Sakit sendi jejas kualiti hidup
LAZIMNYA penyakit yang berkaitan dengan sendi dan tulang ini adalah osteoarthritis (OA), artritis dan osteoporosis.
Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan radang, artritis haus dan
lusuh manakala osteoporosis pula berkaitan dengan kekuatan dan
kepadatan tulang.
Begitupun, artritis dan osteoporosis lebih kerap didengari dan
kesedaran mengenainya juga lebih tinggi berbanding osteoarthritis.
Secara umumnya osteoarthritis berlaku akibat rawan yang meliputi
penghujung tulang atau sendi menjadi haus dan ia boleh menyebabkan
kesakitan sendi, bengkak dan kecacatan.
Menurut Pakar Perunding Rheumatologist, Pusat Perubatan Sunway, Dr.
Amir Azlan Zain, osteoarthritis adalah penyakit yang melibatkan kualiti
hidup seseorang.
Ini kerana apabila seseorang itu disahkan menghidap osteoarthritis,
mereka mungkin akan mengalami masalah seperti tidak boleh berjalan,
bengkak di bahagian lutut, tidak boleh membengkokkan kaki serta
mengalami kesakitan yang berlarutan.
Tambah Dr. Amir, osteoarthritis yang lazimnya akan menyerang pada
bahagian lutut juga boleh merebak ke bahagian-bahagian lain seperti
bahu, jari tangan, jari kaki serta pinggang.
Katanya lagi, sehingga kini masih belum ada rawatan yang betul-betul dapat menyembuhkan osteoarthritis.
Walaupun penyakit ini tidak boleh diubati, tetapi kesakitan dapat
dikurangkan dengan pelbagai cara seperti senaman, fisioterapi,
pengambilan ubat tahan sakit dan juga suplemen seperti glukosamina.
Begitupun apa yang boleh dicadangkan kepada pesakit ialah melakukan
senaman secara berterusan yang bertujuan menguatkan otot-otot di sekitar
sendi yang terlibat.
Pada masa yang sama senaman yang dilakukan ini juga dapat menolong
melonggarkan sendi-sendi yang kaku akibat osteoarthritis," katanya
ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah beliau, selain senaman, pesakit-pesakit juga perlu mengambil berat tentang pemakanan mereka.
Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan obesiti dan pengurangan
berat badan dapat membantu mengurangkan tanda-tanda penyakit tersebut.
Secara tidak langsung, ia dapat melambatkan proses kemerosotan sendi akibat daripada impak berat badan yang berlebihan.
Sementara itu, menurut Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah
Arthroplasty, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Lee Chong Meng, sekiranya
keadaan menjadi lebih teruk di mana kualiti hidup terjejas teruk,
pembedahan adalah perlu untuk meningkatkan kembali kualiti hidup
pesakit.
Bagaimanapun katanya, pembedahan adalah pilihan terakhir dan ia
bergantung kepada keperluan individu dan tahap penyakit osteoarthritis
yang dihidapi.
Melalui pembedahan, sekurang-kurangnya pesakit osteoarthritis akan
mendapat kembali kehidupan asal mereka walaupun ia tidak 100 peratus.
Di samping itu mereka juga akan mendapati sakit sendi telah
berkurangan.
Bagaimanapun pembedahan ini biasanya dilakukan untuk sendi-sendi yang besar seperti lutut, pinggul dan juga bahu.
Lazimnya pembedahan ini dilakukan di mana sendi-sendi yang rosak ditukar dengan sendi-sendi tiruan," katanya.
Untuk itu, orang ramai disarankan agar mengubah gaya hidup mereka
seperti mengurangkan berat badan, amalkan gaya pemakanan yang sihat
serta bersenam kerana ia dapat menolong menangani gejala-gejala
osteoarthritis.
Pada masa yang sama, pesakit-pesakit turut disarankan menambah
pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa mengenai osteoarthritis.
Bagaimanapun mereka digalakkan berjumpa dengan doktor untuk
mendapatkan pemeriksaan awal di samping mendapat nasihat serta rawatan
yang perlu dalam usaha mengurangkan sakit tersebut.