PANDANGAN DARIPADA PENULIS AKHBAR METRO
ANTARA pilihan sama ada tadika yang dikendalikan kerajaan mahupun swasta, ibu bapa berkemampuan dikatakan lebih cenderung untuk menyediakan pendidikan prasekolah di tadika swasta atas pelbagai alasan khususnya dari segi kualiti pendidikan dan faktor ekonomi sesebuah keluarga.
Namun tidak kurang yang tetap memilih tadika kendalian kerajaan yang nyata jauh lebih murah meskipun sesetengahnya mungkin tidak setanding dengan kemudahan disediakan tadika swasta.
Ikuti temu bual wartawan Fairul Asmaini Mohd Pilus mengenai pilihan ibu bapa kini apabila memperkatakan pendidikan prasekolah untuk si kecil mereka.
ADA ibu bapa menganggap kelas prasekolah adalah tempat untuk anak berseronok dan mempelajari sesuatu yang baru, manakala sesetengahnya pula berharap ia dapat memberikan satu permulaan yang baik kepada dunia akademik anak mereka
|
Bagi kanak-kanak di usia tiga hingga enam tahun, pendidikan prasekolah perlu menjadi satu perkara penting kerana di situ mereka mempelajari sesuatu termasuk meneroka dunia baru melalui pembelajaran di peringkat awal yang memberi kesan positif terhadap perkembangan minda.
|
Pemilihan tadika atau pusat pembelajaran awal yang bagus bukan saja dari segi reputasi, tetapi perlu mengambil kira bagaimana sekolah berkenaan mampu memberi pembelajaran berguna kepada anak masing-masing.
Tidak sukar sebenarnya bagi ibu bapa memilih pusat bimbingan kanak-kanak atau tadika kerana di setiap kawasan perumahan ada banyak tadika atau kelas prasekolah yang menawarkan pelbagai konsep pendidikan bagi memenuhi keperluan pembelajaran semasa.
Biarpun yuran yang dikenakan bukanlah sedikit, tetapi demi keutamaan kualiti, ibu bapa hari ini dikatakan lebih cenderung memilih untuk menghantar anak kecil mereka ke pusat pembelajaran kanak-kanak swasta.
Bukan mahu menidakkan kualiti tadika kerajaan, tetapi kebanyakan ibu bapa yang ditemui menganggap pusat pembelajaran swasta sebagai satu pilihan tepat kerana selain berada berhampiran dengan tempat tinggal, ia juga dianggap pelaburan yang boleh dilihat hasilnya dalam jangka panjang.
Begitupun, bukan senang untuk mencari pusat pembelajaran terbaik untuk anak kerana kewujudan sekolah tadika hari ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan yang sedikit sebanyak memeningkan kepala untuk memilihnya.
Bagi usahawan, Hasni Hassan, 32, demi masa depan anak mereka, dia dan suaminya, Zulkifli Abu Talib, 35, sanggup berkorban wang ringgit memilih tadika swasta kerana berpuas hati dengan kualiti pembelajaran yang diterima.
Katanya, prestasi anak sulung, Muhammad Iman Hafiz, 8, yang mengikuti tadika berkenaan sungguh memuaskan selain mampu menguasai pembacaan, pengiraan dan penulisan dengan baik.
Lebih membanggakan, biarpun hanya setahun mengikuti pembelajaran di tadika itu, Muhammad Iman Hafiz mampu berkomunikasi dengan lancar dalam bahasa Inggeris dan boleh membantu adiknya ketika mengulang kaji di rumah.
"Pencapaiannya sungguh memuaskan dan prestasi berkenaan berlanjutan sehingga dia memasuki sekolah rendah. Sebagai ibu bapa, tiada apa yang paling menggembirakan kami selain memastikan anak mampu mengikuti pelajaran dengan lancar dan sempurna," katanya.
Sekadar untuk berkongsi pengalaman, Hasni berkata, sebelum ini dia pernah menghantar anak keduanya, Muhammad Amirul Adam, 7, ke tadika kerajaan selama setahun, tetapi entah di mana silapnya, anaknya itu masih tidak dapat membaca dengan lancar meskipun dia kini sudah memasuki tahun satu.
Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menghantar anak keduanya itu mengikuti kelas tuisyen di tadika swasta seperti abang sulungnya bagi membantu dalam pelajarannya.
Katanya, masalah Adam adalah tidak mampu membaca dan menulis dengan baik meskipun dapat mengenali huruf yang diberikan. Ia mungkin berpunca daripada sikapnya sendiri yang kurang memberi tumpuan.
"Selain itu, kami mendapati corak tulisan Adam tidak sama seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya kerana dia menulis dan membaca dengan kaedah terbalik. Selepas mengikuti tuisyen tambahan barulah dia menunjukkan sedikit peningkatan," katanya.
Pasangan Nor Hasliza Sulaiman, 32, serta suami, Azhar Mat Saini, 36, turut berkongsi pengalaman menghantar dua anaknya, Muhammad Daniel, 5, dan Nur Dayana Anis ke sebuah tadika kerajaan di Port Dickson untuk sesi pembelajaran 2009 lalu.
Menurut pasangan ini, biarpun mengikuti pengajian selama setahun, tetapi anak sulungnya itu masih gagal menguasai asas ejaan dengan baik dan kelemahan itu jelas ketara apabila diminta melakukan latihan di rumah.
"Anak sulung saya masih tidak mampu mengeja dengan baik biarpun sudah setahun belajar di tadika itu. Namun saya dan suami tidak sesekali menyalahkan guru atau silibus di tadika berkenaan kerana mungkin kelemahan itu berpunca daripada sikap anak kami sendiri yang belajar dengan sambil lewa.
"Bagaimanapun, oleh kerana dia sudah ketinggalan, saya bercadang untuk menghantarnya mengikut pengajian prasekolah pada sebelah pagi dan petangnya mengikuti pembelajaran bersama adiknya di tadika berbayar," kata Nor Hasliza yang bertugas sebagai guru.
Pensyarah Mazlina Mohd Salleh, 35, berkata dia mempercayai kualiti yang disediakan tadika kerajaan dan berpendapat ia masih lagi relevan untuk pembelajaran awal kanak-kanak di negara ini.
Katanya, dua anaknya Muhammad Daniel Mahadi , 8, dan Mas Dania Lissa, 7, mengikuti pembelajaran di sebuah tadika Kemas di Johor dan kurang setahun mengikuti pembelajaran, mereka menunjukkan peningkatan yang ketara dalam membaca dan mengeja.
"Sebelum dihantar ke tadika, kami sekeluarga terlebih dulu mengajar mereka untuk mengenal huruf dan suku kata penting. Ia amat membantu kerana sekurang-kurangnya mereka sudah mengetahui sedikit asas sebelum mempelajari sesuatu yang baru di tadika.
"Alhamdulillah, biarpun hanya setahun mengikuti tadika, prestasi pelajaran mereka memberangsangkan dan sudah mampu membaca dengan baik tanpa memerlukan bantuan," katanya.
Mazlina berkata, tadika kerajaan sememangnya mempunyai kaedah pengajaran yang sistematik, tetapi dia berpendapat, silibus yang ada pada hari ini masih ada ruang untuk diperbaiki bagi memastikan ia setanding dengan apa yang disediakan tadika swasta.
Ujarnya, silibus seperti pembelajaran Bahasa Inggeris, kemahiran teknologi maklumat serta pelbagai kemahiran lain juga perlu diterapkan kerana ia adalah keperluan utama kehidupan pada hari ini.
"Bagi saya, bijak atau tidak seseorang kanak-kanak itu sebenarnya bukan berpunca daripada sekolah yang dihantar, tetapi ia banyak bergantung kepada inisiatif diri kanak-kanak itu sendiri serta cara didikan ibu bapa ketika membesarkannya.
"Begitupun, saya bersetuju bahawa sistem pembelajaran tadika swasta lebih bersifat terbuka dan memenuhi keperluan semasa, sesuai dengan bayaran yang dikenakan kepada ibu bapa.
"Namun, persaingan sihat yang diberikan tadika swasta boleh dijadikan sebagai satu cabaran kepada kerajaan untuk mengenal pasti kekurangan tadika Kemas dan pada masa sama, menambah peruntukan yang diperlukan," katanya.