Atasi konflik demi elak perceraian
|
CUTI persekolahan sudah bermula. Ia bukan hanya musim pelajar sekolah
bercuti, malah musim untuk pasangan muda kita memulakan alam
perkahwinan.
Semoga perkahwinan mereka itu bukan sahaja berkekalan ke akhir hayat,
lebih daripada itu, mereka dapat menikmati kemanisan berumah tangga.
Sekiranya ada gelombang yang menguji kehidupan rumah tangga mereka,
terutamanya pada awal usia perkahwinan, mudah-mudahan mereka mampu
menanganinya dengan baik.
Ini penting kerana kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi
jelas menunjukkan bahawa mereka yang berkonflik pada awal usia
perkahwinan mempunyai potensi besar untuk bercerai. Ia berbeza pula bagi
mereka yang memulakan awal perkahwinan yang membahagiakan.
Apatah lagi, dalam kehidupan moden hari ini, perceraian seolah-olah
menjadi perkara biasa. Secara purata setiap tahun, kira-kira 20,000 kes
perceraian berlaku dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita.
Lebih membimbangkan, dianggarkan bahawa perceraian berlaku setiap 15
minit. Ia mengingatkan kita dengan satu pepatah Perancis, love makes the
time pass and time make love pass.
Dipengaruhi budaya
Tatkala bercinta, manusia terleka sehingga tidak menyedari masa yang
berlalu. Bagaimanapun, semakin berubahnya masa, manusia juga tidak lagi
menghiraukan cinta yang pernah mereka janjikan.
Jangka hayat perkahwinan juga kelihatannya dipengaruhi oleh budaya dan norma hidup sesebuah masyarakat.
Dalam masyarakat Barat yang terkenal dengan nilai individualistik,
masyarakatnya berpegang kepada suara hati mereka sendiri. Mereka akan
meneruskan atau membubarkan sesebuah perkahwinan bergantung kepada 'apa
yang dirasakan sebagai yang terbaik untuk naluri mereka', dan bukannya
orang lain.
Situasinya terbalik dalam masyarakat kolektif, iaitu usia sesebuah
perkahwinan biasanya bergantung kepada 'apa yang orang lain akan
perkatakan?'
Inilah yang ada kalanya menjadikan seseorang itu sanggup meneruskan
perkahwinan walaupun menderita, manakala ada pula yang berakhir dengan
perceraian walaupun dugaan yang dihadapi tidak begitu besar.
Ada juga orang yang terpaksa menghadapi kehidupan rumah tangga yang
sangat menyakitkan kerana keluarga tidak memberikan restu, walaupun pada
hakikatnya pasangan tersebut tidak mempunyai sebarang masalah.
Keluarga harmoni
Secara umumnya, kajian-kajian menunjukkan bahawa perkahwinan biasanya
kekal dalam kalangan pasangan yang dibesarkan dalam keluarga yang
harmoni, mempunyai taraf pendidikan yang sama, mempunyai pendapatan yang
baik, tinggal di kawasan luar bandar dan mempunyai pegangan agama yang
baik.
Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, komunikasi dikatakan sebagai
aspek yang sangat utama dalam menentukan survival sesebuah hubungan.
Komunikasi dalam konteks ini tidak semestinya hanya dalam bentuk perbualan, tetapi ia turut melibatkan bahasa tubuh yang lain.
Kajian-kajian yang dijalankan sejauh ini menunjukkan bahawa pasangan
yang bahagia biasanya memiliki ciri-ciri yang sama iaitu lebih kerap
untuk saling menyetujui, menurut kehendak pasangan dan gemar untuk
ketawa.
Pasangan yang mengalami konflik pula biasanya lebih cenderung untuk
mendominasi pasangan, sukar bersetuju dalam satu-satu isu dan saling
mengkritik antara satu sama lain.
Ini menjadikan rumah tangga telah menjadi kanvas tekanan hidup yang
cukup menyedihkan. Ramai yang bermain kata yang indah semasa bercinta,
tetapi mengeluarkan kata yang menyakitkan sesudah berumah tangga.
Realiti yang harus difahami oleh pasangan baru berkahwin, bahawa
setiap rumah tangga pasti akan berhadapan dengan konflik dan masalah.
Sekalipun ketika bercinta semua perkara boleh menjadi indah, ia tidak
semestinya benar ketika berada di alam rumah tangga.
Bagaimanapun, bukanlah bermakna bahawa konflik itu akan menyebabkan seseorang tidak bahagia.
Hakikat perbezaan
Kajian-kajian juga melaporkan bahawa mereka yang bahagia juga
sebenarnya menghadapi konflik. Bagaimanapun, mereka mampu mengecap
bahagia kerana menyedari hakikat perbezaan dan lebih kerap untuk
menghadapi konflik dengan reaksi yang lebih positif, misalnya senyuman,
sentuhan, penghargaan dan ketawa.
Sebaliknya, mereka yang menangani konflik secara negatif seperti
meluahkan kata-kata sindiran kepada pasangan, sering berbalah pendapat
atau menyakiti pasangan, biasanya akan berakhir dengan perceraian.
Atas sebab itulah, pasangan muda yang baru memulakan alam rumah
tangga, mereka mesti belajar untuk menangani konflik rumah tangga secara
positif. Masalah yang dihadapi tidak boleh ditangani secara
terburu-buru.
Kebiasaannya, manusia akan mampu menangani konflik dengan baik
sekiranya mereka bersikap positif terhadap masalah yang dihadapi dan
bersangka baik bahawa keadaan akan berubah pada masa hadapan.
Ini biasanya berlaku pada peringkat kognitif atau dalam minda
individu. Ada pula pasangan yang cuba menstabilkan keadaan dengan
menyuarakan kelemahan yang dihadapi dan mencari jalan untuk diperbaiki.
Apabila berhadapan konflik yang sangat berisiko, salah seorang
daripada pasangan perlulah melakukan pengorbanan dengan terus
mengekalkan kesetiaan. Besar kemungkinan, keadaan akan bertambah baik
pada masa mendatang.
Memilih bercerai setiap kali perselisihan belum tentu menjanjikan
sesuatu yang lebih membahagiakan. Tabah menghadapi ujian itulah hakikat
keindahan sebuah perkahwinan.