaan kering dan tidak selesa. Mereka juga mengadu tidak dapat mencapai nikmat dan keseronokan semasa melakukan hubungan seks. Kebanyakan wanita tidak menyedari bahawa mereka memerlukan di antara 15 hingga 20 minit masa untuk bercumbu sebelum mereka bersedia untuk melakukan hubungan seks.

Banyak perubahan berlaku di bahagian pelvis wanita yang akan membolehkan hubungan seks berlaku dalam keadaan yang selesa. Sekiranya tiada masa diberikan untuk perubahan ini berlaku, wanita mungkin akan berasa sakit semasa melakukan hubungan seks.

Wanita mendapati adalah lebih sukar untuk menumpukan perhatian terhadap pengalaman yang erotik berbanding lelaki dan justeru itu nafsu seksual mereka bangkit dengan lebih perlahan. Sekiranya seseorang wanita mempunyai masalah untuk membangkitkan nafsu seksual mereka, kemungkinan besar dia akan mengalami masalah mencapai orgasma dan menderita pula gangguan orgasma.

3. Gangguan kesakitan seksual

Gangguan kesakitan seksual atau dispareunia adalah satu lagi masalah seksual bagi wanita. Hubungan seks yang menyakitkan mungkin disebabkan ketiadaan rasa ghairah seperti yang telah dijelaskan di atas atau ia mungkin disebabkan masalah fizikal yang mendasari seperti jangkitan atau keradangan. Satu bentuk hubungan seks yang menyakitkan dikenali sebagai vaginismus di mana hubungan seks tidak dapat dilakukan kerana kekejangan otot lantai pelvis.

Sebab-sebab FSD

Masalah seksual wanita dan ketidakpuasan seksual boleh disebabkan oleh pelbagai faktor dari segi biologi, psikologi, jalinan hubungan, seksual dan keadaan semasa. Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa disfungsi seksual lelaki seperti ED atau pancutan air mani terlalu awal boleh melemahkan fungsi seksual wanita lalu mengehadkan nikmat dan kepuasan seksual wanita.

Adalah didapati bahawa, bagi wanita yang pasangan mereka menderita ED, mereka akan mengalami masalah rendah libido, kurang nafsu berahi, kelemahan orgasma dan kepuasan seksual yang berkurangan. Namun, apa yang menariknya, apabila masalah ED lelaki telah dirawat, tindak balas seksual di kalangan pasangan wanita akan bertambah baik. Ramai lelaki berasa malu untuk mendapatkan bantuan bagi masalah ereksi mereka.

Mereka mungkin tidak menyedari bahawa masalah ereksi boleh memberi kesan bukan sahaja dalam hubungan mereka dan keadaan emosi pasangan tetapi juga terhadap keseronokan, fungsi dan kepuasan seksual pasangan mereka. Apabila seorang lelaki mengalami ED, dia secara tipikalnya akan kehilangan harga diri dan keyakinan lalu menjadi murung dan mula menyisihkan diri daripada pasangannya. Wanita sering kali menyalahkan diri mereka apabila pasangan lelakinya mengalami masalah seksual. Adakah saya terlalu gemuk atau terlalu tua? Apakah dia tidak lagi menyintai saya? Kedua-dua pihak mengasingkan diri dan hubungan intim di antara kedua mereka mula retak.

Namun begitu, seperkara yang baik adalah, jika lelaki mendapatkan rawatan untuk ED dan rawatan tersebut mengembalikan ereksi yang tegang pada peringkat maksimum - ereksi Gred 4 pada Skala Ketegangan Ereksi, tindak balas seksual pasangan wanitanya akan bertambah baik. Disfungsi seksual akan berakhir dan keseronokan dan kepuasan seksual wanita akan kembali pulih.

Apa yang boleh dilakukan kaum Adam untuk membantu?

Seks adalah satu perkongsian di mana disfungsi di kalangan mana-mana pihak akan mewujudkan tekanan yang besar ke atas hubungan pasangan tersebut. Malah, kajian mendapati bahawa disfungsi seksual lelaki seperti ED atau pancutan air mani terlalu awal turut boleh menyumbang kepada FSD. Wanita yang pasangannya menderita masalah ED didapati mempunyai tahap libido yang rendah, kurang bernafsu, menghadapi kelemahan orgasma dan kepuasan seksual yang berkurangan.

Dalam kajian yang diterbitkan oleh Current Sexual Health Reports, kemungkinan wanita dengan FSD melaporkan kehidupan yang tidak bahagia adalah 2.5 hingga lima kali lebih tinggi dan 41% daripada mereka juga berasa bahawa mereka patut dipersalahkan apabila pasangan mereka mengalami ED. Apa yang menarik, kata Dr. King, apabila lelaki mendapatkan rawatan untuk ED dan pulih sehingga mencapai ketegangan maksimum, tindak balas seksual daripada pasangan wanita juga akan bertambah baik.

Kesimpulannya, seks adalah perekat dan pelincir dalam sesuatu hubungan. Perekat kerana ia dapat membantu merapatkan hubungan pasangan, dan pelincir kerana hubungan seks yang baik dapat membantu pasangan mengatasi masalah lain dalam kehidupan mereka.

Adalah penting bagi pasangan untuk memupuk kemesraan dalam hubungan mereka dengan menjalin ikatan emosi yang intim (berkongsi tanggapan dan perasaan peribadi), menikmati masa yang dihabiskan bersama-masa dan melakukan hubungan seks secara aktif dan teratur. Jadi, jika wujudnya sebarang masalah seksual, ia patut ditangani dengan segera dan pasangan itu wajar mendapatkan khidmat nasihat profesional.

INFO :

Apabila wanita mula meningkat usia, kewujudan FSD juga turut meningkat. Data khusus tentang responden lelaki dan wanita Malaysia yang berusia antara 45 hingga 64 tahun dikutip dalam kajian GBSS. Berikut ialah beberapa penemuan menarik hasil kajian tersebut:

1. 33% daripada wanita yang berusia antara 55 hingga 64 tahun tidak mencapai kepuasan yang sama dengan pasangannya, berbanding hanya 5% daripada wanita yang berusia antara 45 hingga 54 tahun.

2. 10% wanita yang berusia antara 45 hingga 54 tahun tidak berpuas hati dengan tahap cumbuan mereka, namun angka ini berlipat ganda di kalangan wanita yang berusia antara 55 hingga 64 tahun (22%).

3. 33% daripada wanita yang berusia antara 55 hingga 64 tidak berpuas hati dengan keupayaan mereka untuk mencapai klimaks atau orgasma, berbanding 5% daripada wanita yang berusia 45 hingga 54 tahun.

4. 33% daripada wanita yang berusia 55 hingga 64 tahun melaporkan bahawa pasangan mereka tidak dapat menembus masuk ketika melakukan hubungan seks, yang mana ini selanjutnya akan menghubungkaitkan ketidakpuasan dalam pengalaman hubungan seks mereka (33%).

5. 90% daripada wanita yang berusia antara 45 hingga 54 tahun dan 67% daripada wanita yang berusia antara 55 hingga 64 tahun percaya kekerasan ereksi pasangan mereka adalah penting untuk mencapai pengalaman seksual yang baik.

6. 24% daripada wanita yang berusia antara 45 hingga 54 tahun dan 22% daripada wanita yang berusia antara 55 hingga 64 akan meminta pasangan mereka mendapatkan bantuan ubat sekiranya mereka percaya ini akan menjadikan hubungan seks lebih baik.

Glosari

*Libido -Nafsu berahi yang bersifat naluri.

*Ereksi -Keadaan zakar yang membesar dan mengeras apabila bangkitnya nafsu syahwat.

Sumber: Utusan 28/10/2007

HATi-HATi

FSD - Dyfungsi Seks Wanita

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

Keinginan seks wanita tinggi pada awal hubungan dan hilang jika hubungan bermasalah

ISU hubungan seks sangat jarang dibincangkan, apatah lagi jika membabitkan masalah disfungsi seks wanita (FSD). Namun, masalah hubungan seks yang dianggap isu ‘tertutup’ menjadi punca kedua utama perceraian di kalangan penduduk Islam di Malaysia selepas konflik kewangan.

Jika masalah disfungsi seks lelaki (MSD) dikaitkan dengan masalah ketidakupayaan ereksi (disfungsi erektil atau mati pucuk), wanita menghadapi masalah disfungsi seksual membabitkan hampir 70 peratus wanita di Malaysia — dua kali lebih tinggi berbanding wanita di Amerika Syarikat.

Namun, perkara ini jarang dibincangkan secara terbuka kerana dianggap memalukan, walaupun ramai wanita menderita kerananya.

Jika anda antara wanita yang mulai hilang keinginan terhadap seks dan sukar berasa ghairah, jangan risau kerana ramai berkongsi masalah dengan anda.

Sebenarnya lebih ramai wanita berusia 18 hingga 59 tahun mengalami masalah FSD iaitu 43 peratus berbanding hanya 31 peratus di kalangan lelaki.

Menurut Ahli Terapi Seks dan Kaunselor Perhubungan Australia, Dr Rosie King, antara punca utama menyebabkan masalah FDS ialah kekurangan pendidikan seks, harapan tidak realistik (dipengaruhi cerita dalam filem, novel, internet atau majalah), risau mengenai prestasi ketika melakukan seks, masalah kesihatan, hubungan kurang mesra dengan suami dan paling penting, suami ada masalah ED.

“Penurunan keinginan seks adalah normal bagi wanita, terutama selepas lama menjalin hubungan atau perkahwinan. Kajian mendapati keinginan seks wanita paling tinggi pada awal hubungan dan boleh hilang sama sekali jika hubungan atau perkahwinan mereka bermasalah.

“Masalah ini juga disumbangkan oleh suami kerana apabila perkahwinan menjadi stabil, suami kurang berusaha untuk menarik hati isteri — tidak seperti ketika awal hubungan. Keinginan seks wanita sangat berbeza dengan lelaki kerana lelaki boleh dirangsang dengan mudah melalui mata (penglihatan) dan telinga (pendengaran),” katanya ketika membentangkan soal selidik global ke arah seks lebih baik (GBSS) anjuran Pfizer.

Sememangnya isu masalah seks wanita sangat jarang dibincangkan dan mungkin ada yang tidak tahu apa yang dikatakan FSD. Seseorang wanita itu dikategorikan mengalami FSD jika dia:

  • Hilang keinginan seksual.
  • Hubungan seks tidak lagi menyeronokkan.
  • Keghairahan menurun.
  • Kurang pelincir pada vagina.
  • Sakit apabila mengadakan hubungan seks.
  • Sukar mencapai orgasme.

    Kajian GBSS ke atas 12,563 responden (6,285 lelaki dan 6,273 wanita) berumur 25 hingga 74 tahun di 27 negara, termasuk Malaysia, mendapati 50 peratus lelaki dan wanita tidak mendapat kepuasan dalam hubungan seks mereka. Di Malaysia, hanya 35 peratus lelaki dan 49 peratus wanita yang benar-benar berpuas hati dengan hubungan seks mereka.

    Dr King berkata, kadar masalah FSD di kalangan wanita Malaysia lebih tinggi iaitu 70 peratus berbanding wanita Amerika Syarikat. Bahkan peratusan wanita negara ini yang menghadapi pelbagai masalah berkaitan seks seperti kekurangan nafsu, keghairahan dan kenikmatan hubungan intim juga lebih tinggi berbanding wanita Amerika Syarikat (rujuk Jadual 1).

    Bahkan umur suami yang tua (melebihi 42 tahun) juga dikenal pasti menjadi antara faktor risiko penurunan keinginan seksual wanita kerana kebanyakan masalah ED bermula selepas lelaki memasuki usia 40-an.

    Menurutnya, suami boleh membantu meningkatkan keinginan seks isteri. Banyak cara boleh dilakukan kerana secara umumnya wanita memerlukan ‘perangsang’ seperti sentuhan romantik, komunikasi, keintiman dan masa berkualiti bersama pasangan.

    Pada masa sama, wanita perlu berusaha meningkatkan keinginan seksual dengan melakukan ‘perangsang’ seperti disebut di atas, memperbaiki kesihatan keseluruhan (menjaga pemakanan, bersenam dan mendapat cukup tidur serta rehat), kurangkan keresahan serta menanam sikap positif terhadap seks. Selain itu, mereka perlu belajar memperbaiki kualiti hubungan seks, di samping memupuk hubungan lebih mesra dengan suami.

    Kurang keghairahan

    Kekurangan keghairahan di kalangan lelaki hanya disebabkan satu perkara iaitu ED, tetapi bagi wanita ia berpunca daripada pelbagai perkara, termasuk berasa tidak seronok ketika mengadakan hubungan seks, tidak ghairah, kesakitan (akibat vagina kering, terutama di kalangan wanita berumur) dan sukar mencapai orgasme.

    Wanita memerlukan masa untuk ghairah iaitu antara 15 hingga 20 minit atau lebih lama bagi wanita berusia. Beberapa proses perlu dilalui sebelum wanita mencapai keghairahan iaitu rangsangan erotik pada otak, tumpuan fikiran, deria, memberi dan menerima rangsangan, fantasi dan perasaan terhadap pasangan.

    Untuk ghairah, wanita memerlukan persekitaran selesa, gembira, tenang, ‘privacy’ dan masa secukupnya. Ini sebabnya suami perlu faham keperluan wanita supaya sama-sama dapat menikmati hubungan seks berkualiti dan memuaskan.

    “Apabila wanita ghairah, beberapa perubahan biologi berlaku, iaitu faraj memanjang dua kali ganda dan pintu faraj menjadi lebih rapat. Dinding faraj pula menjadi lebih licin yang menandakan wanita bersedia menjalani persetubuhan. Dalam keadaan ini, wanita lebih mudah mencapai orgasme.

    “Kesakitan ketika hubungan seks adalah masalah biasa yang dialami hampir 68 peratus wanita Malaysia. Ia boleh disebabkan kekurangan rangsangan seksual, jangkitan, keradangan atau menopause dan mudah diatasi dengan menggunakan bahan pelincir. Namun, jika masalah ini berlanjutan, wanita disaran mendapatkan nasihat doktor,” katanya.

    Bukan semua wanita mengalami orgasme setiap kali mengadakan hubungan seks. Hanya 30 peratus wanita mencapai orgasme (kemuncak seks) melalui hubungan seks (kemasukan zakar ke dalam faraj) dan 40 peratus wanita mengalami orgasme walaupun tiada kemasukan zakar, manakala 30 peratus lagi tidak pernah merasai orgasme langsung.

    Untuk mencapai kemuncak ini, wanita memerlukan rangsangan berterusan, fokus pada pengalaman erotik dan menegangkan otot.

    “Masalah ED dialami lelaki juga menjadi faktor penting kepada gejala kekurangan keinginan seksual wanita. Kajian mendapati wanita yang mengalami FSD kurang gembira berbanding wanita normal dan 41 peratus menganggap mereka menjadi punca kepada masalah ED suami.

    “Wanita yang mempunyai suami ED juga mengalami masalah lain seperti ketegangan, berasa tidak menarik, bersalah, sunyi, resah dan hilang keinginan melakukan hubungan intim. Wanita yang ada suami ED lebih berisiko mengalami FSD dan ini sebabnya suami perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin. Ia bukan saja demi isteri, bahkan ED juga menjadi petanda penting kepada masalah kesihatan kronik seperti jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

    Pada masa sama, setiap individu perlu memainkan fungsi masing-masing untuk memperbaiki hubungan suami isteri kerana hanya melalui kemesraan hubungan seks dapat dinikmati dengan lebih baik. Seks boleh diumpamakan seperti gam dan pelincir bagi mengeratkan hubungan dua insan dan melancarkan keintiman seksual suami isteri.

  • Ahad, 13 September 2009

    Keburukan Penggunaan MultiVitamin?

    Pil multivitamin bawa keburukan

    Betul ke Statement/artikel dalam ruangan KESIHATAN Akhbar Kosmo ini..... lebih-lebih lagi diletakkan nama besar disitu.... bekas penasihat pemakanan kerajaan Britain?

    Baca n berfikir akan kebenaran dan kepalsuan atau kekeliruan yang ada?


    SEBAHAGIAN besar pengguna sebenarnya tidak memerlukan pil multivitamin.


    PENGAMBILAN pil multivitamin di kalangan jutaan penduduk dunia adalah langkah sia-sia kerana ia sebenarnya mendatangkan lebih banyak keburukan kepada kesihatan.

    Menurut bekas penasihat pemakanan kerajaan Britain, Brian Ratcliffe, sejumlah RM3.6 bilion dihabiskan dalam pengambilan multivitamin setiap tahun yang sebenarnya sihat dan tidak memerlukan pil tersebut.

    Jelasnya lagi, antara keburukan pengambilan pil tersebut seperti minyak ikan sebagai multivitamin ialah ia mampu meningkatkan fenomena tulang rapuh pada masa akan datang kerana pengambilan vitamin A secara berlebihan tanpa disedari.

    Kebanyakan pengguna mengambil pil multivitamin kerana kebimbangan tidak berasas terhadap kesihatan mereka serta dipengaruhi oleh iklan pihak farmasi.


    =====================================================

    Artikel ini tidak habis dalam penyataannya, apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh Brian Ratcliffe ...

    1). Masalah mutivitamin atau masalah minyak ikan yang digunakan sebagai multivitamin?


    Sila layari.. www.mindaperkasa.blogspot.com

    Jumaat, 4 September 2009

    10 tip menjadi pasangan yang baik

    KURANG berkomunikasi, cemburu dan sikap tidak peduli menjadi antara sebab utama pasangan sering bertelingkah dan bermasam muka.

    Sudah tentu kebahagiaan tanpa sebarang pertelingkahan yang serius diidamkan setiap pasangan dan perpisahan adalah sesuatu yang patut dielakkan.

    Kadangkala individu tidak mempedulikan kekurangan diri dan tidak berusaha untuk mengubah diri demi memenuhi kepentingan perhubungan dan percintaan.

    Tidak perlu menyalahkan pasangan jika berlaku sebarang salah faham. Sebaliknya, cuba perbaiki diri agar tidak menyumbang kepada pertelagahan.

    10 tip bagaimana menjadi pasangan yang baik sekali gus memperbaiki hubungan rumah tangga atau percintaan.

    1)Terima seadanya: Jangan cuba untuk mengubah pasangan mengikut kemahuan anda. Ingat, pasangan yang anda kahwini atau cintai itu adalah pilihan anda sendiri. Jangan terlalu dambakan kesempurnaan. Terima segala kekurangan kerana tiada manusia yang sempurna. Cuba fikirkan kebaikan pasangan daripada terus memikirkan kekurangan dan keburukannya.

    2)Berkomunikasi secara terbuka: Jangan selalu membuat andaian mengenai perasaan pasangan anda. Adalah lebih baik mengajak pasangan untuk berbincang secara terbuka mengenai segala hal. Belajar untuk mengekspresi perasaan dengan cara terbaik supaya pasangan memahami anda ketika anda marah, terluka, tersinggung atau gembira. Ucaplah kata sayang sekerap yang mungkin walaupun kadangkala ia dianggap keterlaluan. Tetapi itulah yang mahu didengar oleh pasangan. Sikap mendiamkan diri adalah sesuatu yang patut dielakkan.

    3)Aktiviti bersama: Aktiviti bersama mampu merapatkan perhubungan. Carilah sesuatu yang boleh dilakukan bersama. Misalnya, menonton video di rumah atau menonton wayang seperti waktu bercinta dahulu. Anda perlu berhati-hati jika anda lebih gemar untuk bersama rakan-rakan melebihi pasangan anda. Ini kerana itu adalah petanda yang tidak baik.

    4)Tunjukkan cinta anda: Setelah berumah tangga, ramai yang kurang mengambil perhatian mengenai perihal hati pasangan. Ramai yang berkata 'sudah kahwin untuk apa romantik lagi'. Itu adalah tanggapan yang salah. Rasa cinta dan sayang tidak ada salahnya jika diluahkan dengan sejambak bunga buat isteri atau makan malam romantis untuk suami. Menunjukkan rasa cinta secara berterusan kepada pasangan adalah sesuatu yang mampu mengekalkan perhubungan pada tahap yang selesa.

    5)Kawal perasaan: Apabila marah atau ada hal yang mengganggu anda, cubalah bertenang dan bertanya kepada pasangan. Elakkan tuduhan melulu dan meninggikan suara kerana ia hanya akan membawa kepada pergaduhan. Pasangan akan menghargai jika anda bertenang dalam menghadapi sebarang situasi.

    6Jangan ungkit kisah lalu: Berhentilah mengungkit masa lalu yang negatif. Tidak ada sesiapa mahu mengingati kesilapan yang mungkin merupakan kenangan pahit atau memalukan. Jangan jadikan kesilapan lalu pasangan sebagai senjata setiap kali berlaku pertengkaran.

    7)Kurangkan rasa cemburu: Setiap individu tidak boleh lari daripada pasangan cemburu. Namun, cemburu yang keterlaluan patut dielakkan kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan dan rasa tidak selesa pada diri sendiri. Hubungan cinta harus dibina atas dasar percaya kepada pasangan.

    8)Jaga komitmen antara satu sama lain: Elakkan membuat janji yang tidak mampu dipenuhi. Jika berlaku, ia akan menyebabkan pasangan kurang menghormati kita. Menjaga kepercayaan merupakan komitmen dalam satu perhubungan yang sihat. Apabila pasangan merasakan anda mula mengabaikan komitmen, maka bersiap sedialah untuk kehilangannya.

    9)Jujur: Jujur adalah perkara yang paling penting dalam perhubungan. Jangan sesekali menipu pasangan kerana ia adalah antara punca utama sebuah perpisahan. Kejujuran yang dimaksudkan adalah kejujuran untuk mengungkap perasaan kita terhadap pasangan. Jika terluka, katakan bahawa anda terluka. Katakanlah dengan tenang tanpa perlu meninggikan suara.

    10)Beri layanan terbaik sepanjang hidup: Layanlah pasangan anda seperti sebelum berkahwin. Jika dahulu jalan berpimpinan tangan, pimpinlah tangan pasangan setelah berkahwin. Ramai pasangan cenderung untuk mengabaikan keakraban perhubungan selepas berkahwin kerana lebih tertumpu kepada keperluan keluarga atau anak-anak.