Gila meroyan selepas bersalin
Doktor., saya sering mendengar kisah atau kes kemurungan selepas
bersalin atau meroyan dalam kalangan ibu muda. Adakah masalah ini satu
penyakit atau masalah rumit? Benarkah ia boleh menjejaskan kesejahteraan
ibu dan anak? Boleh tak doktor berikan panduan mengatasi masalah ini?
Jika saya ingin berpantang kelak, adakah saya perlu mengikut petua orang
lama untuk mengelak daripada meroyan?
Terima kasih
Zy, Kedah.
Sama-sama.
Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan
masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak. Meroyan
atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah
perubahan emosi selepas bersalin. Walaupun ia lebih sinonim diperkatakan
oleh masyarakat Melayu dan lebih banyak dilihat dihidapi oleh wanita
biasa, namun ia juga sebenarnya turut menimpa wanita profesional.
Gila meroyan
Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius.
Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu
atau selepas berpantang. Pada tahap ini, seseorang wanita yang
mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan
dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.
Pendapat terkini mengatakan penyakit gila meroyan postpartum
pyschosis juga seperti penyakit psikosis yang dialami oleh pesakit jiwa
lain. Mujurlah keadaan ini hanya dialami oleh segelintir sahaja wanita
selepas bersalin.
Sebenarnya tiada kaitan yang kukuh antara cara berpantang mengikut
orang tua dan risiko untuk mendapat meroyan. Mungkin elok untuk saya
kongsi pengalaman daripada kajian kami 10 tahun lepas di Kelantan
terhadap wanita yang hamil dan dalam masa berpantang.
Daripada kajian kami ada sedikit sebanyak kesan positif bagi ibu-ibu
muda yang mengamalkan urutan selepas bersalin dan bertungku semasa dalam
pantang kerana ia dapat mengurangkan risiko kemurungan. Kajian tersebut
turut mendapati ibu muda berpeluang berbual-bual sambil meluahkan
perasaan semasa menjalani prosedur tersebut yang pada kebiasaannya
berlangsung selama dua jam sehari dalam jangka masa dua minggu pertama
selepas bersalin. Perbualan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan
stres yang dialami oleh ibu muda tersebut.
Gangguan perasaan
Gangguan perasaan selepas bersalin sebenarnya dialami oleh ramai
wanita iaitu sehingga 85 peratus sewaktu tempoh berpantang. Namun,
kebanyakannya hanya mengalami pada tahap yang ringan dan tidak
membahayakan. Malah ia berlaku sekejap sahaja, biasanya tidak memerlukan
rawatan perubatan. Bagaimanapun, dalam segelintir 10 peratus wanita,
gangguan perasaan berlaku lebih mendalam dan berpanjangan.
Dalam bidang perubatan, gangguan perasaan selepas bersalin dikelaskan
kepada tiga peringkat mengikut tahap keterukannya iaitu postpartum
blues, postpartum depression dan postpartum psychosis (gila meroyan).
Postpartum blues adalah masalah perubahan emosi yang normal dan tidak
serius. Ia kerap berlaku kepada wanita selepas bersalin. Perubahan emosi
ini memuncak pada hari ketiga hingga kelima selepas bersalin. Ia akan
berkurangan selepas lebih kurang 10 hari bersalin dan akhirnya emosi
mereka kembali kepada sediakala. Ia boleh berlaku selepas kelahiran
pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza. Ibu-ibu
yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan.
Kemurungan
Gejala kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression pula
adalah gangguan psikologi yang perlu mendapat rawatan pakar. Ia lebih
teruk dan mendatangkan kesan buruk kepada ibu dan bayi yang baru
dilahirkan. Ia boleh berlaku satu dalam setiap lapan (1:8) ibu yang
melahirkan anak atau 10 peratus hingga 20 peratus daripada ibu yang
mengandung. Ia lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga selepas
setahun kelahiran anak. Malah ia boleh juga berlaku selepas keguguran
atau kematian bayi dalam kandungan. Ibu-ibu yang menghidap kemurungan
selepas bersalin mengalami perubahan emosi yang lebih teruk dan lebih
lama berbanding perubahan emosi pada postpartum blues.
Psikosis
Psikosis selepas bersalin atau postpartum psychosis juga di panggil
gila meroyan merupakan peringkat paling teruk yang jarang berlaku
selepas bersalin. Ia berbeza daripada masalah psikosis yang biasa
berlaku kepada masyarakat umum kerana kaitannya dengan proses bersalin,
manifestasi yang lebih mirip masalah emosi dan prognosisnya adalah lebih
baik.
Dalam kalangan 1,000 ibu yang melahirkan anak, satu hingga dua orang
(1- 2: 1000) boleh diserang psikosis selepas bersalin. Ia biasanya
bermula tiga hingga lima hari selepas bersalin dan dua pertiga daripada
pesakit mendapat psikosis dalam dua minggu pertama selepas kelahiran.
Gejala psikosis selepas bersalin boleh berlaku sehingga satu atau dua
tahun selepas bersalin. Ia bermula dengan gangguan emosi seperti
perasaan resah dan tidak tenang. Mereka tidak dapat cukup tidur walaupun
bayi tidur lena. Mereka sering merasa keletihan. Kemudiannya, ibu yang
menghidap psikosis selepas bersalin ini akan mengalami emosi yang tidak
stabil dan berubah-ubah. Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang
melampau dan sering menangis. Psikosis berlaku apabila mereka mula
mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan
mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras. Separuh
daripada mereka mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi.
Ada kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayinya cacat walaupun
sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang
dilahirkan membawa sial dan sebagainya. Satu perempat daripada mereka
(25 peratus) mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara
ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh
bayi dan sebagainya.
Terdapat ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin tidak mahu
menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba
membunuh bayi infanticide mereka sendiri. Kadar bunuh diri dalam
kalangan ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin juga adalah
tinggi.
Panduan
Bagi mengurangkan masalah tersebut, pelajarilah tanggungjawab
sebagai ibubapa daripada kawan-kawan, keluarga atau bahan-bahan bacaan
sebelum mengandung.
Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami, ahli keluarga yang
lain untuk memberi sokongan emosi jika merasa tertekan. Dapatkan
pembantu rumah atau ahli keluarga yang lain untuk menguruskan
kerja-kerja seharian dan membantu penjagaan bayi dan anak anda yang lain
semasa tempoh berpantang kerana anda masih lemah.
Rehat yang cukup juga adalah penting. Ambil udara segar di luar dan
jangan hanya berada di rumah walaupun anda berpantang. Beri masa untuk
diri anda sendiri. Pengambilan diet dan pemakanan yang berkhasiat juga
penting dititikberatkan untuk kembali cergas.