Berbuka segera jika alami simptom hipoglisemia
|
TINGGAL seminggu sahaja lagi umat Islam di negara ini akan mula
melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa pada bulan Ramadan.
Sungguhpun begitu, terdapat golongan yang diberikan kelonggaran
daripada melaksanakan ibadat tersebut berikutan keadaan kesihatan yang
tidak mengizinkan.
Pesakit yang berdepan dengan isu kesihatan seperti kesakitan fizikal,
kegagalan buah pinggang dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
tidak boleh berpuasa dengan cara selamat.
Salah satu golongan yang diberikan kelonggaran ialah penghidap
diabetes. Bergantung kepada peringkat keadaan tertentu, sesetengah
penghidap penyakit itu dikhuatiri akan mendatangkan mudarat terhadap
kesihatan jika berpuasa.
Namun, ada segelintir daripada mereka yang tekad mahu melaksanakan kewajipan tersebut tanpa menghiraukan risikonya.
Masalah yang sering dihadapi oleh pesakit diabetes ketika Ramadan adalah serangan hipoglisemia.
Menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pusat Perubatan Sime
Darby, Profesor Chan Siew Pheng hipoglisemia merujuk kepada keadaan
apabila kandungan glukos berkurangan dalam darah dan berada di bawah
paras normal.
“Ramai pesakit diabetes tetap mahu berpuasa walaupun keadaan mereka
sebenarnya tidak mengizinkan. Semuanya kerana mahu memenuhi tuntutan
agama.
“Selaku doktor, kami akan bertanya kepada pesakit sama ada mereka
larat untuk berpuasa atau tidak. Ada antara mereka yang meminta pendapat
bagi memastikan sama ada keadaan mereka membolehkan mereka berpuasa
dengan selamat atau sebaliknya,” katanya.
Tambahnya, doktor akan cuba membantu supaya pesakit diabetes tersebut
dapat berpuasa dengan memberikan panduan dan mengajar mereka cara untuk
berpuasa dengan selamat.
Siew Pheng menambah, menempuh bulan puasa sebenarnya merupakan satu
masalah kepada pesakit diabetes kerana mereka tidak boleh makan dan
minum pada siang hari.
Ia merupakan perubahan besar dalam corak pengambilan makanan, kalori,
ketika berbuka puasa sehingga mereka bangun sahur untuk hidangan
seterusnya.
“Jika mereka tidak bangun sahur, tempoh berpuasa mereka lebih lama
berbanding orang lain yang berpuasa normal iaitu melebihi 14 jam.
“Keadaan ini merunsingkan kami kerana tindakan tersebut akan
menyebabkan hipoglisemia yang mengundang keadaan kemerosotan glukos
dalam darah selain terdedah kepada risiko dehidrasi kerana cuaca di
negara ini yang panas,” ujarnya.
Ujarnya, apa yang menjadi kebimbangan adalah apabila paras glukos
dalam darah pesakit diabetes akan jadi terlalu tinggi atau terlalu
rendah.
Paras glukos yang tinggi mungkin disebabkan salah makan kerana
berbuka dengan mengambil banyak minuman dan makanan manis serta lupa
mengambil ubat.
Walaupun seharian berpuasa, pesakit diabetes tidak boleh mengambil gula dalam kuantiti yang banyak.
Statistik berganda
Dalam satu Kajian Diabetes Ramadan Epidemiologi 2001 yang melibatkan
12,243 pesakit diabetes di 13 buah negara, 95 peratus pesakit diabetes
di Malaysia berpuasa lebih daripada 15 hari. Malah, kebanyakan daripada
mereka berpuasa lebih 27 hari walaupun sudah mendapat nasihat doktor
tetapi mereka tetap cuba berpuasa.
“Apabila mereka mengabaikan nasihat yang disarankan doktor, mereka
akan mengalami simptom hipoglisemia yang teruk hingga terpaksa
dikejarkan ke hospital.
“Sebelum Ramadan, purata kekerapan episod hipoglisemia yang berlaku
ialah 0.4, manakala ketika Ramadan ia meningkat kepada tiga episod
hipoglisemia iaitu 7.5 kali ganda daripada hari mereka tidak berpuasa,”
jelasnya.
Salah satu punca hipoglisemia berlaku adalah ia ada kaitan dengan
jenis ubat yang diambil oleh pesakit untuk mengawal paras glukos dalam
darah.
Dua jenis ubat yang selalu digunakan di hospital iaitu metformin dan sulfonylurea.
Metformin yang berfungsi memperbaiki paras glukos dalam darah tanpa
merangsang pengeluaran insulin mampu meminimumkan atau tidak
mendatangkan risiko hipoglisemia.
Sulfonylurea pula boleh menyebabkan risiko ketara hingga tercetusnya
hipoglisemia kerana ia merangsang pengeluaran insulin selagi berada
dalam badan.
Tukar waktu
“Jika seseorang pesakit mahu berpuasa, dos ubat yang diambil perlu dikurangkan dan diterbalikkan dosnya.
“Jika dos pagi, ia perlu diambil ketika berbuka manakala dos malam
diambil ketika sahur. Dalam masa yang sama, kita ajar mereka untuk
berpuasa dengan selamat.
“Sejak lima hingga enam tahun lalu, terdapat kelas baharu ubat-ubatan
untuk kawalan glukos tanpa episod hipoglisemia iaitu Oral DPP 4
inhibitors untuk pesakit diabetes Jenis 2,” katanya.
Pesannya, pesakit diabetes yang berpuasa perlu bersedia untuk berbuka jika mengalami simptom-simptom hipoglisemia.
Antara simptom-simptomnya ialah berpeluh, pening, gelisah, lemah
badan, sakit kepala, kabur penglihatan, sentiasa lapar, menggigil,
pengsan atau tidak sedarkan diri.
“Kalau mereka teruskan berpuasa juga, mereka akan menghadapi masalah
besar. Pesakit yang mengalami hipoglisemia yang teruk akan memberikan
tekanan pada jantung.
“Pesakit yang menghidap sakit jantung dan diabetes, hipoglisemia akan
membebankan jantung hingga menyebabkan sakit jantung yang lebih teruk,”
jelasnya.
Jika keadaan hipoglisemia berlarutan, ia mungkin mengakibatkan
masalah jantung dan otak yang boleh menyebabkan kehilangan fungsi
kognitif otak dan keadaan sawan hingga koma.
“Periksa paras glukos dalam darah anda beberapa jam selepas berpuasa.
Jika bacaannya 3.9 milimol/liter (mmol/l), tolonglah buka puasa.
“Walaupun anda tidak mengalami sebarang simptom tetapi bacaan paras
glukos dalam darah kurang daripada 3.3 mmol/l, segeralah berbuka bagi
mengelakkan hipoglisemia yang teruk,” nasihatnya.
Apa yang penting, pesakit diabetes perlu mendapatkan nasihat doktor
sebelum berpuasa sama ada mereka selamat untuk berpuasa atau tidak.
Setiap pesakit mempunyai keperluan yang berbeza.