Oleh Siti Zarinah Sahib
Ketika mengandungkan anak pertama, seperti ibu lain Mazlina Karim
banyak membaca mengenai kaedah terbaik dalam mendidik anak-anak yang
kebanyakannya ditulis penulis Barat. Menyedari dia ingin mendapatkan
didikan mengikut cara Islam, Mazlina kemudian membaca biografi Imam
Shafie yang mampu menghafaz seluruh al-Quran pada usia tujuh tahun.
Ketika itu, pada fikirannya mustahil untuk anak orang lain menjadi
seperti Imam Shafie kerana dia insan terpilih dan hebat. Ketika itu juga
Mazlina seolah terdengar ada suara membisikkan kepadanya, ia tidak
mustahil.
“Anak saya boleh mencapai apa yang saya fikirkan jika saya
berkeinginan dan dengan izin Allah, ia akan terjadi. Ketika hamil anak
pertama itu, saya bernazar jika impian tercapai, saya akan berkongsi
dengan masyarakat umum. Alhamdulillah anak saya (Darwisya Adrianna, 7,
dan Darwish Adrian, 5) mampu menghafaz 30 surah al-Quran sebelum
mencapai usia tiga tahun,” katanya yang menggunakan kaedah memainkan
cakera padat video (VCD) surah yang perlu dihafal anaknya pada waktu
Maghrib bagi membantu mereka mengingati al-Quran dengan lebih mudah.
Menurut
Mazlina, terdapat pelbagai pandangan dalam pendidikan awal kanak-kanak
dan ia bergantung kepada latar belakang ibu bapa dalam memilih
kecenderungan pendidikan untuk anak mereka. Ada yang memilih untuk
mendahulukan pengajaran ilmu dunia contohnya membaca, menulis dan
mengira pada usia empat dan lima tahun. Sebab itu, rata-rata ibu bapa
menghantar anak ke sekolah tadika atau prasekolah.
Namun perbezaannya, pengajaran di sekolah hanya berhenti setakat
mengenal huruf, membaca dan mengira tanpa melatih untuk menghafal
sedangkan menghafal mempunyai banyak kebaikan yang tidak diketahui ibu
bapa.
Antaranya, ia meningkatkan memori atau daya simpan maklumat dalam
otak kanak kanak. Ini dapat dilihat sejak hari pertama bayi dilahirkan,
mereka disambut dengan azan dan iqamat yang menandakan bayi boleh
diajar dengan memperdengarkan ayat al-Quran dan ia permulaan pendidikan
sebaiknya untuk bayi dan kanak-kanak.
“Sebenarnya otak
kanak-kanak sudah sangat bersedia untuk menerima apa saja pembelajaran
sejak lahir. Otak mereka pada waktu ini ibarat span yang amat mudah
menyerap air. Malah mengikut kajian sains, pada usia dua tahun, kapasiti
otak kanak-kanak menyamai 80 peratus otak dewasa,” katanya yang menetap
di Shah Alam, Selangor.
Mazlina memilih untuk mendedahkan ilmu
al-Quran terlebih dulu berbanding dunia kerana pelajaran bahasa boleh
dipelajari di tadika dan di sekolah nanti.
Sehingga umur
anak-anaknya mencecah tiga tahun, Mazlina tidak pernah mengajar A hingga
Z atau kiraan satu hingga 10, bentuk dan warna dalam bahasa Inggeris
secara khusus. Tetapi anaknya Darwisya dan Darwish sudah boleh mengenal
dan menghafal sendiri dengan bantuan secara ti-dak langsung daripada VCD
kartun.
Selain itu, aktiviti menghafal mampu menjadikan
kanak-kanak menguasai sesuatu dengan cepat kerana mereka sudah memahami
konsep al-Quran.
“Apapun saya yakin ini kerana otak mereka
dilatih untuk memberi tindak balas yang cepat ketika mengaji. Jika
difikirkan ada benarnya. Mengikut kajian sains, kanak-kanak yang belajar
menghafal akan meningkatkan kuasa otak kiri mereka. Otak kiri
bertanggungjawab untuk menganalisa secara analitikal seperti sains,
matematik dan bahasa manakala otak kanan pula bertindak untuk berfikir
secara holistik seperti perkara berkaitan seni dan muzik,” jelasnya.
Melatih
otak menjadi kuat sama caranya dengan membentuk otot tubuh bertenaga
dan mantap. Jika inginkan badan sihat dan lebih stamina, perlu rajin
melakukan senaman.
“Keadaan ini sama dengan otak, tiada had umur
minimum memulakan latihan. Contohnya kanak-kanak akan mengingati lagu
yang ibu mereka dodoikan sebelum tidur dan boleh menyanyikannya semula
apabila usia mereka meningkat dua tahun ke atas. Anak saya contohnya
mampu menghafaz surah dengan mudah kerana selalu diperdengarkan surah
itu ketika masih bayi.
“Pada usia dua tahun lapan bulan dia
sudah menghafaz lapan surah pendek dan sekurang-kurangnya 17 surah
apabila usia mencecah tiga tahun,” ujarnya.
Membaca dan
menghafal dua perkara berbeza namun boleh dijalankan serentak. Ibu bapa
tidak perlu menunggu sehingga kanak-kanak itu pandai membaca al-Quran
untuk mula menghafal sebaliknya boleh dimulakan seawal usia enam bulan.
Buktinya, ramai huffaz (penghafal quran) daripada kalangan orang buta.
Ini bermakna seseorang yang tidak mengenal huruf juga boleh menghafal
al-Quran dengan baik.
Bertindak sebagai guru kepada dua anaknya,
Mazlina menjelaskan semua kanak-kanak mempunyai persamaan. Mereka
berbeza dari segi kualiti dan kuantiti didikan ibu bapa pada awal usia.
Kanak-kanak jika didedahkan lebih awal, mampu mempunyai tiga kemahiran
iaitu mengenal huruf, membaca dan menghafal al-Quran pada umur seawal
tiga tahun.
Kemahiran yang diperoleh ini akan meningkatkan
keupayaan, mempengaruhi daya berfikir dan menyerap pelajaran apabila
mereka dewasa nanti.
“Ia ibarat latihan otak yang akan
menghasilkan daya tumpuan, kreativiti dan kelajuan berfikir yang
bermanfaat untuk jangka panjang. Namun mengajar al-Quran kepada bayi dan
kanak-kanak berbeza daripada mengajar orang dewasa. Mengajar
kanak-kanak memerlukan daya kreativiti yang lebih kerana perlu memahami
dunia kanak-kanak yang masih ingin bermain.
“Sebagai contoh, bayi
berusia setahun akan lebih memaksa ibu bapa mencuri tumpuan mereka
untuk menyebut setiap kad imbasan kerana pada waktu ini, mereka dalam
peringkat suka meneroka dan mula melakukan pelbagai kerja sendiri. Ini
lebih ketara untuk kanak-kanak lelaki berbanding perempuan,” jelasnya.
Berdasarkan
pengalaman, anak lelaki dan perempuan mempunyai cara belajar berbeza.
Berbanding anak perempuan, anak lelaki lebih nakal dan kurang daya
tumpuan. Masalah pelat juga lebih dialami kanak-kanak lelaki berbanding
perempuan.
Jika ibu bapa mempunyai anak yang pelat, segeralah
mengajar al-Quran kerana ia terapi bercakap yang sangat elok bagi
kanak-kanak.
“Ini kerana al-Quran perlu dibaca dan disebut dengan
jelas dan betul justeru dalam proses mengajar, kita menyebutnya dengan
bulat dan jelas, menyebabkan pelat mereka hilang secara berperingkat.
Ini diakui pakar kanak-kanak yang memberitahu untuk kanak-kanak pelat,
ibu bapa perlu bercakap dengan jelas pada setiap patah perkataan. Namun
dalam kesibukan, ibu bapa selalunya tidak berkesempatan berbuat begitu,”
katanya.
Mazlina yang mula mendedahkan ayat al-Quran menerusi
VCD sejak anaknya berusia enam bulan teruja setiap kali melihat
perkembangan mereka. Setiap pagi selepas bangun tidur sebelum menonton
rancangan kartun kegemaran mereka, Mazlina memutarkan bacaan al-Quran
terlebih dulu. Ini dilakukan secara berterusan setiap pagi manakala pada
waktu malam, dia mengambil masa 30 minit sehingga satu jam untuk
mengajar anaknya mengaji Iqra’.
“Setelah mencuba dan nampak
hasilnya pada Darwisya dan Darwish, saya membuat kesimpulan memang benar
kata orang pendidikan bermula dari rumah. Kaedah yang saya gunakan
bermula daripada bayi baru lahir sehingga tiga tahun.
“Saya
tidak berjumpa sekolah khas yang mengajar bayi baru lahir sehingga usia
tiga tahun ke atas di Malaysia. Jadi ibu bapa yang perlu menjadi guru
dan rumah sebagai sekolah pertama untuk mereka,” katanya.
Darwisya
yang kini bersekolah di Sekolah Antarabangsa Moden Arab baru-baru ini
mendapat semua A bagi tujuh mata pelajaran dengan empat subjek mendapat
markah penuh 100 peratus. Malah pengetua sekolah menyatakan Darwisya
seorang pelajar pintar.
“Saya yakin berkat mengajar al-Quran
daripada kecil, Darwisya mampu menguasai kemahiran menyerap apa saja
ilmu yang diajar kepadanya. Saya berharap ibu bapa tidak teragak-agak
apa yang patut diajar dulu kepada anak, sama ada ABC atau alif ba ta.
“Jika
mengajar membaca bahasa Inggeris atau bahasa Melayu kita akan berhenti
setakat mengenal huruf, membunyikan perkataan dan membaca. Tetapi
menerusi al-Quran, ada satu langkah yang akan dikuasai oleh otak mereka
yang tidak akan diperoleh melainkan menghafal al-Quran. Inilah yang akan
meningkatkan daya memori kanak-kanak.
“Semakin panjang dan
semakin banyak surah yang dihafal, semakin tinggi kekuatan memori
mereka,” katanya yang merujuk kepada sejarah ilmuwan Islam ketika di
zaman kegemilangan Islam apabila mereka memulakan pendidikan sejak dari
kecil lagi.
Mereka bukanlah tiba-tiba menjadi orang bijak
pandai sebaliknya menghafaz seluruh al-Quran sejak kecil sebelum
berpindah ke cabang ilmu lain seperti matematik, kimia, fizik, astrologi
dan sains. Dengan cara ini, muncul ramai ilmuwan Islam seperti
al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun, Ibnu Rushd, Ibnu Sina, al-Farabi dan Ibnul
Khaitam.