Selamat Datang Ke.....

* TASKA & TADIKA UNTUK ANAK-ANAK GENIUS DAN IBUBAPA GENIUS SAHAJA.
* TASKA MESRA SUSU IBU
* MOTTO "BELAJAR BERMULA DARI USIA BAYI".
* PIHAK KAMI MENYEDIAKAN PROGRAM PENJAGAAN DAN PEMERKASAAN ANAK YANG KHUSUS DAN SISTEMATIK BERMULA SEAWAL USIANYA.
* KAMI BERPENGALAMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK BAWAH USIA 4 TAHUN SEJAK TAHUN 1998

** Kami MEMBANTU ibubapa mendidik dan merangsang anak menjadi genius dari awal usianya dan membentuk diri bersyukur dengan kebolehan dan menggunakan potensi yang dianugerahkan ***

Welcome AlHumairaa& Zuri@Millenia

Program - Program Kami

JAWATAN KOSONG PERLU SEGERA ( 5 kekosongan ) - Temuduga Dibuat Setiap Bulan..

Isnin, 13 Disember 2010

Keliru buasir atau kanser



DR. YUNUS GUL


BUASIR merupakan masalah biasa masyarakat moden kini. Dikatakan separuh daripada jumlah populasi berhadapan dengan masalah ini.

Buasir merupakan kusyen vaskular yang bertindak sebagai penghadang setiap kali membuang air besar.

Ia akan menutup dubur secara menyeluruh dengan lembut bagi mengelakkan kebocoran najis ataupun cecair.

Ia merupakan komponen normal dalam anatomi manusia.

Masalah timbul apabila berlaku pembengkakan pada kusyen vaskular akibat tekanan atau stres yang diberikan pada rektum berikutan aktiviti meneran.

Keadaan ini akan mengakibatkan pesakit berasa kurang selesa.

Faktor yang menyebabkan buasir atau hemoroid membengkak masih tidak jelas dan berbeza mengikut pesakit.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa ia berpunca daripada peneranan melampau ketika membuang air besar, pemakanan yang tidak sihat, kurang bersenam, faktor usia yang melemahkan tisu dan semasa mengandung ekoran perubahan hormon.

Sakit

Simptom utama penghidap buasir adalah pendarahan pada hujung proses membuang air besar yang boleh dilihat pada najis, kadangkala menitik dan juga ketika mencuci.

Selain itu, pesakit akan merasakan terdapat lebihan isi atau kulit yang tersembul di luar lubang dubur yang mendatangkan rasa kurang selesa, gatal dan sakit. Tetapi tidak semua pesakit buasir akan berasa sakit.

Menurut Pakar Bedah Kolorektal, Pusat Perubatan Prince Court, Prof. Dr. Yunus Gul Alif Gul, ramai pesakit yang tidak mengendahkan untuk mendapat rawatan.

“Apa yang membimbangkan adalah simptom buasir menyamai simptom kanser kolorektal atau gabungan kolon dan rektum iaitu pendarahan.

“Namun, pendarahan bagi pesakit kanser kebiasaannya keluar bersama najis dan kadangkala diselangi dengan lendir,” katanya.

Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai masalah pendarahan ketika membuang air besar, seelok-eloknya berjumpa doktor bagi menentukan masalah sebenar.

Apabila pesakit sudah mendapat diagnosis buasir, doktor akan memberi nasihat supaya menukar diet dan juga gaya hidup seperti tidak terlalu meneran semasa membuang air besar, mengurangkan pengambilan daging merah, memperbanyakkan pengambilan serat dan buah-buahan serta minum banyak air.

Bagaimanapun, menurut Yunus, gaya hidup masyarakat kini seperti pelajar di asrama dan suami isteri yang bekerja cenderung membeli makanan di luar.

“Pengambilan makanan segera ataupun makanan yang telah diproses juga boleh mendatangkan kemudaratan.

“Seeloknya pastikan makanan yang hendak dibeli itu segar dan berkhasiat.

“Mereka yang gemar membaca di dalam bilik air juga boleh mendapat buasir kerana mereka berada dalam kedudukan duduk atau mencangkung yang secara tidak langsung melibatkan peneranan walaupun proses pembuangan najis telah selesai.

“Ia secara tidak langsung memberikan tekanan pada rektum menyebabkan tisu-tisu yang menyokong menjadi lemah,” ujarnya.

Ramai pesakit memilih perubatan tradisional bagi mengubati buasir ekoran malu berjumpa doktor dan takut menjalani pembedahan.

Ramai yang lebih suka untuk bertanya kepada rakan-rakan, ahli farmasi ataupun pengamal perubatan tradisional mengenai ubat-ubatan yang sesuai berbanding mendapat rundingan doktor.

Alternatif

Yunus memberitahu, tiada salahnya bagi pesakit untuk mencuba perubatan tradisional seperti pengambilan herba asalkan mereka tahu penyakit mereka berada di tahap mana.

“Jika buasir berada di tahap satu atau dua, tiada salahnya mereka mencuba perubatan alternatif kerana tahap ini boleh diubati dengan pengambilan ubat sahaja.


PEMBEDAHAN dapat memulihkan masalah buasir.


“Namun, jika sudah kritikal, mereka tiada pilihan kecuali melakukan pembedahan membuang buasir tersebut,” katanya.

Mungkin ramai yang memilih perubatan alternatif kerana takut menjalani pembedahan yang dikatakan amat menyakitkan.

Bagaimanapun, teknologi baru membolehkan pembedahan dilakukan tanpa kesakitan melampau dan pulih dalam masa yang sangat singkat.

Ini termasuk ligasi pita getah menggunakan satu atau dua pita getah yang kecil yang akan diikat di sekitar dasar buasir dalaman untuk menghentikan pengedaran darah.

Dalam masa beberapa hari, buasir itu akan tertanggal sendiri tanpa rasa sakit.

Kaedah Ligasi Arteri Buasir (HAL) pula menggunakan alat ultrabunyi Doppler yang dimasukkan ke dalam anus untuk mengenal pasti lokasi sebenar arteri yang membekalkan darah.

Oleh kerana jahitan tidak dilakukan di dalam anus sebaliknya di hujung rektum, ia mengurangkan kesakitan.

Manakala Longo atau Procedure for Prolapse and Haemorrhoids (PPH) merupakan antara kaedah terbaru yang menggunakan sejenis alat seperti stapler.

Prosedur ini mengambil masa hanya 20 minit dan tiada luka yang perlu dirawat selepas prosedur dijalankan

Amalan Khatan Wanita....

Khatan wanita masih popular


SEORANG kanak-kanak perempuan meronta ketika mudim wanita melakukan prosedur khatan. - Gambar hiasan


BAGI sebahagian besar masyarakat Islam di negara ini, mengkhatankan bayi perempuan dianggap sebagai satu tuntutan agama walaupun secara dasarnya ia bukan amalan yang wajib dilaksanakan.

Rata-ratanya percaya, bersunat boleh mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat sama ada untuk lelaki mahupun wanita.

“Bersunat bagi wanita bertujuan untuk menjaga kebersihan selain daripada mengawasi kesihatan batin.

“Menurut petua orang-orang lama juga, berkhatan dapat memelihara diri daripada mendapat pelbagai penyakit.

“Ia juga merupakan satu cara untuk mendoakan zuriat menjadi perempuan yang baik dan solehah apabila dewasa nanti,” jelas pengamal perbidanan tradisional, Nikmah Suhaidi, 49, ketika ditemui Jurnal di rumahnya di pekan Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Amalan dituntut

Mewarisi kepakaran turun-temurun daripada keluarga sebelah ibunya, wanita berketurunan Melayu Boyan ini sudah 18 tahun menyunatkan kaum Hawa.

“Selain bayi, saya juga menyunatkan wanita dewasa, sama ada wanita Melayu yang tidak pernah bersunat mahupun wanita yang baru memeluk Islam. Ada yang masih muda, ada juga yang sudah beranak-pinak,” ujarnya.

Menurut Nikmah, wanita mualaf memilih untuk berkhatan kerana mereka menganggap ia sebagai ritual pembersihan selain membuktikan kesediaan mereka untuk menjalani kehidupan sebagai wanita Islam.

“Ia bukan paksaan, tetapi amalan yang dituntut. Selain itu, saya juga percaya, berkhatan mampu memelihara gelora nafsu dan mengurangkan rangsangan berlebihan terhadap kaum Adam.

“Saya tidak pasti sama ada terdapat kajian yang jelas tentang sunat mampu mengawal nafsu berahi wanita.

“Namun, menurut pengalaman saya, sudah beberapa kali wanita dewasa yang dikhatankan mengakui lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka,” katanya yang pernah mengkhatankan beberapa orang pekerja seks sebelum ini.

Mengupas lebih lanjut kaedah berkhatan bagi perempuan, Nikmah memberitahu, lazimnya bayi perempuan disunatkan ketika masih kecil, seeloknya beberapa hari selepas dilahirkan.

Namun, ada juga ibu bapa yang memilih untuk menunggu hingga setahun sebelum mengkhatankan anak masing-masing.

Kerat 1.3 sentimeter

“Bersunat bagi perempuan ialah dengan memotong sebahagian muncung daging yang tersembul berdekatan saluran kemaluan wanita. Ia terletak di sebelah atas faraj yang kelihatan seakan-akan bonjolan.


SEORANG wanita menenangkan anaknya dalam satu prosedur berkhatan khusus untuk wanita di Indonesia. - Gambar hiasan


“Bagi wanita dewasa, daging yang dipotong kira-kira setengah inci (1.3 sentimeter).

“Alat yang digunakan untuk memotong ialah mata pisau cukur yang dipotong empat untuk bayi dan gunting kecil untuk wanita dewasa,” ujarnya.

Selain itu, kelengkapan lain yang diperlukan dalam adat berkhatan ialah kain putih yang bersih, minyak gamat, kain kapas dan duit syiling lima sen.

“Kain putih biasanya akan disediakan sendiri oleh pihak yang ingin dikhatankan. Bagi bayi perempuan, kain yang diperlukan ialah sepanjang satu meter dan dua meter bagi wanita dewasa.

“Kain tersebut akan digunakan sebagai alas punggung selain untuk membungkus duit syiling sebagai pelapik mata pisau cukur bagi mengelak mata pisau menoreh tangan.

“Bagi wanita dewasa pula, selain dijadikan alas, kain putih juga digunakan untuk membungkus daging yang digunting sebelum ditanam,” tambahnya.

Sungguhpun masih mengekalkan berkhatan cara lama, Nikmah tidak pernah berkompromi tentang kebersihan. Setiap peralatan seperti kain, mata pisau dan gunting, akan dicuci bersih sebelum digunakan.

Malah, bekas bidan di klinik swasta ini juga tidak akan menggunakan peralatan yang sama untuk pelanggan berbeza.

“Kain, mata pisau dan gunting akan digunakan sekali saja. Ia akan dibungkus dan ditanam bersama daging yang dipotong tadi. Ini untuk mengelakkan jangkitan kuman dan komplikasi lain.

Tambah Nikmah, untuk memudahkan proses berkhatan, seelok-eloknya kita memulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

Tanpa sebarang suntikan bius atau ubat pelali, Nikmah melakukan tugasnya dengan berbekalkan ayat suci al-Quran selain selawat.

“Selesai berkhatan, saya akan memandikan mereka dengan air limau sambil membaca selawat, ia bertujuan untuk membersihkan diri dan menjauhi perkara tidak baik daripada berlaku,” ujarnya yang pernah mengkhatankan bayi yang baru lahir hinggalah wanita dewasa berusia 50 tahun

Isnin, 8 November 2010

TIPS AKHBAR KOSMO : JANGAN BIARKAN ANAK MENYUSU BERSENDIRIAN

Dia terimbas kisah lalu apabula anak sulungnya itu pernah mengalami situasi sama. Namun, dia bernasib baik kerana sempat bertindak dan mengawal situasi itu sebelum menjadi lebih teruk.

Ketika kejadian itu, Suryanti pada mulanya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana anaknya itu tidak sendawa seperti biasa selepas meminum susu.

Selepas beberapa minit, susu yang diminum anaknya itu tersembur dan keluar dari hidung Muhammad Afi Naim. Oleh kerana terlalu panik, Suryanti cuba melakukan bantuan rawatan kecemasan walaupun tidak mengetahui teknik yang betul.

“Setelah beberapa kali menepuk belakang Muhammad Afi, dia masih menunjukkan tanda-tanda mahu bernafas. Saya terus menelangkupkan badannya dengan menghalakan kepalanya ke bawah. Selepas beberapa kali menepuk belakang badan anak saya itu, akhirnya dia kembali bernafas.

“Saya tidak pasti sama ada cara yang saya lakukan itu betul kerana saya tidak pernah mempelajari teknik membantu kanak-kanak tercekik susu,” kata pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC) itu ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PARA ibu perlu mengetahui cara yang betul menyusukan anak.


Maut dalam masa lima minit

Situasi bayi tercekik pastinya bukan hanya dilalui oleh pasangan Suryanti dan Mohd. Azuar Shamsuddin, 27, sahaja, bahkan ia menjadi isu penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa kerana ia bukan kes normal dan lebih teruk, boleh meragut nyawa.

Pakar Pediatrik dari Pusat Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zurina Zainudin berkongsi pandangannya mengenai masalah tercekik susu yang berlaku kepada bayi yang berusia di bawah umur setahun itu.

Ia berlaku apabila terdapat cecair yang masuk ke dalam saluran pernafasan dan seteguk susu mampu menyebabkan kematian bayi.

Beliau menambah, untuk menolak kembali susu yang masuk ke saluran itu, tindak balas cough reflex (refleks batuk) perlu berlaku dalam sistem itu. Namun, sel-sel pada saluran pernafasan bayi masih tidak matang dan tidak kuat untuk menolaknya dan itu yang menyebabkan bahaya.

“Apabila air memasuki saluran pernafasan, ia menutup laluan oksigen ke otak. Sekiranya oksigen tidak sampai ke otak dalam tempoh lima minit, ia boleh mengundang kematian,” terang Zurina.

Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan perkara itu?

Dr. Zurina yang berpengalaman dalam bidang pediatrik selama 11 tahun itu menjelaskan, ibu bapa harus peka dengan kaedah penjagaan bayi bagi mengelakkan masalah itu daripada berlaku.


Membuka saluran nafas dengan mendongak kepala dan mengangkat dagunya.


Ibu bapa mahupun penjaga seharusnya tidak membiarkan bayi menyusu secara bersendirian. Keadaan lebih bahaya jika bayi tersebut tertidur dan botol susu masih dibiarkan melekap di mulut bayi.

“Ini yang sering berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak. Bila terlalu ramai yang harus dijaga, bayi akan dibiarkan bersendirian ketika menyusu,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa agar memilih puting botol susu yang mempunyai lubang yang sempit bagi mengelakkan susu mengalir laju tanpa kawalan. Selain itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya meninggikan kepala bayi ketika menyusu dan memegang botol susu ketika memberi susu kepada bayi.

“Jangan sendal botol susu dengan bantal sebaiknya ibu bapa pegang botol susu pada kedudukan antara 45 hingga 60 darjah,” katanya.

Dr. Zurina turut menyeru ibu bapa dan pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) agar mengambil inisiatif mempelajari teknik bantuan cemas dan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Biru tanda tidak bernafas

Pendapat sama turut disuarakan oleh jurulatih Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Wilayah Persekutuan, Muhammad Zulkarnain Rusli, 31.

Beliau menjelaskan bahawa situasi bahaya itu perlu ditangani segera melalui rawatan CPR kerana dalam tempoh beberapa minit sahaja masalah tersedak boleh meragut nyawa bayi.


Demonstrasi menentukan tahap kesedaran bayi.


Katanya, situasi itu boleh menyebabkan kematian sementara iaitu kematian klinikal. Kematian klinikal diterjemahkan sebagai nafas yang terhenti dalam suatu tempoh dan berpeluang untuk kembali normal. Bantuan pantas perlu diberikan kerana komplikasi teruk pada otak boleh berlaku dalam masa selepas empat minit.

Tanda-tanda yang menunjukkan seseorang bayi itu tercekik susu boleh dilihat melalui keadaan tubuhnya yang lembik, tidak bernafas, bibir kebiruan dan tiada respons.

“Bila berhadapan situasi itu, tiada apa yang perlu dilakukan oleh penjaga melainkan rawatan awal iaitu CPR,” katanya.

Isnin, 25 Oktober 2010

Wanita lebih berisiko

SAKIT...artritis reumatoid  mengakibatkan jari kaki dan  tangan membengkok.
SAKIT...artritis reumatoid mengakibatkan jari kaki dan tangan membengkok.
SUKAR BERGERAK...artritis reumatoid  kronik boleh menyebabkan ketidakupayaan melakukan aktiviti harian.
SUKAR BERGERAK...artritis reumatoid kronik boleh menyebabkan ketidakupayaan melakukan aktiviti harian.

PERNAHKAH anda mengalami situasi ini? Bangun saja daripada tidur, sendi-sendi seluruh kaki dan tangan kelihatan membengkak serta rasa sakit yang mencengkam hingga menyukarkan pergerakan.

Pasti ramai yang pernah mengalaminya, tetapi biasanya kita lebih suka menganggap keadaan itu sekadar kekejangan yang berlaku di waktu pagi berikutan suhu dingin pada waktu itu lalu membiarkannya reda sebelum dapat meneruskan rutin harian.


Andai sesekali dirasai, mungkin benar ia disebabkan kekejangan. Namun, bagaimana pula jika dialami hampir setiap hari hingga sukar melakukan aktiviti harian kerana perlu menunggu rasa sakit itu hilang dalam tempoh antara 30 minit hingga tiga jam?

Menurut Penasihat Perubatan dan Pakar Reumatologi Pusat Perubatan Sunway merangkap Presiden Yayasan Artritis Malaysia (AFM), Dr Amir Azlan Zain, rasa sakit mencengkam yang dialami itu mungkin simptom kepada masalah kerosakan sendi seperti artritis reumatoid (RA).


"Sebenarnya penyakit sendi atau artritis ini mempunyai banyak jenis, tapi RA adalah antara penyakit sendi lazim yang menyerang lelaki dan wanita berusia antara 20 dan 40 tahun

SUKAR BERGERAK...artritis reumatoid  kronik boleh menyebabkan ketidakupayaan melakukan aktiviti harian.
SUKAR BERGERAK...artritis reumatoid kronik boleh menyebabkan ketidakupayaan melakukan aktiviti harian.

"Di negara ini, dianggarkan lima daripada setiap 1,000 orang akan menghidapi penyakit RA dan ia lebih banyak dialami kaum wanita melebihi 50 peratus berbanding lelaki.


"Hingga kini, pakar masih belum dapat memastikan sama ada ia berkaitan secara langsung atau tidak dengan ketidakseimbangan hormon yang sering dialami wanita," katanya

Tambah Dr Amir, kadangkala rasa sakit yang dialami di tangan dan kaki itu tidak semestinya artritis, tetapi artritis selalunya menjadi punca kepada kesakitan itu.


"RA sebenarnya disebabkan oleh sistem imun kita yang tidak lagi mampu menolong melawan kuman dari luar. Sistem imun kita sepatutnya memusnahkan benda asing seperti virus dan bakteria yang cuba masuk ke dalam tubuh.

"Tapi RA pula berlaku apabila sistem imun itu menganggap sendi juga adalah benda asing yang perlu diserang dan dimusnahkan yang situasi itu dikenali sebagai autoimun," ujarnya.


Masuk angin, bentan urat, lenguh dan sebagainya pula, ujar Dr Amir, tidak boleh terus dikaitkan dengan masalah artritis dan RA kerana kebanyakannya tidak begitu serius.


"Keadaan seperti lenguh-lenguh dan bentan urat itu ialah satu simptom yang tidak begitu spesifik dan tidak boleh terus membuat andaian bahawa ia adalah penyakit artritis.


"Jika lenguh-lenguh dirasakan kurang daripada seminggu, tidak perlu risau kerana ia tidak memudaratkan. Tapi jika kaki dan tangan membengkak terutama di kawasan jari secara tiba-tiba serta tiada penjelasan mengenainya, malah berlarutan lebih seminggu, jadi perlu segera bertemu doktor untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku.


"Tiga simptom yang paling penting diambil kira untuk mengenal pasti RA ialah sakit mencengkam, bengkak dan kaku pada sendi badan terutama di kaki dan tangan yang biasanya berlaku pada waktu pagi sejurus bangun tidur.

Sakit dan bengkak itu pula berlaku lebih 30 minit dan hanya berkurangan selepas beberapa jam.


"Tidak perlu panik apabila ada tanda itu, tapi jangan ambil mudah kerana apabila ia tidak dirawat segera, kerosakan sendi akan berlaku dan pesakit RA ini akan berdepan dengan jari kaki serta tangan yang membengkok serta membengkak hingga sukar melakukan apa jua aktiviti," ujarnya.


Justeru, kata Dr Amir, faktor gaya hidup seperti merokok seeloknya dielakkan supaya ia tidak menyumbang kepada penyakit berkenaan.


"Kesan merokok bagi RA ini tidak sehebat kesannya pada paru-paru, tapi merokok sememangnya antara faktor yang menyumbang kepada masalah sendi seperti itu.


"Dari segi pemakanan pula, ada beberapa kajian klinikal yang cuba mengaitkan pemakanan dengan penyakit RA, tapi hingga kini belum ada yang mengesahkan bahawa ia menjadi punca kepada penyakit itu.


"Disebabkan wujud pelbagai jenis penyakit artritis, ada sesetengahnya memang perlu menjaga pemakanan seperti pesakit gout. Tapi secara amnya, pesakit RA tiada pantang larang dalam pengambilan makanan.

"Tidak salah untuk pesakit RA mengambil makanan tambahan kerana ia semata-mata untuk meningkatkan tahap kesihatan. Tapi, tiada makanan tambahan yang boleh mengawal RA sepenuhnya dan pesakit masih perlu mendapatkan rawatan di hospital.


"Selain itu, masyarakat kita juga cenderung mendapatkan rawatan secara tradisional kerana ada segelintir yang mahu mengelakkan kesan sampingan ubat yang diberi doktor.


"Banyak kes di mana pesakit enggan menjalani rawatan yang disyorkan doktor selepas didiagnosis lalu beralih ke perubatan tradisional.

"Tapi akhirnya mereka terpaksa kembali ke hospital kerana kesakitan yang dirasai itu tidak surut, malah kerosakan sendi mereka makin teruk.

"Jadi, saya gesa pesakit yang mempunyai tiga simptom utama itu segera mendapatkan bantuan dan nasihat doktor sebelum membuat keputusan secara melulu," katanya.


Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai RA, AFM menyediakan laman web lengkap dan menyeluruh mengenai pelbagai jenis penyakit artritis menerusi www.afm.org.

Di samping itu, ada pautan ke laman web www.mydayforraasia.com yang membantu pesakit RA menjalani hidup dengan lebih produktif menerusi perancangan aktiviti harian, sasaran jangka pendek dan panjang serta memberi bimbingan mengenai rawatan yang perlu dijalani.

Rabu, 6 Oktober 2010

Apabila Anak Tersedak SUSU...

Ketahui cara beri bantuan kecemasan

Disusun dan ditulis oleh Siti Zarinah Sahib, Harian Metro

2010/10/06
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KES kematian akibat menyusu ketika tidur bukan sesuatu yang baru. Hampir setiap bulan, kemalangan disebabkan tersedak susu atau tercekik makanan dilaporkan media yang kebanyakannya berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.

pix_middle
pix_topright
Ia sesuatu yang cukup malang apabila bayi yang baru saja mengenal dunia tidak dapat meneruskan kehidupan dek kelalaian ibu bapa atau penjaganya sendiri. Belum lagi dengan emosi si ibu dan bapa yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan anak tersayang disebabkan kecuaian.

Menurut Pakar Kanak-Kanak, Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bandar Baru Bangi, Dr Nik Rosenorleyaney Nik Ibrahim, kes kematian akibat menyusu ketika tidur atau sedar berpunca daripada bayi yang ditinggalkan menyusu bersendirian tanpa pengawasan.

Apabila seorang bayi tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu itu akan terus mengalir membuatkan bayi tersedak dan susu akan terus masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru mereka.

"Dalam tubuh manusia, terdapat dua saluran iaitu pernafasan pada bahagian hadapan manakala saluran makanan pada bahagian belakang. Apabila bayi minum dalam keadaan tergesa-gesa atau mungkin lubang puting botol yang terlalu besar, susu akan terus mengalir tanpa henti ketika bayi tertidur.

"Sudah tentu bayi tidak mempunyai daya untuk menarik botol itu sendiri menyebabkan susu memasuki saluran pernafasan, seterusnya ke dalam paru-paru. Apabila ini berlaku, biasanya bayi akan tersedak atau batuk iaitu tindakan refleks yang menunjukkan bayi memerlukan pertolongan atau perlindungan.

"Namun, bagi bayi yang ditinggalkan berseorangan, sudah tentu tidak mendapat maklum balas menyebabkan bayi lemas kerana tidak dapat bernafas. Walaupun bayi tersedak susu dalam jumlah yang amat sedikit, ini sudah cukup untuk melemaskan mereka.

"Dalam masa beberapa saat saja jika tidak diberi bantuan kecemasan segera, bayi akan terus meninggal dunia," jelasnya mengulas beberapa kejadian yang berlaku, baru-baru ini.

Tambahnya, sebagai penjaga sama ada pengasuh atau ibu bapa, amalan meletakkan kain atau bantal untuk menyokong botol susu kemudian mereka meninggalkan bayi minum sendirian tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana, ia boleh meningkatkan risiko bayi lemas. Sepatutnya, ibu bapa dan pengasuh menyusukan bayi mereka dengan cara yang betul.

"Ketika menyusu tidak kira susu botol atau susu badan, pastikan kedudukan kepala bayi lebih tinggi daripada dada dan perutnya. Botol susu pula mesti dipegang dalam kedudukan tidak lebih 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.

"Pastikan juga lubang puting botol tidak terlalu besar bagi mengelakkan angin masuk ke dalam perut bayi. Sekiranya menyusu badan, pastikan kawasan puting masuk sepenuhnya ke dalam mulut bayi.

"Elakkan memberi susu dengan meletakkan bayi di atas lantai, sebaiknya pangku bayi seperti mana teknik menyusu badan. Selepas menyusu, sendawakan bayi untuk mengeluarkan angin dan mengelak bayi muntah ketika tidur," katanya.

Selain bayi, kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas juga boleh mengalami sesak nafas disebabkan tercekik makanan seperti kacang atau gula-gula. Ini disebabkan mereka makan sambil bermain dan akhirnya makanan itu masuk ke dalam saluran pernafasan, seterusnya ke bahagian paru-paru.

Sama seperti kes tersedak susu, jika tidak diberi rawatan segera, mangsa akan terus meninggal dunia.

Menurut Dr Nik Rosenorleyaney, bagi mengelak bayi meninggal dunia akibat tersedak susu atau tercekik makanan, ibu bapa dan penjaga perlu mempunyai pengalaman melakukan rawatan kecemasan di rumah.

"Sekiranya bayi tersedak susu atau tercekik makanan, segera angkat bayi, kemudian tepuk belakang mereka beberapa kali dengan cara membiarkan muka ke bawah atau meniarapkan bayi di atas lutut kemudian tepuk belakang bayi sehingga makanan atau cecair keluar dari mulut bayi dan bayi menangis seperti biasa.

"Ini menandakan mereka sudah boleh bernafas. Bagi bayi yang tercekik makanan, sekiranya makanan yang ada dalam mulut kanak-kanak tidak keluar, korek sehingga mereka terbatuk atau memuntahkan makanan itu.

"Tindakan ini perlu dilakukan segera dalam satu minit pertama sebelum mangsa dibawa ke hospital. Dikhuatiri kelewatan melakukan bantuan kecemasan ini akan menyebabkan anda kehilangan orang yang tersayang," katanya.

Selain tersedak susu dan tercekik makanan, kebanyakan kematian mengejut membabitkan bayi dan kanak-kanak berpunca daripada sindrom goyangan bayi, tidur meniarap dan kecederaan bilik mandi.

Ramai ibu bapa tidak tahu hayunan di dalam buaian boleh menyebabkan gegaran pada otak bayi. Ini kerana di dalam otak bayi masih mempunyai ruang di antara tengkorak dan otak. Gegaran yang kuat akan menyebabkan berlakunya pendarahan, seterusnya menyebabkan kematian.

"Kebanyakan ibu bekerja menggunakan buaian untuk memudahkan kerja. Namun ada yang menggoyang terlalu kuat mengikut irama suara anak, semakin kuat anak menangis, hayunan lebih kuat. Sebaiknya ajar anak tidak menggunakan buai atau membiarkan buai tidak bergerak.

"Ini termasuk sama ada buaian biasa atau elektrik yang turut memberi risiko sama," katanya yang mengakui biasanya kes yang dirujuk di hospital menunjukkan bayi tidak mengalami demam atau sawan tetapi meninggal secara tiba-tiba.
Daripada imbasan dijalankan, didapati berlaku pendarahan otak yang sukar diselamatkan.

Tambahnya, ada juga kes bayi yang meninggal ketika tidur yang boleh dikategorikan sebagai sindrom kematian mengejut. Ini berlaku bagi bayi yang tidur meniarap.

"Menidurkan bayi secara meniarap boleh menyebabkan bayi lemas dan akhirnya meninggal dunia secara tiba-tiba. Ini berlaku bagi bayi yang masih belum berupaya mengangkat dan memusingkan kepala sendiri. Biarkan bayi tidur terlentang bagi mengelak lemas.

"Pastikan alas digunakan lembut dan tidak tenggelam. Elakkan penggunaan selimut kerana turut memberi risiko sekiranya kain itu menutupi muka bayi," katanya.

Perkara yang jarang diambil perhatian ialah keselamatan di bilik mandi. Sekiranya anak sudah pandai merangkak dan berjalan, sentiasa pastikan pintu bilik air tertutup dan tiada baldi atau besen berisi air.

Walaupun air di dalamnya hanya berisi enam inci, ia sudah cukup melemaskan bayi sekiranya muka bayi termasuk di dalamnya dan seterusnya menyekat saluran pernafasan.

Ibu bapa bekerja yang menghantar anak ke pusat penjagaan kanak-kanak harus memastikan pusat penjagaan itu mempunyai sijil yang sah juga pengasuh berpengalaman yang mempunyai pengetahuan mengenai bantuan kecemasan.

Di samping itu, tinjau kawasan sekitar seperti tandas, dapur, tempat tidur dan tempat bermain yang selamat untuk anak mereka.

Panduan keselamatan ketika di pusat penjagaan kanak-kanak:
> Pastikan pusat penjagaan kanak-kanak tidak menggunakan buai.
> Setiap bayi tidur di dalam katil masing-masing dan diasingkan mengikut usia bagi mengelak bayi terlanggar atau terpijak.
> Menggunakan peralatan tidur yang selamat misalnya tilam yang tegang dan rata supaya bayi senang bergerak.
> Mempunyai peralatan untuk mensterilkan susu sama ada untuk susu formula atau ibu bagi mengelak keracunan makanan.
> Orang yang menyediakan susu adalah orang yang sama. Ini bagi mengelak tertukar susu terutama bagi bayi yang alah dengan susu lembu.
> Pemberian susu botol harus diberikan secara orang perseorangan mengikut posisi menyusu badan. Elakkan memberi susu ketika bayi berbaring.
> Tempat menguruskan bayi harus diasingkan daripada dapur atau memasak makanan di tempat lain kemudian dibawa ke pusat penjagaan kanak-kanak. Ini bagi memastikan kebersihan serta mengelak kanak-kanak bermain dengan peralatan berbahaya di dapur.
> Elakkan penggunaan cerek, sebaiknya gunakan termos yang boleh dikunci.
> Pastikan mainan yang tidak berbucu atau bersegi yang boleh menyebabkan kanak-kanak menggunakannya untuk mengetuk kepala kanak-kanak lain.
> Hanya menggunakan barang permainan yang tidak mempunyai pewarna berbahaya.
> Anak patung haruslah yang mudah dibasuh serta tidak menyebabkan alahan terutama penyakit asma.

Sabtu, 2 Oktober 2010

Bacaan 3 Qul dalam 10 cara membacanya yang dibenarkan oleh Rasulullah

A) SURAH AL-FATIHAH



B) SURAH AL-IKHLAS



C) SURAH AN-NAS



D) AYAT KURSI

PART 1


PART 2