Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Jumaat, 22 November 2013

SOKONGAN SUSU IBU SEPENUHNYA DIPERLUKAN!


BAYI yang diberikan susu ibu biasanya mempunyai antibodi yang kuat dan membesar secara sihat.



SEJAK melahirkan cahaya mata sulung pada 26 Ogos lalu, Mastura Abu Samah mengakui seronok melalui fasa baharu kehidupan bergelar ibu.

Sebagai wanita, Mastura, 29, berkata, hidupnya kini terasa lengkap dengan kehadiran permata hati yang diberi nama Putra Aidiltullah itu.

Apatah lagi sewaktu kali pertama berpeluang menyusukan bayinya, hati Mastura terasa damai melihat keasyikan si anak melakukan ‘kerjanya’.

“Alhamdulillah, sukar untuk saya mengungkap perasaan yang terbit dalam diri ketika menyusukan Putra. Rasa seperti ingin menangis pun ada.

“Walaupun pada mulanya, saya sedikit gementar dan takut kerana pengalaman membaca kisah-kisah kelahiran pertama termasuk kesakitan sewaktu menyusukan bayi bermain di fikiran. Tetapi, berkat sokongan suami dan para jururawat di hospital ini, saya berjaya melakukannya dengan baik,” ujar Mastura yang memilih untuk melahirkan bayi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehingga kini, Mastura masih lagi menyusukan bayinya secara eksklusif dan berharap dapat melakukan rutin tersebut sehingga dua tahun.

Dalam pada itu, Muhammad Rohaimi Mohd, Tasrif, 27, sebagai suami sudah tentu bersyukur kerana dikurniakan zuriat sebagai pengikat kasih sayang bersama isterinya.

TUNJUK ajar daripada jururawat di hospital membantu para ibu muda mengetahui teknik penyusuan bayi yang betul.


Sokongan

Justeru, sebolehnya dia mahu anaknya mendapat zat terbaik daripada pemberian susu ibu yang diketahui besar manfaatnya.

“Sebelum ini, saya ada mengikuti kelas antenatal yang menekankan tentang kepentingan susu ibu terhadap bayi yang baru lahir. Jadi, saya perlu menyokong penuh perkara ini, terutamanya dalam memberi semangat kepada isteri untuk berbuat demikian.

“Sokongan ini penting bagi menunjukkan keprihatinan saya terhadap isteri yang telah bersusah-payah mengandung dan melahirkan anak kami ke dunia,” ungkap Muhammad Rohaimi ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Berdasarkan panduan yang digariskan Perikatan Antarabangsa Untuk Tindakan Penyusuan (WABA), terdapat lima cabang yang membentuk kumpulan sokongan susu ibu.

Ia terdiri daripada keluarga dan rangkaian sosial, sistem penjagaan kesihatan, suasana kerja dan persekitaran, kerajaan dan penggubalan undang-undang serta respons terhadap krisis atau kecemasan.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) HKL, Dr. Noor Haliza Yussoff, 52, berkata, menyentuh soal sokongan, setiap ibu yang melahirkan bayi perlu diberi pendedahan dan didikan mengenai kepentingan susu ibu dari peringkat antenatal lagi.

Ujarnya, mereka biasanya akan diberikan maklumat untuk melakukannya dan dibantu jika ada sebarang masalah oleh jururawat terlatih.

“Namun, apabila pulang ke rumah, ketika itulah masalah akan berlaku yang melibatkan campur tangan keluarga seperti ibu atau ibu mertua, terutamanya dalam aspek membabitkan penyusuan bayi.
“Bila anak menangis kerana lapar, biasanya mereka akan menyuruh si ibu memberi susu botol kepada bayi,” ujar beliau sambil memaklumkan antara kebaikan terbesar susu ibu ialah melindungi bayi daripada jangkitan bakteria dan virus.

PEMILIHAN baju yang mesra bayi juga membolehkan penyusuan susu ibu dilakukan pada bila-bila masa tanpa sebarang rasa malu.


Dari segi zat, susu yang diberi secara terus atau diperah masih sama. Cuma bezanya, ikatan kasih sayang antara ibu dan anak sewaktu menyusu membuatkan mereka menjadi lebih rapat.
Terang Noor Haliza, susu ibu menyediakan khasiat yang diperlukan oleh bayi.

“ Susu ibu hidup dan tidak mati. Ia akan menyesuaikan diri dengan kandungan yang diperlukan bayi dari hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun.

“Berbanding susu formula, zatnya statik. Apa yang diletak itulah kandungan yang ada di dalamnya sampai bila-bila,” katanya.

Noor Haliza berkata, golongan ibu muda pada hari ini semakin menyedari keperluan menyusukan anak secara eksklusif.

Bagaimanapun, beliau mahu menyampaikan mesej bukan sahaja kepada si ibu dan suami malah kaum keluarga serta rakan-rakan supaya apabila kembali ke pangkuan masyarakat, mereka memperoleh sokongan penuh bagi penyusuan susu ibu.

Menurutnya, trend ibu-ibu mengandung sekarang menyaksikan mereka datang ke kelas antenatal bersama ibu sendiri atau ibu mertua. Situasi sedemikian amat dialu-alukan kerana secara tidak langsung mereka akan mendapat pengetahuan tentang kepentingan susu ibu.

RAMAI wanita berkerjaya semakin menyedari kepentingan susu ibu kepada si anak dan sanggup memerahnya ketika berada di pejabat. - Gambar hiasan


Susu formula

Tambah beliau, susu formula mula berkembang pada awal 70-an. Sebelum itu, semua ibu menyusukan bayi mereka dengan susu badan.

“Bagaimanapun, iklan yang ditayangkan di media massa secara meluas seolah-olah menampakkan susu formula itu susu yang terbaik. Lama-kelamaan masyarakat seumpama ‘diprogram’.
“Maka, berlakulah persepsi yang menyebabkan mereka ingin memberi susu formula pada anak masing-masing. Ini kerana pada anggapan mereka, sesiapa yang memberi susu ibu dilihat seperti orang miskin,” ungkapnya.

Menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil inisiatif menggubal satu akta yang menghalang pengiklanan untuk susu formula bayi berusia dua tahun ke bawah. Kod tata etika dalam penggubalan undang-undang ini telah dimulakan pada tahun 1990-an.

“Sehingga sekarang hanya susu formula untuk anak-anak yang berusia dua tahun ke atas yang dibenarkan bagi tujuan pengiklanan.

“Selain itu, di bawah kod tata etika ini juga, setiap kotak atau tin susu harus ditulis bahawa susu ibu adalah susu terbaik. Kod ini akan dikaji semula setiap dua tahun untuk ditambah baik,” jelas Noor Haliza.
Sepanjang 25 tahun dalam bidang O&G, ibu kepada tiga cahaya mata ini turut berkongsi pengalaman yang dilihat dalam aspek perbezaan penyusuan susu ibu.

“Dahulu, jarang kita lihat ibu-ibu menyusukan bayi mereka ketika berada di wad. Rata-rata akan memberi susu botol pada anak yang baharu dilahirkan. Lantaran itu, pergerakan untuk memastikan penyusuan ibu berlaku secara meluas pada tahun 1991.

“Ketika itu, penggunaan botol susu dilarang sama sekali di semua hospital kerajaan. Alhamdulillah, setakat ini usaha kita telah menunjukkan hasilnya. Tidak ketinggalan, semakin banyak hospital swasta turut menyokong perkara ini,” kata beliau yang mengakui daripada tiga orang anaknya, hanya yang bongsu berpeluang menyusu secara eksklusif dengannya selama dua tahun.

Semua itu disebabkan mentaliti beliau dan faktor persekitaran yang kurang menyokong perkara tersebut. Meskipun sedikit ralat, namun Noor Haliza tetap bersyukur kerana akhirnya perjuangan untuk memartabatkan pemberian susu ibu mencapai kejayaan