Endometriosis sekat renangan sperma
SETIAP kali helaian kalendar di atas mejanya bertukar, Atikah Aswad, 30, diburu perasaan bimbang, lebih-lebih lagi apabila tarikh semakin menginjak ke tengah bulan.
Ketika itu, biasanya Atikah akan kedatangan haid. Apa yang cuba dielakkan oleh eksekutif di sebuah syarikat swasta ini ialah sakit senggugut yang ditanggungnya.
“Sejak awal tahun 2010, senggugut menjadi semakin teruk sehingga saya terpaksa mengambil cuti sakit tiga atau empat hari dalam sebulan.
“Saya hanya mampu baring dan mengiring sambil mengerekotkan badan apabila rasa kejang itu menyerang,” akuinya.
Sperma
Pada mulanya Atikah menganggap senggugut itu berpunca daripada tekanan kerja namun selepas beberapa bulan, dia nekad untuk berjumpa doktor.
“Disebabkan saya tidak mengalami gangguan kitaran haid, cuma diserang kejang perut yang teruk ketika datang bulan, doktor mengesahkan saya sihat. Malah, ujian darah dan imbasan ultrabunyi di bahagian pelvis mendapati saya normal.
“Namun, selepas keadaan berlarutan, saya berjumpa dengan pakar perbidanan dan sakit puan pula.
“Apa yang mengejutkan, pada bulan November lalu, selepas dua tiga kali menjalani pemeriksaan, rundingan dan rawatan, doktor berpendapat saya mungkin mempunyai sista endometriosis di bahagian kanan ovari.
“Doktor mencadangkan agar sista itu dibuang namun saya takut tidak mampu hamil selepas pembedahan di bahagian ovari dilakukan,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga selama tiga tahun namun belum dikurniakan cahaya mata.
Selepas mendapatkan pandangan daripada pakar perbidanan dan sakit puan yang lain, Januari lalu, Atikah menjalani pembedahan laparoskopi dan sista sebesar tujuh sentimeter berjaya dibuang dari ovari kanannya.
“Sekarang saya tidak lagi dihantui rasa sakit dan ngilu semasa haid ataupun bersama suami,” ujarnya yang kini dalam proses menopaus sementara.
Merungkai kewujudan sista endometriosis dalam kalangan wanita, Perunding Perbidanan dan Sakit Puan dari Damai Service Hospital, Dr. Mahes Sittampalam memberitahu, semua wanita yang sedang dalam fasa subur berisiko mendapat sista endometriosis.
“Sista endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang menyerupai selaput rahim tumbuh di luar rahim seperti di ovari, tiub fallopian, usus, pundi kencing dan pelvis.
“Ia sepatutnya gugur dan menjadi darah semasa datang haid, tetapi sisa-sisa darah yang tidak gugur dan melekat di kawasan lain ini bertukar menjadi sista.
“Keadaan ini menjadikan pesakit berasa tidak selesa dan sakit di kawasan bawah perut dan belakang setiap kali datang haid ataupun ketika mengadakan hubungan suami isteri,” jelasnya.
Menurut Mahes lagi, tidak hanya mendatangkan rasa tidak selesa, endometriosis juga merupakan punca utama ketidaksuburan wanita.
“Sista yang terdiri daripada gumpalan darah lama itu biasanya melekat di kawasan tiub fallopian dan ovari.
“Jika keadaan ini berlaku, ia akan menghalang laluan sperma untuk sampai ke telur.
“Jika berlarutan, sista boleh membesar dan pesakit sukar untuk hamil,” katanya.
Mempunyai ciri-ciri seperti barah iaitu boleh membesar dan merebak, bagaimanapun, pesakit tidak perlu risau kerana sista tidak boleh bertukar menjadi kanser.
“Pesakit kebiasaannya mengalami senggugut teruk, pendarahan yang banyak, sakit semasa buang air besar atau kecil, cirit-birit atau sembelit.
Hamil
“Senggugut yang teruk dikaitkan dengan sista yang membengkak disebabkan rangsangan estrogen yang dirembeskan semasa haid.
“Tompokan sista yang pecah pula akan memburukkan keadaan kerana perut akan mengalami kekejangan berganda,” katanya.
Boleh dikesan melalui gejala-gejala yang dihadapi pesakit, tompokan darah lama ini diakui sukar untuk dikesan menggunakan ujian ultrabunyi atau ujian imbasan.
“Kaedah terbaik untuk memastikan pesakit itu mendapat endometriosis adalah melalui ujian laparoskopi di mana kita akan memasukkan tuib berkamera di sekitar kawasan peranakan.
“Pembedahan hanya dilakukan jika ukuran sista sudah melebihi lima sentimeter dan wanita tersebut ingin mengandung.
“Jika sista yang ditemui kecil, ia boleh dikawal dengan mengambil suntikan Danazol, Lucrin Depot ataupun Depo-provera. Pil perancang juga boleh digunakan dalam sesetengah kes,” ujar Mahes.
Kehadiran sista bagaimanapun tidak akan mengganggu tumbesaran janin sekiranya pesakit hamil.
“Endometriosis melekat di luar kawasan rahim. Jadi, janin tidak ada masalah untuk membesar.
“Namun, jika sista terus membesar dan memberi simptom kesakitan mengejut kepada si ibu sepanjang tempoh kehamilan, pembedahan untuk membuang sista perlu dilakukan.
“Jika tidak, kita hanya memeriksa tumbesaran sista tersebut. Malah, kalau pesakit hamil, ia adalah petanda bagus kerana mengandung adalah rawatan semula jadi untuk sista ini.
“Apabila wanita hamil, rangsangan estrogen yang hadir setiap kali datang haid akan terhenti untuk tempoh 10 bulan atau lebih.
“Keadaan ini menyebabkan sista mengecut dan hilang secara semula jadi,” katanya yang pernah merawat pesakit yang mempunyai sista sebesar 20 sentimeter.