Bahaya uri bawah rahim
Dr., apakah yang dimaksudkan dengan uri? Adakah berbahaya jika uri
berada di bawah? Saya selalu mendengar rakan-rakan berbual tentang
perkara ini. Saya baru mengandung dua bulan dan amat takut dengan
perkara ini.
n Puteri R, Subang.
Jawapan:
Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan
bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada
bayinya. Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di
bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi
sepatutnya keluar dari rahim.
Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim, menutup
ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan
memberikan komplikasi semasa proses bersalin.
Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan kerana 20
peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila
kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke
atas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih
berada pada bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah,
keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP).
Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak
banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula
bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan
laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja. Tahap keseriusan
dibahagikan kepada empat jenis iaitu uri berada di kedudukan bawah tanpa
menutup pintu rahim, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim,
uri menutupi sebahagian pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu
rahim.
Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi
kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh
menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya
memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia
kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi.
Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj,
cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak
mengalami PP.
Risiko
Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun
terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang
mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang
melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di
bawah umur 20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.
Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami kedudukan bayi
tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan kepala
bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang
kehamilan.
Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang
mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri.
Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat
kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim.
Pembedahan caesarean adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika
keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan caesarean
terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup
bulan.
Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh timbul
pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang
banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian
pada bayi dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.
Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh mengancam
nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas
bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat
pada rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta
accreta. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding
rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim.
Jika ini berlaku, rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu.
Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang tidak
mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus
sahaja.
Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim
umpamanya caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.
Selamat
Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan
kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean.
Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung
kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan
pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan
pediatrik.
Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada
pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada
minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia
kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah
mempertimbangkan faktor-faktor di atas.
Saya harap Puteri R sudah jelas dengan penjelasan yang diberikan dan
jangan mendengar bualan rakan-rakan sahaja. Anda perlu mendapatkan
nasihat doktor dan semoga penjelasan yang diberikan akan menghilangkan
kegusaran tersebut.