BAYI yang diberikan susu ibu biasanya mempunyai antibodi yang kuat dan membesar secara sihat.
SEJAK melahirkan cahaya mata sulung pada 26 Ogos lalu, Mastura Abu
Samah mengakui seronok melalui fasa baharu kehidupan bergelar ibu.
Sebagai wanita, Mastura, 29, berkata, hidupnya kini terasa lengkap
dengan kehadiran permata hati yang diberi nama Putra Aidiltullah itu.
Apatah lagi sewaktu kali pertama berpeluang menyusukan bayinya, hati
Mastura terasa damai melihat keasyikan si anak melakukan ‘kerjanya’.
“Alhamdulillah, sukar untuk saya mengungkap perasaan yang terbit
dalam diri ketika menyusukan Putra. Rasa seperti ingin menangis pun ada.
“Walaupun pada mulanya, saya sedikit gementar dan takut kerana
pengalaman membaca kisah-kisah kelahiran pertama termasuk kesakitan
sewaktu menyusukan bayi bermain di fikiran. Tetapi, berkat sokongan
suami dan para jururawat di hospital ini, saya berjaya melakukannya
dengan baik,” ujar Mastura yang memilih untuk melahirkan bayi di
Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sehingga kini, Mastura masih lagi menyusukan bayinya secara eksklusif
dan berharap dapat melakukan rutin tersebut sehingga dua tahun.
Dalam pada itu, Muhammad Rohaimi Mohd, Tasrif, 27, sebagai suami
sudah tentu bersyukur kerana dikurniakan zuriat sebagai pengikat kasih
sayang bersama isterinya.
TUNJUK ajar daripada jururawat di hospital membantu para ibu muda mengetahui teknik penyusuan bayi yang betul.
Sokongan
Justeru, sebolehnya dia mahu anaknya mendapat zat terbaik daripada pemberian susu ibu yang diketahui besar manfaatnya.
“Sebelum ini, saya ada mengikuti kelas antenatal yang menekankan
tentang kepentingan susu ibu terhadap bayi yang baru lahir. Jadi, saya
perlu menyokong penuh perkara ini, terutamanya dalam memberi semangat
kepada isteri untuk berbuat demikian.
“Sokongan ini penting bagi menunjukkan keprihatinan saya terhadap
isteri yang telah bersusah-payah mengandung dan melahirkan anak kami ke
dunia,” ungkap Muhammad Rohaimi ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Berdasarkan panduan yang digariskan Perikatan Antarabangsa Untuk
Tindakan Penyusuan (WABA), terdapat lima cabang yang membentuk kumpulan
sokongan susu ibu.
Ia terdiri daripada keluarga dan rangkaian sosial, sistem penjagaan
kesihatan, suasana kerja dan persekitaran, kerajaan dan penggubalan
undang-undang serta respons terhadap krisis atau kecemasan.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) HKL, Dr. Noor
Haliza Yussoff, 52, berkata, menyentuh soal sokongan, setiap ibu yang
melahirkan bayi perlu diberi pendedahan dan didikan mengenai kepentingan
susu ibu dari peringkat antenatal lagi.
Ujarnya, mereka biasanya akan diberikan maklumat untuk melakukannya
dan dibantu jika ada sebarang masalah oleh jururawat terlatih.
“Namun, apabila pulang ke rumah, ketika itulah masalah akan berlaku
yang melibatkan campur tangan keluarga seperti ibu atau ibu mertua,
terutamanya dalam aspek membabitkan penyusuan bayi.
“Bila anak menangis kerana lapar, biasanya mereka akan menyuruh si
ibu memberi susu botol kepada bayi,” ujar beliau sambil memaklumkan
antara kebaikan terbesar susu ibu ialah melindungi bayi daripada
jangkitan bakteria dan virus.
PEMILIHAN baju yang mesra bayi juga membolehkan penyusuan susu ibu dilakukan pada bila-bila masa tanpa sebarang rasa malu.
Dari segi zat, susu yang diberi secara terus atau diperah masih
sama. Cuma bezanya, ikatan kasih sayang antara ibu dan anak sewaktu
menyusu membuatkan mereka menjadi lebih rapat.
Terang Noor Haliza, susu ibu menyediakan khasiat yang diperlukan oleh bayi.
“ Susu ibu hidup dan tidak mati. Ia akan menyesuaikan diri dengan
kandungan yang diperlukan bayi dari hari ke hari, bulan ke bulan dan
tahun ke tahun.
“Berbanding susu formula, zatnya statik. Apa yang diletak itulah kandungan yang ada di dalamnya sampai bila-bila,” katanya.
Noor Haliza berkata, golongan ibu muda pada hari ini semakin menyedari keperluan menyusukan anak secara eksklusif.
Bagaimanapun, beliau mahu menyampaikan mesej bukan sahaja kepada si
ibu dan suami malah kaum keluarga serta rakan-rakan supaya apabila
kembali ke pangkuan masyarakat, mereka memperoleh sokongan penuh bagi
penyusuan susu ibu.
Menurutnya, trend ibu-ibu mengandung sekarang menyaksikan mereka
datang ke kelas antenatal bersama ibu sendiri atau ibu mertua. Situasi
sedemikian amat dialu-alukan kerana secara tidak langsung mereka akan
mendapat pengetahuan tentang kepentingan susu ibu.
RAMAI wanita berkerjaya semakin
menyedari kepentingan susu ibu kepada si anak dan sanggup memerahnya
ketika berada di pejabat. - Gambar hiasan
Susu formula
Tambah beliau, susu formula mula berkembang pada awal 70-an. Sebelum itu, semua ibu menyusukan bayi mereka dengan susu badan.
“Bagaimanapun, iklan yang ditayangkan di media massa secara meluas
seolah-olah menampakkan susu formula itu susu yang terbaik.
Lama-kelamaan masyarakat seumpama ‘diprogram’.
“Maka, berlakulah persepsi yang menyebabkan mereka ingin memberi susu
formula pada anak masing-masing. Ini kerana pada anggapan mereka,
sesiapa yang memberi susu ibu dilihat seperti orang miskin,” ungkapnya.
Menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil inisiatif menggubal
satu akta yang menghalang pengiklanan untuk susu formula bayi berusia
dua tahun ke bawah. Kod tata etika dalam penggubalan undang-undang ini
telah dimulakan pada tahun 1990-an.
“Sehingga sekarang hanya susu formula untuk anak-anak yang berusia dua tahun ke atas yang dibenarkan bagi tujuan pengiklanan.
“Selain itu, di bawah kod tata etika ini juga, setiap kotak atau tin
susu harus ditulis bahawa susu ibu adalah susu terbaik. Kod ini akan
dikaji semula setiap dua tahun untuk ditambah baik,” jelas Noor Haliza.
Sepanjang 25 tahun dalam bidang O&G, ibu kepada tiga cahaya mata
ini turut berkongsi pengalaman yang dilihat dalam aspek perbezaan
penyusuan susu ibu.
“Dahulu, jarang kita lihat ibu-ibu menyusukan bayi mereka ketika
berada di wad. Rata-rata akan memberi susu botol pada anak yang baharu
dilahirkan. Lantaran itu, pergerakan untuk memastikan penyusuan ibu
berlaku secara meluas pada tahun 1991.
“Ketika itu, penggunaan botol susu dilarang sama sekali di semua
hospital kerajaan. Alhamdulillah, setakat ini usaha kita telah
menunjukkan hasilnya. Tidak ketinggalan, semakin banyak hospital swasta
turut menyokong perkara ini,” kata beliau yang mengakui daripada tiga
orang anaknya, hanya yang bongsu berpeluang menyusu secara eksklusif
dengannya selama dua tahun.
Semua itu disebabkan mentaliti beliau dan faktor persekitaran yang
kurang menyokong perkara tersebut. Meskipun sedikit ralat, namun Noor
Haliza tetap bersyukur kerana akhirnya perjuangan untuk memartabatkan
pemberian susu ibu mencapai kejayaan