Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Isnin, 22 Oktober 2012

Hebatnya habbatus sauda....

Khasiat makanan sunah Rasulullah



SEJAK tahun 1998, Abdul Malek Faisal Mohd. Hyffny tidak pernah cuai dalam jadual pengambilan kapsul habbatus sauda atau jintan hitam sebagai makanan tambahan setiap pagi dan malam. Jarang sekali beliau terlupa untuk memakannya.

Bekerja sebagai pengamal media membuatkan rutin hidupnya sentiasa berdepan dengan tekanan. Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Malek diserang hipertensi.

Justeru, Abdul Malek berikhtiar merawat kesihatan dirinya. Selain mendapatkan rawatan di hospital, beliau turut menggunakan kaedah alternatif bagi mengawal penyakit yang dihidapnya.

Dalam tempoh dua minggu mengamalkan pengambilan habbatus sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa, Abdul Malek menyedari perubahan positif pada kesihatan dirinya.

“Saya mengambil dua biji kapsul habbatus sauda pada waktu pagi dan dua biji pada waktu petang.
“Apa yang menggembirakan, saya dapat menghidupkan salah satu daripada sunah Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan,” ujar Abdul Malek, 46, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, beliau membuat keputusan meletak jawatan kerana mahu menimba ilmu di Syria. Berada di negara Asia Barat itu selama tiga tahun membuka peluang kepada Abdul Malek untuk mengenali tumbuhan habbatus sauda. 

Di Syria, beliau mengunjungi sebuah ladang hijau yang subur dengan tumbuhan hababtus sauda di Hama.
Hama merupakan sebuah bandar di tebing Sungai Orontes yang terletak di bahagian tengah Syria atau 213 kilometer ke utara Damsyik.

Memiliki populasi kira-kira 700,000 orang, Hama merupakan bandar keempat terbesar di negara itu selepas Aleppo, Damsyik dan Homs.

Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang berbunga secara tahunan. Asalnya ia tumbuh meliar di negara-negara sekitar Mediterranean. 

Kemudian ia ditanam secara meluas di utara Afrika terutama Mesir, selatan Eropah, Syria dan Asia Tengah seperti Iran dan India.

Ketinggian khasiat tumbuhan itu diperakui oleh ramai cendekiawan silam, ratusan saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia.

Ibnu Sina dalam bukunya The Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda mampu merangsang tenaga serta membantu memulihkan kepenatan dan semangat.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Carolina Selatan di Amerika Syarikat pula mendapati, ekstrak habbatus sauda memiliki khasiat antitumor tanpa kesan sampingan.

Makam Firaun
Mengikut catatan sejarah, habbatus sauda pada awalnya ditemui di dalam makam Firaun Tutankhamen. Penemuan tersebut memberi gambaran bahawa tumbuhan itu amat penting dalam kehidupan orang Mesir purba.

Walaupun kegunaan sebenarnya tidak diketahui secara tepat, ia dipercayai mampu memberi manfaat kepada raja mereka selepas mati.

Bagaimanapun, hakikatnya kegunaan habbatus sauda dalam perubatan tercetus selepas kedatangan Islam.
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kekallah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati.”

Prof. Dr. Latiffah A. Latiff dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia menjelaskan, tumbuhan Nigella sativa adalah salah satu anugerah Allah yang amat bernilai buat manusia.
EKSTRAK minyak habbatus sauda dalam bentuk gel lembut.


Justeru, sebagai saintis dan pakar perubatan kesihatan awam, beliau bertanggungjawab untuk menghuraikan hakikat tersebut dengan fakta sains bagi membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad.

“Habbatus sauda memang menakjubkan kerana setiap butir bijirin ini terdiri daripada berjuta-juta sel yang menyerupai sel darah manusia,” ujar beliau yang menjalankan penyelidikan tentang habbatus sauda selama sedekad. 

Latiffah mengakui semakin banyak kajian dilakukan, semakin banyak pendedahan baharu ditemui.

“Apa yang pasti terdapat lebih 100 bahan aktif yang terkandung dalam bijirin hitam dengan timokuinon mendominasi antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhannya.

“Hasil beberapa kajian yang kami jalankan membuktikan bahawa bahan timokuinon yang diekstrak daripada habbatus sauda berupaya menurunkan paras kolesterol, glukos dalam darah dan berat badan sekali gus mengurangkan risiko penyakit sindrom metabolik dan penyakit jantung,” jelas beliau.
Lewatkan penuaan

Ujar Latiffah, kajian pada haiwan makmal yang diaruh penyakit Alzheimer atau nyanyuk dan diberi makan bahan aktif timokuinon daripada minyak habbatus sauda turut mempunyai kesan tersendiri.
“Penyelidikan itu merumuskan bahawa habbatus sauda telah menurunkan paras beta amiloid iaitu sejenis protein yang terdapat pada otak haiwan nyanyuk berbanding haiwan kawalan yang tidak menerima suplemen habbatus sauda.

“Kajian pada tisu kultur dan sel kultur pula menunjukkan bahan aktif asid linoleinik daripada ekstrak minyak habbatus sauda mampu mengurangkan pertumbuhan sel kanser payu dara secara signifikan.

DR. LATIFFAH banyak menjalankan penyelidikan tentang keberkesanan khasiat habbatus sauda sejak lebih sedekad lalu.


“Di samping itu, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan berupaya melambatkan proses penuaan,” terang Latiffah yang turut mengkaji keberkesanan habbatus sauda terhadap wanita menopaus dalam aspek peningkatan kualiti kehidupan seperti kecergasan mental, spiritual dan hubungan kelamin.

Tambah beliau, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan dalam tempoh dua minggu mampu melancarkan sistem penghadaman, melawaskan pembuangan najis terutamanya bagi mereka yang mengalami sembelit, meningkatkan tenaga dan kadar kecekapan seseorang.

“Buat masa ini, saya masih mengkaji tentang persediaan habbatus sauda yang terbaik untuk diambil iaitu sama ada dalam bentuk asli, minyak atau dicampur dengan bahan lain.

“Namun, secara saintifik sukar untuk dipastikan keberkesanan makanan yang bercampur. Misalnya, mengambil habbatus sauda dengan madu. 

“Kita tidak tahu yang mana satu antara kedua-duanya yang menjadi penyembuh dan memberi kesan positif kepada sesuatu keadaan,” jelas beliau.


Selasa, 9 Oktober 2012

Bahaya gula berlebihan

Bahaya gula berlebihan

BUKAN senang untuk menerima hakikat jika ibu atau bapa anda didiagnos menghidapi diabetes. Perkara pertama yang pasti diminta oleh doktor ialah menjauhi gula. Ia tidak senang dilakukan kerana mereka telah biasa dengan gula sepanjang hayat. Lagipun, rasa gula mencetuskan sejenis hormon dalam otak yang membuatkan kita berasa senang. Inilah yang menyebabkan mengapa ramai orang mendapati sangat susah hendak meninggalkan gula.

Bagi penghidap diabetes, gula akan meningkatkan paras gula darah yang seterusnya akan meningkatkan risiko komplikasi yang melibatkan saraf, mata, buah pinggang dan jantung. 

Kini, Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association (AHA)) telah meletakkan gula tambahan dalam senarai penyebab yang boleh menjejaskan jantung selain daripada pengambilan terlalu banyak garam, lemak, kolesterol dalam diet. Menurut AHA, pengambilan gula yang tinggi dikaitkan dengan kesihatan yang tidak baik, termasuk kegemukan (obesiti), diabetes, tekanan darah tinggi, radang, paras trigliserida tinggi, semuanya ini merupakan faktor risiko penyakit jantung dan strok.

Apakah itu gula?

Gula pasir putih, juga dikenali sebagai sukrosa adalah bentuk gula paling biasa, tetapi bukan satu-satunya jenis gula. Bentuk-bentuk lain termasuk gula perang, fruktosa, maltosa, gula melaka, glukosa, madu dan sirap mapel. 

Adakah kita mengambil terlampau banyak gula?

Rakyat Malaysia pada amnya mengambil lebih kurang sebanyak 19 sudu teh (76 gram) gula tambahan setiap hari. Ini bermakna kira-kira 300 kalori daripada jumlah kalori harian anda datangnya daripada gula. Pakar kesihatan menganggap ini adalah jauh melebihi had. Kita sepatutnya mengambil gula tidak lebih daripada enam sudu teh (100 kalori) bagi wanita dan sembilan sudu teh (150 kalori) bagi orang lelaki( yang disyorkan oleh Persatuan Jantung Amerika).

Tahukah anda bahawa minuman 3-dalam-1 sarat dengan gula. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula. Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan oleh AHA. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.
Pemanis tiruan

Seperti yang anda ketahui, pemanis tiruan dikatakan'bebas gula' dan boleh menjadi satu pilihan baik untuk menggantikan gula. Persoalannya, adakah ia benar dan selamat? Munkin anda boleh melayari laman web untuk mengetahui lebih lanjut tentang 'aspartame; sucralose; side effects; dangers.'

Mungkin anda pernah terbaca bahawa makanan dan minuman, minuman berkarbonat, yogurt, makanan yang dimasak dengan ketuhar, malah minuman segera tiga dalam satu mengandungi pemanis tiruan. Sebelum membeli, periksa label makanan untuk mengesan sebarang pemanis tiruan yang tersembunyi.

Pemanis semula jadi - ekstrak stevia

Ia dikenali sebagai 'daun manis' atau stevia rebaudiana. Stevia 300 kali lebih manis daripada gula tetapi tidak mengandungi sebarang kalori. Ekstrak ini diperbuat daripada bahagian yang paling manis dalam daun stevia.

Di samping rasanya yang sedap, ekstrak stevia adalah selamat dan tiada kesan sampingan. Ekstrak stevia tidak mengandungi kalori dan tidak menaikkan paras gula darah. Oleh itu, ia adalah pilihan bijak bagi penghidap pra-diabetes, diabetes dan mereka yang mengambil berat tentang kesihatan.
Sebagai pemanis semula jadi, rasa stevia tidak seperti gula tetapi ia tetap menjadi pengganti gula yang terbaik.
 

Khamis, 4 Oktober 2012

KENALI PERWATAKAN SUAMI ANDA!

Mengenali suami sendiri

KERANA cinta anda telah berumahtangga dengan seseorang yang pada awalnya anda merasakan dialah yang paling sesuai menjadi pasangan dalam hidup.

Sedangkan sebenarnya, hanya selepas beberapa lama tempoh perkahwinan, barulah anda mengenali siapakah suami anda sebenarnya. 

Artikel ini ditulis bukan untuk membuat anda rasa resah dan gelisah. 

Ia sekadar memberi panduan kepada anda sebagai seorang isteri untuk mengenali siapakah suami anda sebenarnya dan mengapa anda perlu berusaha untuk mengubah sikap atau mendorongnya menjadi insan yang lebih baik. 

Apa-apa pun, yang penting perlunya anda mengetahui sikap sebenar suami anda terlebih dahulu.

Sukar dipercayai
Suami anda sering bercakap tidak benar dan selalu menyembunyikan personaliti yang sebenarnya ketika keluar berjanji temu dengan anda. Selalunya perangai ini hanya dapat dikesan selepas beberapa bulan berkahwin. Jika perkara ini berlaku terhadap anda ternyata anda perlu lebih berhati-hati dan selalu bertanyakan kepada rakan-rakannya mengenai apa yang dilakukannya di belakang anda. Tetapi sekiranya rakan suami pun bersubahat dengan suami anda... usahalah cara lain.

Suka bertindak ikut rasa
Dia akan menghubungi anda sesuka hatinya bertanyakan sesuatu dan dilihat suka membuli anda dan tidak suka kata-katanya dibangkang. Suami seperti ini mungkin agak panas baran orangnya, anda sebagai isteri pasti tahu bagaimana untuk memujuk, mungkin dengan cara kelembutan yang anda miliki.

Teragak-agak membuat keputusan
Dia mengajak anda keluar kemudian selang beberapa jam kemudian dia bertukar fikiran pula. Jika anda berkahwin dengannya , pastikan keputusannya benar-benar 'sahih' sebelum melakukan apa-apa aktiviti. Sekiranya berlaku juga lagi... sabar sajalah.

Suka menonjol
Adalah benar pada masa sekarang sebahagian golongan lelaki suka menonjolkan diri dan menjadi insan yang berjaya. Selalunya lelaki seperti ini menawan, kacak dan senang dengan wanita. Namun lelaki seperti ini sebenarnya mudah dan mungkin akan jatuh cinta lagi dengan wanita lain kecuali anda pandai mengendalikan dirinya.

Mendominasi (menguasai)
Dia selalu menguasai segala tindakan dan minda anda sehingga baju anda pun dia yang memilihnya. Anda bakal merasakan hanya sekadar boneka. Lelaki ini juga mudah menggunakan penderaan mental dan fizikal ke atas isterinya.

Tidak mempunyai perasaan
Lelaki jenis ini akan 'mencuri' anda daripada keluarga dengan memisahkan anda daripada rakan-rakan sehingga mengganggu kehidupan biasa anda kerana dia tidak suka melihat anda bergaul dengan orang lain.

Tidak yakin pada diri sendiri
Seorang lelaki yang berharap segalanya pada anda dan segalanya tentang anda. Mula-mula anda akan rasa seronok tetapi lama-kelamaan semuanya menyakitkan hati.

Terlalu mengharapkan kesempurnaan
Dia cuba mengawal kesemua perkara yang anda lakukan dengan tepat untuk mendapatkan kesempurnaan sebagaimana yang dihajatinya. Kemudian, apabila ada masalah mendatang, anda pula dipersalahkan.

Manipulasi
Dia hanya mahu mengawal segalanya termasuk hobi anda sampailah ke perbualan dan segala tindakan yang dilakukan untuk faedah dirinya sahaja sehinggakan semua idea yang dikeluarkan, anda harus mempercayainya biarpun anda sangsi mengenainya.

Misteri
Ini bergantung kepada usia dan kematangan. Sekiranya sampai ke tua pun hidup anda masih ditakuk itu, bermaksud lelaki ini tiada objektif yang jelas dalam dirinya dan menganggap kehidupannya adalah mudah termasuk dalam soal kewangan.

Isnin, 1 Oktober 2012

CARA DIDIK ANAK PEREMPUAN!


Didiklah anak-anak perempuan kita untuk menjadi:

1. Dai’eyah (داعية)
Berusaha untuk menghidupkan usaha dakwah Nabi saw, dengan tujuan untuk memperbaiki diri kepada iman yang sahih, dan amal yang mengikut sunnah Rasulullah saw. Dan dalam masa yg sama, menggalakkan suami & mahramnya utk memperbaiki diri mereka juga dgn membuat pengorbanan diri, harta dan masanya, untuk berjumpa dgn umat di serata alam.

2. A’limah (عالمة)
Fasih dalam ilmu pengetahuan agama, mengetahui selok belok ilmu masaiel (hukum ahkam agama) dan fadhaiel (kelebihan amalan agama), dan berusaha untuk menghidupkan majlis taa’lim di dalam rumahtangganya dan untuk wanita & anak-anak di kawasan kejiranannya.

3. A’bidah (عابدة)
Melapangkan masa hariannya, untuk beribadah kepada Allah dengan mengamalkan zikir-zikir, doa-doa, dan memperbanyakkan bacaan Al Quran. Dan yang paling penting, dia menjaga solatnya supaya ditunaikan di awal waktu, memperbanyakkan solat sunat (terutama tahajud) dan menggalakkan mahramnya untuk solat berjemaah di masjid.

4. Khodimah (خادمة)
Mahir dan suka berkhidmat untuk suami, anak-anak, ibubapa, keluarga dan masyarakat. Pandai memasak, menjahit, mengemas rumah, mengurus anak-anak dll. Sifat ini akan mendekatkan seseorang dengan Allah serta menjadikan anak kita lebih tawaddhu’ dan taat.

5. Murobbiyah (مربية)
Menjadi pendidik buat anak-anaknya, kerana sekolah yang pertama buat anak-anak ialah ibunya. Mendidik anak-anak nya dengan cara sunnah, dan menjadikan Rasulullah saw & sahabat-sahabat r.ahum sebagai idola kejayaan mereka. Kerana matlamat kejayaan yg dikehendaki olehnya adalah matlamat kejayaan di sisi Allah iaitu, taat perintah Allah mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw
InsyaAllah, semoga Allah swt kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkannya dan menyampaikan pada orang lain. Aamin.
Rujukan : http://anakkusoleh.com

4 TAHAP DIDIK ANAK SECARA ISLAMI

  • TAHAP PERTAMA - Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (~6 tahun). Hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.
  • TAHAP KEDUA - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh (~14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, displin dan beri tanggungjawab.
  • TAHAP KETIGA - Anak berusia 15 tahun hingga dewasa (~21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • TAHAP KEEMPAT - Anak berusia lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Jumaat, 28 September 2012

Sakit sendi - Artritis, osteoporosis dan osteoarthritis

Sakit sendi jejas kualiti hidup

Rawan yang meliputi penghujung tulang atau sendi menjadi haus dan ia boleh menyebabkan kesakitan sendi dan bengkak
 
LAZIMNYA penyakit yang berkaitan dengan sendi dan tulang ini adalah osteoarthritis (OA), artritis dan osteoporosis.

Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan radang, artritis haus dan lusuh manakala osteoporosis pula berkaitan dengan kekuatan dan kepadatan tulang.
Begitupun, artritis dan osteoporosis lebih kerap didengari dan kesedaran mengenainya juga lebih tinggi berbanding osteoarthritis.
Secara umumnya osteoarthritis berlaku akibat rawan yang meliputi penghujung tulang atau sendi menjadi haus dan ia boleh menyebabkan kesakitan sendi, bengkak dan kecacatan. 

Menurut Pakar Perunding Rheumatologist, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Amir Azlan Zain, osteoarthritis adalah penyakit yang melibatkan kualiti hidup seseorang. 

Ini kerana apabila seseorang itu disahkan menghidap osteoarthritis, mereka mungkin akan mengalami masalah seperti tidak boleh berjalan, bengkak di bahagian lutut, tidak boleh membengkokkan kaki serta mengalami kesakitan yang berlarutan.

Tambah Dr. Amir, osteoarthritis yang lazimnya akan menyerang pada bahagian lutut juga boleh merebak ke bahagian-bahagian lain seperti bahu, jari tangan, jari kaki serta pinggang.

Katanya lagi, sehingga kini masih belum ada rawatan yang betul-betul dapat menyembuhkan osteoarthritis. 

“Walaupun penyakit ini tidak boleh diubati, tetapi kesakitan dapat dikurangkan dengan pelbagai cara seperti senaman, fisioterapi, pengambilan ubat tahan sakit dan juga suplemen seperti glukosamina.

“Begitupun apa yang boleh dicadangkan kepada pesakit ialah melakukan senaman secara berterusan yang bertujuan menguatkan otot-otot di sekitar sendi yang terlibat.

“Pada masa yang sama senaman yang dilakukan ini juga dapat menolong melonggarkan sendi-sendi yang kaku akibat osteoarthritis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, selain senaman, pesakit-pesakit juga perlu mengambil berat tentang pemakanan mereka.
Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan obesiti dan pengurangan berat badan dapat membantu mengurangkan tanda-tanda penyakit tersebut. 

Secara tidak langsung, ia dapat melambatkan proses kemerosotan sendi akibat daripada impak berat badan yang berlebihan.

Sementara itu, menurut Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Arthroplasty, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Lee Chong Meng, sekiranya keadaan menjadi lebih teruk di mana kualiti hidup terjejas teruk, pembedahan adalah perlu untuk meningkatkan kembali kualiti hidup pesakit.

Bagaimanapun katanya, pembedahan adalah pilihan terakhir dan ia bergantung kepada keperluan individu dan tahap penyakit osteoarthritis yang dihidapi. 

“Melalui pembedahan, sekurang-kurangnya pesakit osteoarthritis akan mendapat kembali kehidupan asal mereka walaupun ia tidak 100 peratus. Di samping itu mereka juga akan mendapati sakit sendi telah berkurangan.

“Bagaimanapun pembedahan ini biasanya dilakukan untuk sendi-sendi yang besar seperti lutut, pinggul dan juga bahu.

“Lazimnya pembedahan ini dilakukan di mana sendi-sendi yang rosak ditukar dengan sendi-sendi tiruan," katanya.

Untuk itu, orang ramai disarankan agar mengubah gaya hidup mereka seperti mengurangkan berat badan, amalkan gaya pemakanan yang sihat serta bersenam kerana ia dapat menolong menangani gejala-gejala osteoarthritis.

Pada masa yang sama, pesakit-pesakit turut disarankan menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa mengenai osteoarthritis. 

Bagaimanapun mereka digalakkan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan awal di samping mendapat nasihat serta rawatan yang perlu dalam usaha mengurangkan sakit tersebut.

Jumaat, 21 September 2012

BAHAYA BUASIR DAN CARA PENCEGAHAN

SEORANG wanita yang baru saja melahirkan anak menderita penyakit buasir sejak hamil dan semakin parah apabila melahirkan anak secara normal. Wanita berkenaan menderita buasir kerana kandungannya yang besar menekan usus dan menyebabkan sembelit.
Selepas bersalin, buasirnya semakin parah. Doktor menasihatkannya merendam buasir tadi di dalam air garam suam selama 10 hingga 15 minit untuk mengecutkannya.
Pakar Runding Pembedahan Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Jonah Azariah berkata, pesakitnya kini telah sihat dan tidak perlu menjalani pembedahan.
"Bagaimanapun jika buasir tidak kecut, pembedahan dengan bius separuh badan dilakukan.
"Biasanya pembedahan menggunakan laser bagi mengurangkan kesakitan dan darah," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Dr. Jonah menambah terdapat juga pakar perubatan menggunakan dawai kokot atau stapler atau getah untuk mengikat buasir bagi menghalang perjalanan darah.
Teknik ini akan menyebabkan buasir tertanggal dengan sendiri dalam masa dua hingga empat minggu.
"Penyakit buasir atau hemoroid adalah penyakit yang terjadi di bahagian dubur. Ia berlaku apabila saluran darah mengembang dan bengkak di sekitar dubur (rektum dan anus)," katanya.
Menurutnya lagi, buasir boleh menyerang sesiapa saja, tidak kira usia dan jantina.
"Biasanya tanda awal berlaku sewaktu meneran terutama apabila sembelit membuang air besar sehingga menyebabkan sel bengkak melapisi saluran dubur," katanya.
Sembelit jelas Dr. Jonah boleh berlaku akibat jangkitan kuman dalam usus termasuk gastrik, mereka yang mengalami sembelit sejak kecil, diet kurang fiber, kanser usus dan penyakit luar biasa usus besar.
"Biasanya pesakit buasir yang berusia lebih 40 tahun perlu menjalani pemeriksaan usus besar untuk mengetahui keadaan di dalamnya.
Tisu elastik"Pesakit muda pula biasanya mengalami ketumbuhan atau kanser dan seelok-eloknya usus besar diperiksa menggunakan skop," katanya.
Kebarangkalian mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun lebih terdedah kepada buasir tetapi terdapat juga kes bayi menderita buasir kerana kelainan pada usus.
Dr. Jonah berkata, terdapat juga buasir yang bukan disebabkan oleh masalah usus tetapi saluran darah di hujung usus besar tersumbat.
"Biasanya apabila sembelit, pesakit perlu meneran setiap kali membuang air besar menyebabkan darah sukar kembali ke jantung.
"Salur darah akan tersumbat dan bengkak menyebabkan tisu elastik darah longgar, nipis atau hilang hingga menyebabkan buasir yang parah," katanya.
Dr. Jonah berkata, terdapat empat peringkat buasir. Bagi peringkat pertama dan kedua pesakit boleh dirawat tanpa pembedahan.
"Pesakit perlu mengambil ubat pada dos yang betul untuk mengecutkan buasir, menghentikan pendarahan dan melawaskan buang air besar," katanya.
Pada peringkat tiga, biasanya 10 peratus pendarahan akibat buasir tidak boleh dihentikan dengan ubat. Biasanya buasir akan diikat dengan gelang getah untuk menyekat saluran darah dan buasir akan tanggal dalam masa dua minggu.
Pada peringkat empat apabila keadaan semakin parah dengan pendarahan dan nanah tetapi tisu elastik masih ada, pembedahan tidak perlu dijalankan.
"Bagaimanapun apabila keadaan semakin teruk kerana tisu elastik sudah hilang, pembedahan perlu dijalankan," katanya.
Dr. Jonah berkata, pesakit buasir perlu mengubah gaya hidup untuk sentiasa sihat.
"Pesakit perlu jaga pemakanan dengan kurangkan makanan di luar, lebihkan fiber, banyak minum air suam dan senaman.
"Seelok-eloknya hentikan merokok, minum arak dan kurangkan pedas dan gunakan tandas duduk," katanya.
Jika masalah buasir berulang, Dr. Jonah menasihatkan pesakit terus berjumpa doktor untuk rawatan susulan.