Saturday, 9 May 2009
ANAK ANDA MEMANG PSIKIK
KETAHUILAH BAHAWA ANAK ANDA PSIKIK
“Uncle ada kolesterol tinggi…..” dan seterusnya Nur Fitrah menerangkan maksud warna-warna medan tenaga yang telah dilukis untuk salah seorang peserta lelaki saya. Sebelum itu Nur Fitrah juga telah melukis gambar Ibu Dani dengan tiga lapis warna-warna medan tenaga dan butir-butir maksudnya sekali. Waktu itu umur Nur Fitrah baru lapan tahun. Nur Fitrah adalah anak saya yang kecil sekali, berumur 11 tahun. Walaupun saya sudah lama berkecimpung dalam mempelajari dan berkongsi ilmu tentang minda, tidak terfikir bahwa anak saya sendiri akan memberi saya fahaman yang lebih dalam tentang maksud psikik. Kerana itu kadang kala saya menjadi murid dan Nur Fitrah menjadi guru. Sejak Nur Fitrah menunjukkan bakatnya boleh melukis aura dan menganalisa maksud warna aura tersebut, kawan-kawan saya, yang juga peserta kursus saya, suka berkawan dengan Fitrah (panggilan yang biasa untuk Nur Fitrah) dan memintanya supaya melihat bukan sahaja medan tenaga , tetapi juga tentang perkara-perkara peribadi.
BAYI LAHIR PSIKIK
Lahirnya seorang bayi kedunia, bukanlah ia tanpa sebarang bekalan. Bayi dilahirkan sempurna. Lahirnya bayi adalah penuh dengan ilmu, kemahiran, keupayaan, kekuatan, daya usaha, daya fikir yang tidak kelihatan pada mata kasar kerana dihadkan oleh tubuh fizikal yang masih kecil dan belum berupaya.
Ahli sains Barat telah mengeluarkan satu pernyataan bahawa seorang bayi yang dilahirkan dengan pengetahuan yang sempurna. Namun mereka akan kehilangan pengetahuan tersebut sedikit demi sedikit apabila semakin membesar. Didalam Islam anak adalah amanah yang Allah berikan kepada sepasang suami isteri untuk dibesarkan mengikut lunaas-lunas Islam. Sesuatu yang diamanahkan mestilah sesuatu yang dikira cukup sifat dan harus dijaga supaya ia tidak menjadi sedikit atau mengurang.
ADAKAH ANAK-ANAK TAHU MEREKA PSIKIK?
Anak-anak kecil tidak mengetahui bahawa mereka adalah psikik. Tanpa menyedari mereka memberi petanda yang menunjukkan mereka adalah psikik. Petanda yang dikeluarkan mungkin dilihat seperti perkara biasa atau tiada mempunyai maksud oleh orang dewasa. Bagi anak-anak itu pula walau pun memberi petanda yang menunjukkan sifat psikiknya, mereka mungkin tidak tahu bahawa orang dewasa tidak serupa mereka. Walau bagaimana pun, bagi seorang kanak-kanak psikik yang telah mengetahui bahawa ianya adalah psikik, dia akan dapat melihat potensi psikik kanak-kanak lain juga.
PSIKIK SIFAT MINDA LUAR SEDAR
Cuba bayangkan semula perilaku anak kita semasa kecil. Ada anak yang suka bercakap sendiri ketika bermain. Jangan kita fikirkan bahawa anak itu cacat pemikiran. Sebenarnya anak itu sedang menggunakan sumber ilmu yang datangnya dari dalam, iaitu dari minda luar sedar. Anak –anak pada peringkat sebelum akil baligh adalah yang paling kerap menggunakan minda luar sedar. seorang bayi ketika lahirnya dikuasai oleh minda luar sedarnya. Minda sedarnya belum aktif lagi selain dari mendapat pancaran cahaya melalui mata, mendengar bunyi suara ibu bapa melalui telinga dan merasakan sentuhan lembut ibu serta merasa sedapnya susu ibu di lidah beserta dengan baunya.
Manusia dilahirkan siap dengan bekalan dan bekalan tersebut tersimpan di dalam minda luar sedar dalam bentuk yang belum boleh dipegang atau dilihat. Bekalan tersebut menjadi nyata apabila minda sedar berjaya menyatukan fakta fizikal yang datangnya dari luar dengan bekalan yang berada di dalam minda luar sedar, ia kemudian menjadi ilmu pengetahuan. Bekalan yang telah Allah persiapkan untuk seseorang manusia itu tidak terkata nilai dan ketinggiannya.
Sungguh bayi itu tidak boleh berkata-kata seperti ibunya, namun minda luar sedarnya sedang berada pada potensi yang paling tinggi. Contohnya, bayi boleh melihat makhluk halus seperti jin dan lain-lain. Bayi dan kanak-kanak yang masih di sekolah rendah boleh melihat lapisan-lapisan medan tenaga di keliling tubuh seseorang. Lapisan medan tenaga ini mempunyai warna-warna yang berbeza dan mempunya maksud yang berbeza. Bayi dan anak-anak juga mempunyai kebolehan psikik yang lebih tinggi berbanding dengan seseorang yang telah dewasa. Sifat-sifat psikik termasuklah membaca fikiran orang lain, boleh meneka benda tersembunyi, mengetahui terlebih dahulu perkara yang akan berlaku, dan sebagainya.
Terima kasih di atas komen-komen baru yang diberi. Tahun ini Fitrah di Tahun 6 dan sedang membuat persiapan untuk UPSR disamping setiap bulan menghadiri kelas The Child Psychic Channel. Oleh kerana banyak permintaan untuk Fitrah teruskan blog ini, buat sementara waktu saya paparkan dahulu tulisan saya untuk kolum ANAK & PSIKIK dalam Majalah Pa & Ma berdasarkan ilmu yang ada pada Nur Fitrah juga.
Salam.
Mama Fitrah
09/05/09