Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Selasa, 13 Januari 2009

Bila Anak Mula Cintakan Ilmu........

Buku 'teman setia' Azzah

Kanak-kanak berusia sembilan tahun ini mampu menghabiskan sebuah buku cerita setebal 40 muka surat dalam masa satu atau dua hari. Tahun lalu dia meminjam 203 buah buku dari perpustakaan.


KIRI: BUKU bergambar menjadi pencetus minat Azzah terhadap hobi membaca.


BENARLAH kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itulah yang ditunjukkan oleh seorang kanak-kanak, Nur Azzah Abdul Ghani, 9.

Ketika ramai kanak-kanak seusianya asyik bermain di padang permainan bagi menghabiskan masa lapang, dia yang mesra dipanggil Azzah menjadikan timbunan buku-buku cerita yang dipinjam di perpustakaan sebagai teman setia.

"Selalunya, saya menghabiskan masa lapang dengan membaca buku cerita yang dipinjam dari perpustakaan. Saya juga membaca sebelum masuk tidur," ujarnya yang petah berkata-kata.

Ketika menjengah ke bilik tidur anak pasangan Saidatul Naziha Saidin, 35, dan Abdul Ghani Mohamad, 44, penulis mendapati biliknya umpama perpustakaan mini. Bilik itu dipenuhi dengan rak-rak berisi pelbagai jenis buku.

Malah, sebuah lagi bilik di rumah yang terletak di Taman Jambu, Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu turut dijadikan ruang bacaan keluarga dan tempat Azzah mengulang kaji pelajarannya.

Justeru, tidak hairanlah pada usia muda, Azzah diiktiraf oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) sebagai pembaca terbanyak bagi kategori kanak-kanak untuk tahun 2008.

Menurut murid Sekolah Kebangsaan Machang Bubuk itu, minat terhadap buku berputik sejak dia berusia empat tahun.

Katanya, minat itu semakin bercambah apabila dia memasuki prasekolah dan setelah mahir membaca.

"Mama dan ayah kerap beli bahan bacaan di rumah. Tetapi ketika itu, Azzah sekadar membelek-beleknya sahaja kerana suka melihat gambar-gambar cantik dan warna-warni.

"Malah, buku cerita yang dibaca abang banyak lakaran lukisan dan mungkin itu menyebabkan Azzah teringin untuk mengetahui apa sebenarnya yang terkandung dalam sesebuah buku.

"Bagaimanapun, banyak buku cerita dipinjam di perpustakaan. Selain berjimat kerana tidak perlu berbelanja, Azzah boleh dapat berbagai-bagai jenis buku untuk dibaca termasuk buku berbahasa Inggeris," katanya.

Azzah mampu menghabiskan sebuah buku cerita setebal 40 muka surat dalam masa sehari atau dua hari. Buku itu kemudian dipulangkannya semula ke perpustakaan dan menukarnya dengan buku lain.

Menurut kanak-kanak itu lagi, dia sanggup berbasikal seorang diri ke Perpustakaan Komuniti Siber Ilmu yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya semata-mana mahu mendapatkan bahan bacaan baru.

"Azzah memang minat baca buku, tapi tak sangka pula minat ini diiktiraf oleh perpustakaan negeri," katanya yang menerima pengiktirafan tersebut setelah meminjam 203 naskhah buku dan majalah sepanjang tahun lalu.

Malah, jumlah pinjamannya juga jauh lebih tinggi berbanding penerima anugerah yang sama bagi kategori warga tua dan dewasa iaitu Tan Ewe Tat, 56, dan Mahani Sharif Hussin yang masing-masing meminjam 113 dan 165 buah buku untuk tempoh yang sama.

Tidak pernah membayangkan dirinya untuk bergelar ulat buku, Azzah mengakui minat untuk membaca kini bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi untuk menagih pengetahuan dan maklumat.




Meminati buku cerita bahasa Melayu, Azzah menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor setelah dewasa kelak.

Anak kedua dari tiga beradik itu mula menunjukkan minat membaca ketika berusia empat tahun.


SEBAIK sahaja tahu membaca pada usia lima tahun, Azzah terus aktif membaca sehingga mendapat pengiktirafan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.


Namun ketika berada di kelas tadika semasa berusia lima tahun, minatnya semakin ketara apabila mula pandai membaca. Hasilnya, Azzah lebih lancar membaca berbanding kanak-kanak lain seusianya.

Menurut Saidatul Naziha, anaknya mula rajin ke perpustakaan untuk meminjam buku cerita ketika berusia tujuh tahun.

"Saya dan suami tidak pernah menyekat minatnya, malah kami sering bawa dia ke pameran buku dan membelikan bahan bacaan yang baru untuknya.

"Saya juga tidak pernah menetapkan waktu baginya untuk membaca buku di rumah kerana bagi saya, ia satu tabiat yang harus diberi galakan dan bukan dihalang," jelasnya.

Walaupun dia amat berbangga dengan sikap 'ulat buku' yang ditunjukkan puteri tunggalnya itu, tetapi Saidatul Naziha sedikit terkilan kerana minat itu tidak ditiru oleh anak sulungnya, Muhamad Hafiz, 12, dan anak bongsunya, Muhamad Mustaffa, 6.

Namun ibu kepada tiga anak ini tetap berbangga apabila pada usia Azzah yang baru setahun jagung, dia sudah mendapat pengiktirafan yang mungkin jarang diperoleh oleh kanak-kanak seusianya.

"Kini, saya dan suami pun terikut-ikut dengan sikap 'ulat buku' yang ditunjukkannya apabila mula menjadikan membaca sebagai hobi mengisi masa senggang di rumah, selain mesti bawa bahan bacaan semasa perjalanan jauh," ujarnya.