Bahaya gula berlebihan
BUKAN senang untuk menerima hakikat jika ibu atau
bapa anda didiagnos menghidapi diabetes. Perkara pertama yang pasti
diminta oleh doktor ialah menjauhi gula. Ia tidak senang dilakukan
kerana mereka telah biasa dengan gula sepanjang hayat. Lagipun, rasa
gula mencetuskan sejenis hormon dalam otak yang membuatkan kita berasa
senang. Inilah yang menyebabkan mengapa ramai orang mendapati sangat
susah hendak meninggalkan gula.
Bagi penghidap diabetes, gula akan meningkatkan paras gula darah yang
seterusnya akan meningkatkan risiko komplikasi yang melibatkan saraf,
mata, buah pinggang dan jantung.
Kini, Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association (AHA))
telah meletakkan gula tambahan dalam senarai penyebab yang boleh
menjejaskan jantung selain daripada pengambilan terlalu banyak garam,
lemak, kolesterol dalam diet. Menurut AHA, pengambilan gula yang tinggi
dikaitkan dengan kesihatan yang tidak baik, termasuk kegemukan
(obesiti), diabetes, tekanan darah tinggi, radang, paras trigliserida
tinggi, semuanya ini merupakan faktor risiko penyakit jantung dan strok.
Apakah itu gula?
Gula pasir putih, juga dikenali sebagai sukrosa adalah bentuk gula
paling biasa, tetapi bukan satu-satunya jenis gula. Bentuk-bentuk lain
termasuk gula perang, fruktosa, maltosa, gula melaka, glukosa, madu dan
sirap mapel.
Adakah kita mengambil terlampau banyak gula?
Rakyat Malaysia pada amnya mengambil lebih kurang sebanyak 19 sudu
teh (76 gram) gula tambahan setiap hari. Ini bermakna kira-kira 300
kalori daripada jumlah kalori harian anda datangnya daripada gula. Pakar
kesihatan menganggap ini adalah jauh melebihi had. Kita sepatutnya
mengambil gula tidak lebih daripada enam sudu teh (100 kalori) bagi
wanita dan sembilan sudu teh (150 kalori) bagi orang lelaki( yang
disyorkan oleh Persatuan Jantung Amerika).
Tahukah anda bahawa minuman 3-dalam-1 sarat dengan gula. Satu cawan
minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat
sudu teh gula. Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan
minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan
oleh AHA. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang
terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.
Pemanis tiruan
Seperti yang anda ketahui, pemanis tiruan dikatakan'bebas gula' dan
boleh menjadi satu pilihan baik untuk menggantikan gula. Persoalannya,
adakah ia benar dan selamat? Munkin anda boleh melayari laman web untuk
mengetahui lebih lanjut tentang 'aspartame; sucralose; side effects;
dangers.'
Mungkin anda pernah terbaca bahawa makanan dan minuman, minuman
berkarbonat, yogurt, makanan yang dimasak dengan ketuhar, malah minuman
segera tiga dalam satu mengandungi pemanis tiruan. Sebelum membeli,
periksa label makanan untuk mengesan sebarang pemanis tiruan yang
tersembunyi.
Pemanis semula jadi - ekstrak stevia
Ia dikenali sebagai 'daun manis' atau stevia rebaudiana. Stevia 300
kali lebih manis daripada gula tetapi tidak mengandungi sebarang
kalori. Ekstrak ini diperbuat daripada bahagian yang paling manis dalam
daun stevia.
Di samping rasanya yang sedap, ekstrak stevia adalah selamat dan tiada kesan sampingan. Ekstrak stevia
tidak mengandungi kalori dan tidak menaikkan paras gula darah. Oleh
itu, ia adalah pilihan bijak bagi penghidap pra-diabetes, diabetes dan
mereka yang mengambil berat tentang kesihatan.
Sebagai pemanis semula jadi, rasa stevia tidak seperti gula tetapi ia tetap menjadi pengganti gula yang terbaik.